Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 'Ratu' Melayu wakili persatuan Cheongsam sertai Perarakan Chingay 2020

Buat julung-julung kalinya, kontinjen Persatuan Cheongsam Antarabangsa Singapura akan disertai tujuh wanita Melayu bagi Perarakan Chingay 2020. Lebih unik lagi, tujuh wanita Melayu itu adalah bekas pemenang atau peserta pelbagai peraduan ratu cantik.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Buat julung-julung kalinya, kontinjen Persatuan Cheongsam Antarabangsa Singapura akan disertai tujuh wanita Melayu bagi Perarakan Chingay 2020.

Lebih unik lagi, tujuh wanita Melayu itu adalah bekas pemenang atau peserta pelbagai peraduan ratu cantik.

Kru BERITAmediacorp berpeluang ikut sama menyertai sesi latihan kumpulan itu dan menyelami motivasi mereka untuk menyertai perarakan nasional itu.

CHINGAY 2020 BERI WADAH TUNJUK BAKAT TERPENDAM

Sejak November lalu, studio tarian MADDSpace di bangunan *SCAPE di Orchard Road menjadi 'rumah kedua' bagi sekumpulan wanita-wanita Melayu.

Jika sebelum ini mereka mewakili diri sendiri di pentas pertandingan ratu cantik seperti 'Mrs Singapore' dan 'Mrs Singapore Malays International', kali ini, mereka bergabung tenaga mewakili kumpulan Melayu daripada kontinjen Persatuan Antarabangsa Cheongsam Singapura yang bakal membuat kemunculan sulungnya di Perarakan Chingay 2020.

Salah seorang 'Ratu' yang ditugaskan menyatukan kumpulan unik itu ialah Cik Sabrina Samri, 40 tahun. Bekas juara pertandingan 'Mrs Singapore Malays 2014' itu berharap dapat memperkenalkan lagi budaya Melayu menerusi Perarakan Chingay, sempena Tahun Baru Cina nanti.

"Kami menganggap ini sebagai satu senaman kerana kebanyakan dari kami adalah ibu-ibu dan saya rasa ini adalah satu peluang untuk kami bersama dan menunjukkan bakat yang terpendam.

"Apa yang unik sekali kami akan menari dalam tarian Melayu dalam berpakaian cheongsam," jelas Cik Sabrina, yang berusia 40 tahun dan ibu kepada lima cahaya mata.

Cik Sabrina menambah, pada mulanya beliau diundang untuk menjadi ahli persatuan cheongsam itu, kerana mengenali presiden persatuan tersebut.

Namun pada akhirnya persatuan tersebut mahu mengembangkan dan mempamerkan lagi kepelbagaian identiti dan kebudayaan Singapura. Lantaran itulah beliau mula mengumpulkan anggota-anggota Melayu untuk menyertai kumpulan cheongsam itu.

CIKGU 'YOUTUBE' AJAR TARIAN MELAYU

Bagi persembahan Chingay nanti, para peserta Melayu itu akan bergabung dengan sekitar 40 peserta lain dalam kontinjen cheongsam nanti, yang merupakan wanita berbangsa Cina.

Meskipun akur kurang berpengalaman dalam tarian Melayu pada usia 40-an, ia tidak mematahkan semangat para peserta Melayu itu mereka untuk gigih mempelajarinya sendiri menerusi video-video di YouTube, mahupun daripada menonton persembahan anak-anak masing-masing.

Penyertaan kumpulan itu dalam Chingay 2020 memupuk nilai-nilai positif bukan sahaja dari segi kebudayaan dan mental, bahkan juga dari segi fizikal.

Itulah yang jelas dirasakan anggota 'cheongsam Melayu' yang paling senior, Cik Aminah Abdul Rahman, 48 tahun.

"Chingay sebenarnya perlukan stamina kerana kita harus berjalan dalam jarak yang jauh. Dalam pada masa berjalan itu, anda juga harus menari juga. Jadi saya beritahu diri saya sendiri, saya harus buat ini, sebelum saya mencecah 50-an (tahun). Selagi saya kuat, selagi bertenaga," ujar salah seorang anggota kumpulan, Cik Aminah, ibu kepada dua orang anak.

Cik Aminah pernah dinobatkan sebagai 'Peserta Terbaik' dalam peraduan 'Mrs Singapore 2019'. Beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada golongan ibu dan wanita untuk kekal aktif demi mempelihara kesejahteraan diri.

Dengan kejayaan projek Chingay yang pertama ini, Cik Sabrina pula berharap dapat menarik lebih ramai lagi penyertaan wanita Melayu ke dalam persatuan cheongsam untuk perarakan tahun depan.

"Jadi kita boleh dapat lebih banyak idea untuk dipamerkan - tarian kebudayaan Melayu kita," ujar beliau.

Perarakan Chingay 2020 akan berlangsung di Bangunan Pit F1 pada 31 Januari dan 1 Februari ini.

Untuk butiran lanjut, sila lungsuri www.chingay.org.sg. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan