70 keluarga Melayu 'tamat kursus' KelasMateMatika@CC
Program KelasMateMatika (KMM@CC) hasil kerjasama rangkaian M³ - MENDAKI, MESRA dan MUIS - mencatatkan kumpulan pelajar yang tertinggi sejak pelancarannya tahun lalu.
SINGAPURA: Program KelasMateMatika (KMM@CC) hasil kerjasama rangkaian M³ - MENDAKI, MESRA dan MUIS - mencatatkan kumpulan pelajar yang tertinggi sejak pelancarannya tahun lalu.
Ia kini mempunyai 340 peserta berbanding 170 peserta tahun lalu.
Sekitar 70 keluarga yang berjaya menamatkan pengajian, diraikan dalam satu majlis penyampaian sijil siang tadi (30 Jun) di Yishun Town Square.
KISAH KEJAYAAN: KELUARGA RAHANA RAHMAT
Prihatin tentang pembelajaran anak-anaknya, salah seorang peserta, Cik Rahana Rahmat, 43 tahun, rajin melapangkan jadual hujung minggunya buat 10 minggu berturut-turut sejak April lalu.
Ini demi mengikuti program KMM@CC di kelab masyarakat Taman Jurong.
Meskipun program ini tertumpu kepada anak-anak yang dibawah umur 6 tahun, ilmu yang diperolehinya turut dikongsi dengan kelima-lima anaknya yang lain.
"Nampak prestasi pembelajaran meningkat - contohnya anak kecil saya yang berumur 10 tahun telah menunjukkan peningkatan hampir 70 peratus bagi subjek matematik.
"Anak yang empat tahun itu juga, sudah pandai mengira lebih daripada 10 dan juga mula belajar campur dan tolak dan selanjutnya," kata Cik Rahana, yang cukup bangga dengan pencapaian anak-anaknya.
Majlis penyampaian sijil itu juga buat pertama kalinya diadakan secara serentak dengan acara PlayFest 2019 anjuran MENDAKI.
DR FAISHAL: KMM@CC SUDAH "MEMBANGUN"
Turut hadir adalah dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan, Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
"Kalau kita lihat KMM@CC ini telah membangun semenjak kita lakarkan pada tahun yang lalu di mana pada tahun ini 340 ibu bapa dan kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam enam KMM@Bandar," ujar Dr Faishal yang gembira dengan kemajuan program ini.
Mengulas tentang keberkesananannya KMM@CC ini, Dr Faishal menambah bahawa program itu memberikan ruang kepada mereka untuk "membangunkan kemahiran, minat dan daya dalam bidang-bidang ataupun aspek-aspek kehidupan mereka seperti aspek emosi, sosial dan juga akademik dalam pembangunan mereka".
ANAK LEBIH CEMERLANG DALAM PELBAGAI ASPEK
Seorang lagi peserta program KMM@CC, Cik Puteri Nur Fateha, 29 tahun, juga melihat sendiri perbezaan ketara pada anaknya yang berusia 4 tahun - tidak terhad kepada matematik sahaja.
Cik Puteri Nur Fateha dan keluarga. (Gambar: BERITAmediacorp)
"Dulu, anak saya cuma terhad kepada mainan dan juga video-video untuk belajar. Tapi sekarang mereka lebih terbuka. Di luar pun kadang-kadang mereka akan beritahu apakah ini dan apakah itu. 'Ummi, ini warna hijau, Ummi, ini warna merah, Ummi, ini nombor apa'. Jadi mereka lebih kreatif," kata Cik Puteri, yang juga bertugas sebagai seorang pegawai perkhidmatan pesakit di sebuah pusat kesihatan.
KMM@CC akan bermula lagi pada bulan Julai dan diperluaskan kepada 25 lagi sesi di kelab-kelab masyarakat serata Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.