Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 projek kajian marin dapat suntikan dana di bawah program R&D

Singapura mempunyai sekitaran marin yang dikelilingi antara pembangunan bandar paling pesat di dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Nov 2016 11:01AM Dikemas Kini : 28 Nov 2016 11:22PM

SINGAPURA: Singapura mempunyai sekitaran marin yang dikelilingi antara pembangunan bandar paling pesat di dunia.

Bagaimanapun, terumbu-terumbu karang terus tumbuh di perairannya, dengan lebih 200 spesies karang yang menumbuhkan terumbu dan sekitar 200 spesies ikan direkodkan pada terumbu-terumbu di sini.

Satu projek kajian oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) kini mahu mengetahui bagaimana terumbu-terumbu itu dapat terus hidup.

Projek tersebut adalah salah satu daripada tujuh projek yang diberikan suntikan dana oleh Pemerintah di bawah program kajian dan pengembangan sains marin Yayasan Kajian Kebangsaan (NRF).

Timbalan Perdana Menteri dan pengerusi NRF, Teo Chee Hean membuat pengumuman itu di perasmian Makmal Marin Nasional Pulau St John hari ini (28 Nov).

NRF akan melaburkan S$25 juta sepanjang lima tahun dalam program itu, yang diharap dapat membangunkan lebih banyak bakat dalam kajian sains marin dengan melatih para saintis kajian, jurutera dan pelajar PhD dalam bidang itu. Pekerjaan-pekerjaan sambil belajar dan kerjasama-kerjasama dengan industri juga akan diadakan bagi pembangunan teknologi dan aplikasi.

"Sebagai pulau yang berada di kawasan rendah, pemanasan bumi dan peningkatan pada paras laut dan suhu boleh menimbulkan cabaran-cabaran kepada ekosistem marin kami," kata Encik Teo, sambil menambah kesejahteraan perairan Singapura akan juga menjejas bekalan air Singapura, yang sebahagiannya hasil penyulingan air.

"Ia juga akan menjejas akuakultur yang merupakan sumber makanan tempatan. Oleh itu, penting bagi Singapura membangunkan pemahaman yang baik tentang sains marin tropikal dan sekitaran marin kami," kata Encik Teo lagi.

DPM TEO: PROJEK-PROJEK "TANGANI CABARAN NEGARA"

Ketujuh-tujuh projek yang diberi suntikan dana itu meliputi pelbagai topik termasuk pembangunan dan kemerosotan pada pertumbuhan alga di Singapura, kejuruteraan ekologi tembok laut untuk mempertingkatkan biodiversiti, dan bagaimana terumbu-terumbu karang Singapura boleh terjejas oleh projek-projek pembangunan yang dirancang.

Projek-projek tersebut akan menangani "cabaran-cabaran negara yang bersangkut-paut," kata Encik Teo.

NRF menyatakan ia sudah menerima 30 kertas putih sejak permintaan bagi projek-projek di bawah program tersebut dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

Satu panel penilaian antarabangsa menyarankan ketujuh-tujuh projek tersebut diberi suntikan dana berdasarkan mutunya dan kerana ia relevan kepada Singapura.

Kemudahan sains marin yang lengkap seperti Makmal Marin Nasional Pulau St John akan melengkapi kajian dan pengembangan (R&D) Singapura, serta memulihara perairan dan pantai-pantainya, kata Encik Teo.

Makmal itu, iaitu satu-satunya kemudahan kajian marin luar pesisir Singapura, dikhususkan sebagai infrastruktur kajian kebangsaan pada Mac. Ini bermakna makmal itu dibuka kepada semua pengkaji di Singapura dan rakan-rakan kongsi antarabangsa.

Kemudahan itu juga akan dipertingkatkan dengan kelengkapan baru untuk menyokong bidang-bidang kajian yang baru. Satu pasukan asas terdiri daripada saintis dan pengkaji terlatih juga akan melatih dan membimbing para pengkaji baru dalam sains marin, kata Encik Teo.

Makmal itu juga akan menjalankan inisiatif-insiatif pendampingan dan pendidikan untuk mengongsi hasil kajian dengan orang awam. Ini seperti acara jejak-jejak alam semula jadi dan bengkel-bengkel latihan untuk penduduk bagi mempertingkatkan pemahaman tentang sekitaran marin, tambah Encik Teo.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan