Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 prasekolah baru bakal dibuka di Punggol

Tujuh prasekolah baru akan ditubuhkan di Punggol sedang ibu bapa di estet itu mengadu tentang senarai menunggu yang panjang dan kekurangan pilihan jagaan kanak-kanak yang berpatutan berhampiran rumah mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Jun 2022 10:08AM Dikemas Kini : 22 Jun 2022 09:35PM
SINGAPURA: Tujuh prasekolah baru akan ditubuhkan di Punggol sedang ibu bapa di estet itu mengadu tentang senarai menunggu yang panjang dan kekurangan pilihan jagaan kanak-kanak yang berpatutan berhampiran rumah mereka.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) menyatakan prasekolah-prasekolah baru itu akan dibangunkan menjelang hujung tahun ini dan akan menyediakan tambahan 220 tempat jagaan bayi serta 1,700 tempat jagaan kanak-kanak.

Agensi itu juga akan bekerjasama dengan prasekolah-prasekolah baru di Punggol di bawah skim pengendali utama bagi meningkatkan operasi dan tenaga kerja. Prasekolah-prasekolah seumpama itu menerima pendanaan pemerintah tetapi harus mematuhi had yuran.

ECDA memberi kemas kini itu bulan lalu sebagai memberi respons kepada pertanyaan Mediacorp menyusuli maklum balas daripada ibu bapa yang tidak dapat mendapatkan tempat di prasekolah bagi anak-anak mereka.

Tempat jagaan kanak-kanak di Punggol sudah meningkat dengan ketara, lebih tinggi berbanding kenaikan keseluruhan di peringkat kebangsaan, menurut seorang jurucakap ECDA.

Sepanjang lima tahun lalu, tempat jagaan bayi di Punggol naik lebih seganda dari 410 pada 2017 kepada 900 pada 2021.

Ini dibandingkan dengan kenaikan keseluruhan sebanyak 50 peratus di peringkat nasional bagi tempat jagaan bayi untuk tempoh yang sama, tambah jurucakap berkenaan.

Tempat jagaan kanak-kanak di Punggol juga meningkat sebanyak 55 peratus dari 6,400 pada 2017 kepada 9,800 pada 2021, iaitu lebih tinggi daripada kenaikan sebanyak 30 peratus di peringkat nasional bagi tempoh yang sama.

Kebanyakan tempat yang baru ditambah itu disediakan oleh para pengendali utama yang dikenakan had yuran dan tadikan MOE, menurut jurucakap itu lagi.

Ibu bapa yang tidak berhasil mendapatkan tempat jagaan kanak-kanak boleh mendaftar dalam senarai meninggu melalui Portal Carian Prasekolah. Jumlah kanak-kanak di Punggol dalam senarai itu yang masih belum mendapat tempat jatuh sebanyak 60 peratus dari 2017 hingga 2021, menurut ECDA.

Namun demikian, ia akur situasi prasekolah kekal "sengit" di "sesetengah kawasan kecil Punggol".

Masa menunggu di sebilangan prasekolah mungkin lebih lama jika ia sudah mencapai kapasiti maksimum bagi kumpulan usia tertentu. Ibu bapa tidak harus menjangkakan kekosongan tempat dibuka dalam tahun itu juga sehingga kanak-kanak dalam kelompok semasa melangkah ke peringkat seterusnya, menurut ECDA.

Sebilangan ibu bapa dalam senarai menunggu juga mendaftarkan minat mereka jauh lebih awal atau meminta pertukaran sekolah, tambah jurucakap itu.

Sekitar 12 pusat di Punggol mempunyai kekosongan tempat serta-merta manakala lagi 13 mempunyai kekosongan tempat dalam tahun ini, dedah beliau.

ECDA menyatakan menyediakan akses kepada jagaan bayi dan kanak-kanak yang bermutu lagi berpatutan tetap menjadi keutamaan penting bagi pemerintah.

PERMINTAAN KIAN MENINGKAT DI ESTET MATANG

Sebilangan estet lebih matang seperti Choa Chu Kang serta Woodlands dengan projek-projek baru Bina Ikut Tempahan (BTO) juga menyaksikan lebih banyak permintaan bagi jagaan bayi dan kanak-kanak sedang kian ramai keluarga muda berpindah masuk, jelas ECDA.

Agensi itu menyatakan ia sedang bekerjasama dengan prasekolah-prasekolah dan Lembaga Perumahan bagi memanfaatkan kolong blok serta ruang masyarakat untuk memperluaskan ruang bagi pusat-pusat jagaan kanak-kanak.

Sebagai contoh, ECDA akan membuka lagi 500 tempat jagaan bayi dan kanak-kanak di Choa Chu Kang dan 100 tempat sedemikian di Woodlands menjelang hujung tahun ini.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan