7 penghuni Singapore Boys' Home didakwa merusuh
Tujuh daripada 14 penghuni Singapore Boys' Home yang diberkas oleh polis kerana merusuh didakwa di mahkamah hari ini (29 Sep).
SINGAPURA: Tujuh daripada 14 penghuni Singapore Boys' Home yang diberkas oleh polis kerana merusuh didakwa di mahkamah hari ini (29 Sep).
Kesemua tujuh belia itu, yang berusia antara 14 dengan 17 tahun, didakwa atas tuduhan merusuh dengan menggunakan senjata.
Lagi tujuh belia yang lain kini sedang membantu siasatan polis dan mereka akan pulang ke rumah Singapore Boy's Home yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Dua pegawai pembimbing belia dan seorang pegawai polis sokongan cedera setelah mereka dipercayai diserang oleh para belia tersebut dengan menggunakan perkakas sukan.
Dua daripada pegawai itu sudahpun dibenarkan keluar hospital manakala pegawai pembimbing belia berkenaan masih dirawat di hospital untuk pemantauan lanjut.
Identiti para belia itu tidak boleh didedahkan kerana mereka di bawah usia. Keluarga mereka sudahpun dimaklumkan, menurut kementerian itu.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Desmond Lee memberikan perkembangan terkini mengenai insiden yang berlaku pada Jumaat (29 Sep) semasa berucap di luar acara perasmian tempat penetasan telur penyu di Pulau Subar Darat.
Encik Lee, yang juga merupakan Menteri Kedua bagi Pembangunan Negara, berkata insiden itu berlaku sebelum pukul 6.00 petang selepas para penghuni selesai menjalani kegiatan sukan.
Polis dihubungi bagi mendapatkan bantuan sejurus selepas tercetusnya rusuhan tersebut. Polis berjaya memulihkan keadaan pada sekitar 7.00 malam, kata Encik Lee.
Bagaimanapun menurut beliau, masih belum jelas apakah yang menyebabkan rusuhan tersebut. "Siasatan sedang dijalankan. Dari segi faktanya, isu itu sudahpun diserahkan kepada mahkamah. Oleh itu, kita tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi," tambah Encik Lee.
Menyentuh mengenai keadaan pegawai yang masih berada di hospital, beliau berkata: "Berdasarkan laporan-laporan yang kami terima, pegawai itu berada dalam keadaan baik."
Encik Lee berkata para pegawai polis sokongan dikerahkan ke Singapore Boys' home bagi membantu memastikan keadaan kekal aman dan tenteram selepas rusuhan tersebut. Namun polis juga akan mengambil tindakan "jika terdapat gangguan dan kesalahan dilakukan."
Meskipun insiden-insiden serupa berlaku dari masa ke masa, ia bukanlah sesuatu yang sering berlaku, tambah Encik Lee.
"Ini merupakan sebuah institusi... dengan anak muda yang diletakkan di bawah jagaan atas tindakan-tindakan mereka sebelum ini... Mereka juga adalah anak muda yang mungkin berdepan dengan masalah atau cabaran dalam kehidupan," kata beliau.
Encik Lee, mengunjungi Singapore Boys' Home yang terletak di Jurong West pada Jumaat (28 Sep) menyusuli insiden itu.
Beliau berkata bahawa satu semakan akan dijalankan bagi "memahami dengan lebih mendalam mengenai punca rusuhan tersebut... dan sama ada sebarang peningkatan lanjut perlu dilakukan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.