7 muka baru Melayu/Islam dalam Parlimen baru
Dengan keputusan rasmi pilihan raya diumumkan awal pagi tadi (11 Jul), kesemuanya akan ada tujuh Anggota Parlimen baru Melayu/Islam dalam kabinet nanti - enam dari PAP sementara lagi seorang dari Parti Pekerja (WP).
SINGAPURA: Dengan keputusan rasmi pilihan raya diumumkan awal pagi tadi (11 Jul), kesemuanya akan ada tujuh Anggota Parlimen baru Melayu/Islam dalam Parlimen nanti - enam dari PAP sementara lagi seorang dari Parti Pekerja (WP).
Ini bermakna, 14 daripada 93 kerusi dalam Parlimen akan dipegang anggota Melayu/Islam.
Enam bakal AP dari PAP yang dimaksudkan ialah peguam Nadia Samdin di GRC Ang Mo Kio, ahli korporat Sharael Taha di GRC Pasir Ris-Punggol, pensyarah kanan politeknik, Dr Wan Rizal Wan Zakariah di GRC Jalan Besar, pengarah urusan syarikat global Mariam Jaafar di GRC Sembawang, mantan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Fahmi Aliman di GRC Marine Parade dan peguam Zhulkarnain Abdul Rahim di GRC Chua Chu Kang.
Bakal AP dari WP pula ialah Cik Raeesah Khan, seorang aktivis sosial.
BAGAIMANA HARI PERTAMA SELEPAS DIUMUM MENANG?
Seluruh Singapura umumnya berjaga sehingga awal pagi Sabtu bagi menantikan semua keputusan pilihan raya. Bagi bakal AP Encik Zhulkarnain, beliau hanya pulang ke rumah pada sekitar 3.00 pagi - iaitu tidak lama selepas beliau sepasukan diumumkan menang di GRC Chua Chu Kang dengan lebih 58 peratus undi.
Sungguhpun semuanya sudah berakhir, saat disahkan bakal mendapat kerusi di Parlimen sememangnya titik permulaan dalam dunia politik bagi Encik Zhulkarnain.
"Saya bersyukur kerana kepercayaan mereka adalah amanah untuk kita tanggung bersama. Kita ada amanah ini, kita makin merendahkan diri untuk mendekatkan diri mendampingi semua penduduk dan itu akan saya lakukan, tidak kira siapa yang telah menyokong atau tidak," kata Encik Zhulkarnain semasa ditemui di cawangan PAP Keat Hong pada Sabtu (11 Jul).
Laluan ke parlimen bagi peguam berusia 39 tahun itu boleh dikatakan tidak mudah. Ini jelas kerana GRC Chua Chu Kang yang disangka kubu kuat PAP, mencatat undi 18 peratusan mata lebih rendah berbanding pilihan raya lalu.
"Kali ini mana-mana persaingannya sengit," tambah beliau.
CABARAN YANG DIJANGKAKAN ZHULKARNAIN
Semasa diperkenalkan sebagai muka baru PAP, Encik Zhulkarnain, menegaskan beliau ingin memperjuangkan isu-isu mobiliti sosial.
Bapa tiga orang anak yang pernah menjadi Pengerusi AMP itu terdahulu memang aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan - termasuk di rumah kebajikan bagi wanita mangsa penderaan, Casa Raudhah dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
"Saya tidak pernah menjangkakan ataupun menggambarkan bahawa saya akan melalui arena politik. Tapi perjalanan saya sebagai sukarelawan masyarakat membawa saya ke sini dan itu adalah kerana ramai membantu saya."
Meski peka terhadap pelbagai isu, pengalaman bertanding dalam pilihan raya tetap membuka matanya.
"Landskap politik kita sudah berbeza. Kita harus lebih mesra dengan rakyat, lebih terbuka dengan pelbagai pandangan. Jadi bagi saya satu cabaran untuk saya hadapi adalah untuk mengenal hasrat dan saranan para penduduk," ujar Encik Zhulkarnain.
Lantaran itulah, lapan jam selepas keputusan pilihan raya diumumkan, beliau sudah mula menjalankan kewajipan barunya dengan keluar menemui penduduk.
"Semua baru bermula."
PERANAN BARU TIDAK UBAH TANGGUNGJAWABNYA
Mungkin ramai tidak tahu, Encik Zhulkarnain juga sebenarnya dilantik sebagai duta bahasa pada tahun lalu.
Dengan beliau bakal dilantik sebagai Anggota Parlimen, beliau memang jangkakan jadual masanya akan semakin padat tetapi bertekad untuk terus aktif dalam kegiatan-kegiatan masyarakat Melayu.
Bukan itu sahaja, beliau ingin memastikan, akan selalu ada masa untuk keluarganya.
"Saya masih ayah kepada anak-anak saya dan bagi saya, yang terpenting (adalah) kehidupan mereka masih seperti biasa. Jadi mereka tidak terkesan," kata beliau lagi.
Ditanya pula apakah perkara pertama dilakukannya apabila pulang selepas menang pilihan raya, ini jawapan beliau: "Saya tidur, saya buat teh tarik dahulu lepas itu ingatkan tidak boleh tidur tapi bom! terus tidur."
Isterinya pula orang pertama yang beliau hubungi selepas sah menang.
"Selalunya dia tidur awal tapi malam itu, dia tidak tidur. Dia tunggu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.