Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 perkara mengenai Tharman Shanmugaratnam yang akan bertanding bagi jawatan Presiden SG

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Jun 2023 06:37PM Dikemas Kini : 08 Jun 2023 09:29PM
SINGAPURA: Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam mengumumkan pada Khamis (8 Jun) bahawa beliau merancang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden. Beliau turut memaklumkan tentang keputusannya untuk bersara dari politik dan semua jawatannya dalam pemerintah.

Dalam satu surat yang dikirimkan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, beliau mendedahkan bahawa beliau akan mengundurkan diri daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial pada 7 Julai.
Ini, katanya, adalah supaya beliau dapat segera memenuhi "komitmen rasmi di Singapura dan di peringkat antarabangsa, dan memastikan aturan ditetapkan sepenuhnya bagi akar umbi GRC Jurong agar keperluan mereka dijaga sebaiknya sepanjang baki penggal pilihan raya".

Pengumuman itu dibuat selang seminggu selepas Presiden Halimah Yacob mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk penggal kedua, sekali gus mengecualikan dirinya daripada bertanding dalam Pilihan Raya Presiden yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Pilihan Raya Presiden Singapura seterusnya harus diadakan selewat-lewatnya 13 September ini, dengan penggal enam tahun Presiden Halimah Yacob berakhir pada hari itu.

Pilihan raya tersebut boleh diadakan seawal-awalnya tiga bulan sebelum itu, iaitu pada 13 Jun.

Disebabkan pelibatannya dalam perkhidmatan awam untuk sekian lama, Encik Tharman merupakan tokoh yang dikenali ramai di Singapura dan di luar negara.

Berikut adalah tujuh perkara yang perlu diketahui mengenai tokoh yang akan bertanding bagi jawatan tertinggi negara ini.

1. KEHIDUPAN PERIBADINYA

Encik Tharman, yang berusia 66 tahun, mendirikan rumah tangga bersama Jane Yumiko Ittogi, yang merupakan seorang peguam pelatih dan berketurunan Cina-Jepun. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan dan tiga anak lelaki.

2. PENDIDIKAN

Encik Tharman belajar di Sekolah Anglo-Chinese sebelum menamatkan pengajiannya di London School of Economics (LSE) dengan ijazah sarjana muda Sains dalam bidang ekonomi.

LSE kemudian mengiktirafnya dengan 'Honorary Fellowship' pada 2011.

Beliau seterusnya meraih Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang ekonomi dari Universiti Cambridge dan melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Awam di Sekolah Pemerintah Kennedy Universiti Harvard, di mana beliau diberikan anugerah Zamil Lucius N Littauer di atas prestasi dan kepimpinannya yang cemerlang.

3. PENYERTAAN DALAM POLITIK

Berlatarbelakangkan kerjayanya sebagai ahli ekonomi, Encik Tharman pertama kali dilantik sebagai Anggota Parlimen (AP) pada November 2001 di GRC Jurong, setelah pasukan PAP mendapat 79.75 peratus undi.

Sejak itu, beliau dilantik semula sebanyak empat kali. Encik Tharman mewakili divisyen Taman Jurong.

4. KES AKTA RAHSIA RASMI

Pada 1992, sedang beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Ekonomi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Tharman merupakan salah seorang daripada lima individu yang didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi setelah kadar pertumbuhan ekonomi Singapura dalam suku kedua bagi tahun tersebut diterbitkan dalam Business Times, sebelum ia didedahkan secara rasmi. Mereka yang didakwa termasuk penyunting akhbar tersebut Patrick Daniel.

Kesemua lima individu didapati bersalah dan didenda. Mahkamah tersebut bagaimanapun tidak dapat membuktikan Encik Tharman mendedahkan data sulit tersebut kepada ahli ekonomi Manu Bhaskaran dalam sebuah mesyuarat, tetapi beliau didapati bersalah atas dasar kecuaian dan didenda S$1,500.

Encik Tharman menjelaskan mengenai sabitannya itu semasa berkempen bagi Pilihan Raya pada 2001.

Encik Tharman dilaporkan Business Times sebagai berkata: "Tiada siapa dapat memastikan, yang saya sudah melakukan apa-apa secara sengaja. Maka itu, integriti saya tidak pernah dicabar, tidak pernah diragui semasa dan selepas kes tersebut."

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, malah, menekankan bahawa PAP tidak "menyingkirkan seseorang disebabkan satu kesilapan", menurut laporan Business Times.


5. KERJAYA POLITIK

Encik Tharman menyandang jawatan Menteri Kanan sejak Mei 2019, setelah beliau berkhidmat selama beberapa tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan. Beliau juga menyandang jawatan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, dan bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri berhubung dasar-dasar ekonomi.

Beliau juga menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan timbalan pengerusi Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura, dengan mempengerusikan jawatankuasa strategi pelaburannya.

Beliau turut mempengerusikan Majlis Penasihat Antarabangsa Lembaga Pembangunan Ekonomi sejak 2014.

Sebahagian besar daripada kerjaya Encik Tharman meliputi perkhidmatan awam, terutama sekali menerusi peranan yang berkaitan dengan dasar-dasar ekonomi serta sosial.

Selain berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri (2011-2019), beliau merupakan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Sosial (2011-2015). Beliau juga menyandang jawatan sebagai Menteri Kewangan selama sembilan tahun (2007-2015) dan Menteri Pendidikan selama lima tahun (2003-2008).

6. SUMBANGAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Sedang beliau berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan, Encik Tharman memperkenalkan pembaharuan besar pendidikan, yang bertujuan untuk mencapai sistem meritokrasi yang lebih meluas dan fleksibel.

Semasa beliau memegang jawatan tersebut, Encik Tharman mengendalikan pelaburan yang diperuntukkan buat KidSTART, peluasan dan naik taraf pendidikan prasekolah, yang mendorong kepada program SkillsFuture yang dilancarkan pada 2014 bagi mengalak pembelajaran sepanjang hayat dan sikap menimba kemahiran baru dalam kalangan warga Singapura.

Semasa COVID-19, Encik Tharman mempengerusikan Majlis Pekerjaan Nasional, yang menyelia usaha bagi menyokong dan membina semula pekerjaan untuk warga Singapura.

Beliau turut menyaksikan kenaikan dalam pendapatan pekerja bergaji rendah menerusi model gaji progresif dan peningkatan dalam kedudukan pekerja sosial serta keupayaan pegawai khidmat sosial.

7. PERANAN LAIN

Selain peranan-peranannya dalam pemerintah, Encik Tharman mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah Persatuan Pembangunan India Singapura, yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi pendidikan serta daya tahan sosial dalam kalangan masyarakat Singapura yang berbangsa India.

Encik Tharman juga menerajui beberapa majlis antarabangsa, yang memperi tumpuan terutama sekali kepada pembaharuan ekonomi dan kewangan.

Beliau juga kini merupakan sebahagian daripada kumpulan penasihat luar kepada pengarah pengurusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Lembaga Pemegang Amanah Forum Ekonomi Dunia.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan