70,000 pencarum CPF bakal terima padanan dana S$40 juta dalam akaun persaraan
Sejumlah 70,000 pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang berusia 55 hingga 70 tahun akan menerima geran sekitar S$40 juta daripada Pemerintah pada Januari tahun depan bagi memadankan tokokan tunai yang dibuat pada akaun persaraan mereka pada separuh pertama tahun ini.
SINGAPURA: Sejumlah 70,000 pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang berusia 55 hingga 70 tahun akan menerima geran sekitar S$40 juta daripada Pemerintah pada Januari tahun depan bagi memadankan tokokan tunai yang dibuat pada akaun persaraan mereka pada separuh pertama tahun ini.
Tokokan dan geran itu akan meningkatkan bayaran persaraan bulanan mereka, menurut Lembaga CPF dalam satu kenyataan media pada Rabu (18 Ogos).
Geran pemadanan itu adalah sebahagian daripada skim yang dilancarkan awal tahun ini untuk membantu warga emas yang tidak memenuhi Jumlah Persaraan Asas sedia ada, iaitu sebanyak S$93,000 tahun ini.
Setiap tokokan tunai yang dibuat kepada akaun pencarum yang layak akan dipadankan oleh Pemerintah, dihadkan kepada S$600 setahun. Sesiapa saja boleh membuat tokokan buat pencarum yang layak.
Daripada 70,000 pencarum, 80 peratus menerima tokokan buat kali pertama dan 90 peratus daripada mereka pula menerima tokokan S$600 atau lebih, menurut Lembaga CPF pada Rabu.
Seramai 40 peratus daripada mereka menerima tokokan dari orang tersayang mereka dengan sebahagian besarnya dibuat oleh anak-anak mereka sendiri.
Lembaga CPF menyatakan pada Januari bahawa 440,000 rakyat Singapura layak bagi skim tersebut.
Untuk melayakkan diri, pendapatan bulanan purata mestilah tidak melebihi S$4,000, nilai tahunan kediaman mereka juga tidak seharusnya melebihi S$13,000 - yang meliputi semua flat HDB - dan mereka tidak seharusnya memiliki lebih daripada satu hartanah.
Tiada permohonan diperlukan bagi skim itu, yang akan berjalan selama lima tahun sebagai permulaan. Mereka yang layak untuk mendapatkan geran itu dimaklumkan melalui emel, SMS atau kiriman pos pada Januari lalu.
Cik Ong Woei Jiin, pengarah dari jabatan simpanan persaraan Lembaga CPF, berkata sungguh memberangsangkan apabila melihat lebih ramai warga tua menokok wang tunai ke dalam akaun CPF mereka buat kali pertama demi meraih manfaat daripada geran pemadanan serta kadar bunga CPF yang menarik.
Untuk menerima geran pemadanan sehingga S$600 bagi 2021, tokokan wang tunai ke dalam akaun persaraan pencarum CPF yang layak mesti dilakukan sebelum hujung tahun ini dan geran pemadanan itu akan dimasukkan pada Januari 2022.
Pencarum boleh membuat tokokan secara elektronik melalui lelaman CPF atau aplikasi myCPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.