Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 kementerian dapat menteri baru susuli rombakan besar Kabinet

 Tujuh menteri akan menukar portfolio dalam rombakan Kabinet besar-besaran, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (23 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Apr 2021 05:12PM Dikemas Kini : 23 Apr 2021 09:08PM

SINGAPURA: Tujuh menteri akan menukar portfolio dalam rombakan Kabinet besar-besaran, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (23 Apr), dua minggu setelah Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan bahawa beliau akan mengundurkan diri sebagai pemimpin pasukan generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Hari ini saya mengumumkan barisan baru Kabinet. Ia adalah rombakan yang lebih luas daripada biasa pada awal penggal pemerintah ini," menurut PM Lee.

"Dua sebab: Pertama, Menteri Kewangan akan berubah. Selepas Belanjawan 2021, DPM Heng akan melepaskan portfolio Kewangan. Kewangan adalah sebuah kementerian yang penting, oleh itu apabila Menteri Kewangan berubah, ia mempunyai banyak kesan."

Encik Lawrence Wong, 48 tahun, yang baru dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Julai lalu dan juga Menteri Kedua Kewangan sejak 2016, akan mengambil alih Kementerian Kewangan (MOF) daripada Encik Heng.

Encik Heng, 60 tahun, kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi.

PM Lee menambah bahawa beliau menukar menteri-menteri kesihatan, tenaga manusia dan perdagangan dan perusahaan, yang telah difikirkannya selepas Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), tetapi tidak berbuat demikian ketika itu kerana Singapura masih melawan COVID-19.

"Dengan perubahan-perubahan besar ini, pasti terdapat perubahan pada pelantikan lain," kata PM Lee. "Oleh itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menugaskan tanggungjawab baru kepada sebilangan menteri dan langkah ini akan memberikan mereka peluang untuk memperolehi pendedahan dan menimba pengalaman yang berbeza."

Encik Chan Chun Sing, yang sebelum ini adalah Menteri Perdagangan dan Perusahaan, akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Encik Ong Ye Kung akan berpindah dari Kementerian Pengangkutan untuk mengambil alih jawatan sebagai Menteri Kesihatan.

Encik Ong akan mempengerusikan Jawatankuasa Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 bersama dengan Encik Wong.

Encik Gan Kim Yong, yang sudah memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan selama hampir sedekad, akan menerajui Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Kementerian Pengangkutan (MOT) akan diterajui oleh Encik S Iswaran, manakala Cik Josephine Teo akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Tenaga Manusia dan mengambil alih Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Dr Tan See Leng akan menyandang jawatan sebagai Menteri Tenaga Manusia.

Kesemua pelantikan baru itu akan berkuat kuasa 15 Mei setelah Parlimen bersidang pada 10 Mei.

Rombakan itu diumumkan sembilan bulan selepas Kabinet baru dibentuk menyusuli Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) pada Julai tahun lalu.

PELANTIKAN BARU

Encik Chan Chun Sing akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Encik Lawrence Wong akan dilantik sebagai Menteri Kewangan. Beliau akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Encik Ong Ye Kung akan dilantik selaku Menteri Kesihatan. Beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan.

Encik Gan Kim Yong akan dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan. Beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan.

Encik S Iswaran akan dilantik selaku Menteri Pengangkutan. Beliau kekal sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) tetapi akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Cik Josephine Teo akan dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan (MCI). Beliau kekal sebagai Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, tetapi akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Tenaga Manusia.

Dr Tan See Leng akan dilantik sebagai Menteri Tenaga Manusia. Beliau dikekalkan sebagai Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan.

PELANTIKAN LAIN

Cik Sim Ann akan dilantik sebagai Menteri Negara Kanan Ehwal Luar. Beliau akan dikekalkan sebagai Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara, tetapi akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan.

Encik Chee Hong Tat akan terus berkhidmat sebagai Menteri Negara Kanan Pengangkutan tetapi akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Negara Kanan Ehwal Luar.

Dr Koh Poh Koon akan dilantik Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia dan akan dikekalkan sebagai Menteri Negara Kanan Kesihatan.

Encik Tan Kiat How akan dilantik Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan. Beliau akan mengekalkan peranannya sebagai Menteri Negara Pembangunan Negara, tetapi akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Negara Pejabat Perdana Menteri.

Cik Rahayu Mahzam akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Perhubungan dan Penerangan dan akan terus berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen Kesihatan.

TANGGUNGJAWAB TAMBAHAN

Cik Josephine Teo juga akan dilantik sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak, mengambil alih tugas daripada Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Bertanggungjawab bagi Agensi Keselamatan Siber Singapura, mengambil alih daripada Encik S Iswaran.

Encik Edwin Tong juga akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat (PA), mengambil alih tugas daripada Encik Chan Chun Sing.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sudah menerima saranan untuk Encik Chee Hong Tat menyertai NTUC kerana Dr Koh Poh Koon akan dikembalikan kepada Pemerintah sepenuh masa.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan