Skip to main content

Singapura

7 stesen Laluan Thomson-East Coast dibuka pada 23 Jun, penumpang boleh naik percuma pada 21 Jun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2024 06:11PM Dikemas Kini : 06 Mar 2024 12:44PM
SINGAPURA: Tujuh stesen MRT baharu di Laluan Thomson-East Coast (TEL) akan memulakan khidmat penumpang pada 23 Jun, kata Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat pada Selasa (5 Mac).

Stesen tersebut - Tanjong Rhu, Katong Park, Tanjong Katong, Marine Parade, Marine Terrace, Siglap dan Bayshore - merupakan Peringkat 4 TEL.

Menjelang tarikh pembukaan rasmi, penumpang boleh melihat dan menaikinya secara percuma di tujuh stesen tersebut ketika acara pembukaan pada 21 Jun, dari pukul 10.00 pagi sehingga 9.00 malam. Butiran lanjut akan disediakan di akaun media sosial Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) lebih dekat dengan tarikh acara tersebut.

Ketika membentangkan peruntukan kementeriannya, Encik Chee juga menarik perhatian kepada kerja-kerja pembaharuan dan peningkatan pada rangkaian LRT Bukit Panjang dan Sengkang-Punggol.

STESEN MRT LAIN YANG BAKAL DIBUKA

Dengan tujuh stesen TEL baharu, penumpang boleh jimat masa perjalanan sehingga 50 peratus, dedah LTA pada Selasa.

Sebagai contoh, seorang penduduk di Marine Parade yang melakukan perjalanan ke Shenton Way akan mengambil masa 20 minit melalui TEL berbanding 40 minit menggunakan bas dan kereta api, jelas Encik Chee.

Kira-kira 235,000 isi rumah akan berada kira-kira 10 minit perjalanan dari stesen TEL sedia ada, dari Woodlands North ke Bayshore.

Sementara itu, stesen Punggol Coast di Laluan Timur Laut (NEL) dijangka dibuka pada hujung tahun ini. Stesen tersebut akan menyediakan akses lebih mudah ke Institut Teknologi Singapura di Punggol, yang akan dibuka tahun ini serta Daerah Digital Punggol, tambah Encik Chee.

Di Laluan Downtown (DTL) pula, Stesen Hume berada di landasan yang tepat untuk dibuka pada 2025, yang akan memperbaiki akses ke Koridor Kereta Api (Tengah).

Lebih banyak stesen seperti Bedok South, stesen pertukaran Sungei Bedok dan Xilin, bakal dibuka pada 2026, apabila Peringkat 5 projek TEL dan DTL selesai. Depot Bersepadu East Coast, yang mempunyai terowong yang menghubungkan kedua-dua TEL dan DTL, serta jejambat dari Laluan Timur-Barat, juga dijangka dibuka pada 2026.

Tiga stesen baharu Laluan Circle (CCL) juga akan dibuka pada 2026. Stesen Keppel, Cantonment dan Prince Edward akan "menyempurnakan laluan tersebut" antara stesen HarbourFront dengan Marina Bay, kata Encik Chee.

Satu platform di stesen Telok Blangah dan HarbourFront akan ditutup buat sementara sehingga Mei tahun ini, untuk memudahkan kerja-kerja pembinaan.

PENINGKATAN LRT

LRT Bukit Panjang akan meneruskan operasi dwipusingan mulai 16 Mac dan akan beroperasi pada Sabtu, dari pukul 11.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari dan pukul 5.00 petang sehingga 7.00 malam.

Selain itu, dua lagi kereta api bagi LRT Bukit Panjang dijangka memulakan khidmat penumpang pada suku ketiga 2024. Ia antara 19 kereta api baharu yang akan mengambil alih kenderaan generasi pertama yang digunakan sejak 1999.
 
Untuk memudahkan ujian kenderaan dan sistem baharu, khidmat penumpang di Bukit Panjang LRT akan berakhir sejam awal, iaitu pada pukul 10.30 malam pada Jumaat, Sabtu dan Ahad malam, mulai 22 Mac sehingga 30 Jun.

Dalam tempoh tersebut, penumpang boleh menggunakan khidmat bas 67, 171, 920, 922, 960, 963, 972, 972M, 973, 974 dan 976 selepas pukul 10.30 malam. Bas tersebut melalui kawasan Bukit Panjang dan Choa Chu Kang.

Bagi LRT Sengkang-Punggol, kerja-kerja naik taraf akan bermula bulan ini untuk mempertingkat pergerakan penumpang di platform stesen LRT Sengkang, dengan tempat berhenti khas bagi setiap satu daripada empat laluan yang melalui stesen itu, tambah LTA.

Stesen itu juga akan mendapat tanda-tanda dan garisan beratur baharu, serta sistem perjalanan sentuhan untuk memudahkan penumpang naik dan turun LRT.

Kereta api dua kabin baharu yang pertama daripada 25 kereta api bagi LRT Sengkang-Punggol dijangka tiba menjelang hujung tahun ini dan akan digunakan bagi khidmat penumpang secara berperingkat selepas menjalani ujian. Kereta api baharu tersebut akan mengambil alih kereta api satu kabin sedia ada, dan beberapa kereta api dua kabin, sekaligus meningkatkan kapasiti penumpang.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita