7 sekolah rendah dengan kes COVID-19 beralih ke pembelajaran di rumah 17 hingga 28 Mei
Langkah itu diambil bagi "melindungi pelajar dan kakitangan selain membendung risiko penularan di sekolah", menurut MOE dalam satu kenyataan media.
Sekolah Rendah Yio Chu Kang. (Petikan gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Tujuh sekolah rendah yang melaporkan kes jangkitan COVID-19 akan beralih kepada pembelajaran di rumah (HBL) mulai Isnin (17 Mei)bagi tempoh dua minggu akan datang hingga tamat penggal kedua pada 28 Mei, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Ahad (16 Mei).
Langkah itu diambil bagi "melindungi pelajar dan kakitangan selain membendung risiko penularan di sekolah", menurut MOE dalam satu kenyataan media.
Sekolah-sekolah yang beralih ke HBL adalah Sekolah Kong Hwa, Sekolah Rendah Palm View, Sekolah Junior St Andrew, Sekolah Rendah St Margaret, Sekolah St Stephen, Sekolah Rendah Yio Chu Kang dan Sekolah Rendah Yu Neng.
MOE menyatakan ia sudah menghubungi tujuh sekolah itu untuk menyediakan sokongan kepada guru dan pelajar dalam menjalankan pembelajaran online.
Guru-guru juga sudah menghubungi pelajar dan ibu bapa mereka.
MOE juga "memantau rapi" kesejahteraan pelajar dan kakitangan yang dikenalpasti sebagai kontak rapat kes COVID-19, dan akan melaksanakan langkah-langkah serupa ke sekolah lain, jika perlu.
KES DARI PUSAT TUISYEN LEARNING POINT
Langkah MOE itu susulan meningkatnya bilangan pelajar sekolah rendah yang dijangkiti COVID-19 dikaitkan dengan pusat tuisyen dan pengayaan.
Kementerian Kesihatan mengumumkan pada Jumaat bahawa lima pelajar (dua dari Sekolah Kong Hwa, satu dari Sekolah Junior St Andrew dan dua dari St Stephen) diuji positif COVID-19. Kesemuanya mengikuti kelas yang dikendalikan seorang guru tuisyen yang positif koronavirus di Learning Point di Parkway Centre.
Pada Ahad, MOH mengumumkan dua lagi murid dari Sekolah Junior St Andrew’s diuji positif COVID-29. Pelajar berusia lapan dan 12 tahun itu adalah adik beradik yang menaiki bas sama dengan kes dari Sekolah Junior St Andrew’s pada 11 Mei.
Adik beradik itu mengalami simptom seperti demam atau selesama.
Lagi empat pelajar dari Learning Point di Parkway Centre juga diuji positif COVID-19 pada 15 Mei, menurut MOE.
Dua daripada mereka adalah dari sekolah Kong Hwa manakala dua lagi dari Sekolah Rendah St Margaret’s dan Yu Neng. Mereka kali terakhir berada di sekolah pada 12 Mei.
MOE menyatakan kontak rapat yang melibatkan pelajar Learning Point yang menghadiri kelas terjejas diuji negatif.
Kementerian Kesihatan masih melakukan penjejakan kontak.
KES DI PUSAT PEMBELAJARAN EDUFIRST
Pelajar Sekolah Rendah Yio Chu Kang yang positif COVID-19 telah menghadiri Pusat Pembelajaran Edufirst di Hougang, menurut MOE.
Berdasarkan hasil ujian kenalan rapat dari pusat yang sama, seorang pelajar dari Sekolah Rendah Palm View dan pelajar kedua dari Sekolah Rendah Yio Chu Kang masing-masing disahkan positif pada 15 Mei dan 14 Mei.
Kedua-duanya kali terakhir datang ke sekolah pada 12 Mei, menurut MOE.
MOE pada Jumaat mengumumkan langkah COVID-19 yang lebih ketat bagi sekolah dan institut pengajian tinggi, termasuk menjalankan semua aktiviti ko-kurikulum secara online dan menangguhkan semua kegiatan luaran.
"Pelajar yang menaiki bas sekolah mesti memakai pelitup sepanjang masa dan tidak berinteraksi antara satu sama lain," menurut MOE.
Pusat tuisyen dan pengayaan swasta juga sangat digalakkan supaya mengalihkan pembelajaran mereka secara online semasa tempoh genting ini. MOE akan meningkatkan langkah-langkah pemeriksaan dan penguatkuasaan di tempat-tempat ini untuk memastikan kepatuhan terhadap langkah-langkah pengurusan selamat, menurutnya pada Ahad.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.