Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 karyawan Melayu/Islam dilantik jadi anggota Jawatankuasa Sementara Wakaf Masyarakat Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
7 karyawan Melayu/Islam dilantik jadi anggota Jawatankuasa Sementara Wakaf Masyarakat Singapura

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melantik seramai tujuh karyawan Melayu/Islam untuk membentuk Jawatankuasa Sementara Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) atau WPC. (Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 28 May 2024 11:55PM Dikemas Kini : 29 May 2024 05:16PM
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melantik seramai tujuh karyawan Melayu/Islam untuk membentuk Jawatankuasa Sementara Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) atau WPC.

Pelantikan tersebut sekali gus merupakan peristiwa penting dalam pembentukan wakaf baharu itu.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan MUIS pada Selasa (28 Mei).

Anggota-anggota jawatankuasa tersebut menerima surat pelantikan mereka daripada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli di Majlis Pelantikan WPC, yang diadakan di Hab Islam Singapura pada Selasa.

7 ANGGOTA JAWATANKUASA SEMENTARA WMS

Jawatankuasa itu dipimpin Encik Bahren Shaari, 62 tahun, yang merupakan seorang pemimpin masyarakat dan jurubank bersara.
Selain Encik Bahren, anggota jawatankuasa WPC yang lain terdiri daripada karyawan tersohor dengan kepakaran dalam pelbagai sektor merangkumi pelaburan, pengurusan risiko, audit, hartanah, undang-undang, pengawasan dana dan
bimbingan agama.

Berikut adalah barisan anggota jawatankuasa WPC:

1. Encik Bahren Shaari (Pengerusi)

2. Encik Khairul Anwar (MUIS Ex-Officio)

3. Encik Azman Jaafar

4. Encik Saiful Saroni

5. Encik Ismail Abdul Gafoor

6. Ustaz Mohd Kamal Mokhtar

7. Cik Nadia Yeo

Mereka dipilih dengan teliti untuk menerajui pembangunan model perniagaan yang berdaya maju dan mampan dalam memacu matlamat sebenar WMS.
Gambar: MUIS
Menzahirkan penghargaan kepada anggota WPC atas dedikasi dan kesediaan mereka untuk menabur bakti kepada masyarakat, Encik Masagos berkata: "WPC akan bertanggungjawab untuk membentuk rangka kerja yang mantap dan tadbir urus etika WMS dengan matlamat untuk mewujudkan mutawalli atau pemegang amanah wakaf yang berkesan.
Gambar: MUIS
"Lebih penting lagi, WPC perlu mengekalkan kepercayaan awam yang tinggi dengan membangunkan pelan hala tuju yang telus untuk WMS."

"WMS merupakan satu peluang bagi kami untuk menjadi masyarakat yang berdikari diperkasakan oleh wakaf. Menghidupkan semula legasi wakaf di Singapura menerusi WMS bagi generasi akan datang merupakan tanggungjawab bersama kami. Kami mengajak masyarakat untuk mengamalkan wakaf dan memiliki wasiat, sebagai sesuatu yang perlu dirancang oleh setiap umat Islam dan tidak bergantung kepada pembahagian harta pusaka faraid sahaja."

Di samping itu, Encik Masagos turut menyuarakan harapan agar semua anggota WPC dapat saling berkongsi pengalaman, idea dan rangkaian mereka dalam memastikan permulaan yang kukuh bagi WMS, dan dalam mengendalikan model wakaf baharu yang belum pernah dibangunkan di mana-mana pun dalam dunia Islam.

Awal dari itu, Encik Masagos mengumumkan pembentukan WPC di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada 19 April lalu.

Dalam ucapannya itu, beliau menyentuh mengenai tanggungjawab WPC dalam melakarkan pelan hala tuju WMS, termasuk strategi pengumpulan dana dan pelaburan, untuk tahun-tahun awal pembentukannya dan bertanggungjawab untuk mengendalikan model perniagaan WMS yang berdaya maju.

Menurutnya, WPC juga akan memainkan peranan penting dalam memastikan kemampanan jangka panjang dan kejayaan WMS.

Mengulas mengenai peranan jawatankuasanya itu dalam masyarakat setempat, Pengerusi WPC Encik Bahren, berkata "pembentukan Jawatankuasa Sementara Wakaf Masyarakat Singapura merupakan langkah penting menghala ke arah merealisasikan potensi wakaf dalam masyarakat kita.

"Kami komited untuk mewujudkan rangka kerja yang mantap yang bukan sahaja akan memastikan kemampanan WMS tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosio-agama masyarakat kita yang lebih meluas," tekannya.

WMS akan dilancarkan pada Ogos nanti pada Bulan Wakaf, yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Sepanjang Bulan Wakaf itu, orang ramai boleh menjangkakan pelbagai inisiatif dan kegiatan menarik yang dianjurkan termasuk Forum Faraid dan Jejak Warisan Wakaf, yang akan menggalak nilai-nilai dan manfaat wakaf serta mengetahui bagaimana mempelajari faraid serta bagaimana alat perancangan harta pusaka utama seperti pencalonan dan wasiat boleh mengendalikan usaha masyarakat untuk menyumbang kepada WMS.

Maklumat lanjut akan disediakan kelak.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan