Skip to main content

Singapura

7 hotel yang pernah wujud di SG suatu ketika dahulu

Berita penutupan Hotel Miramar membawa kembali kenangan manis - dari para tetamu yang pernah menginap di hotel itu, kepada kakitangan yang membina kerjaya di hotel itu, para pengunjung yang menikmati hidangan bufet serta pasangan mempelai yang mengadakan majlis perkahwinan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
7 hotel yang pernah wujud di SG suatu ketika dahulu

Sloane Court Hotel yang ditutup pada 2017. (Gambar: Facebook/Sloane Court Hotel)

Diterbitkan : 03 Sep 2025 10:58PM
SINGAPURA: Berita penutupan Hotel Miramar membawa kembali kenangan manis - dari para tetamu yang pernah menginap di hotel itu, kepada kakitangan yang membina kerjaya di hotel itu, para pengunjung yang menikmati hidangan bufet serta pasangan mempelai yang mengadakan majlis perkahwinan mereka.

Sedang bangunan ikonik di Havelock Road itu bersiap sedia berundur dari arena hospitaliti, kami menyingkap semula beberapa hotel-hotel di Singapura yang pernah wujud suatu ketika dahulu.

1. Sloane Court Hotel
Related article image
Gambar Hotel Sloane Court yang dipetik pada Mac 2009. (Imej: Google Street View)
Terletak di Balmoral Road, Sloane Court Hotel mempunyai reka bentuk dalaman ala-Tudor.

Menurut The Straits Times, hotel itu didirikan oleh seorang ahli perniagaan dari masyarakat Hainan bernama Chiam Heng Luan, yang juga mengendalikan restoran Captain's Cabin di Serangoon Gardens.

Encik Chiam pada awalnya membayangkannya sebagai sebuah kompleks apartmen empat unit mini, namun pada 1962, beliau memutuskan menjadikan projek itu sebagai sebuah rumah tumpangan, yang akhirnya menjadi sebuah hotel 32 bilik.

Sloane Court Hotel dan tanah bersebelahannya dibeli oleh Tiong Seng Holdings dan Ocean Sky International pada Ogos 2017 dan hotel itu ditutup pada November tahun itu selepas ia beroperasi lebih separuh abad.

Kompleks kondominium Sloane Residences kini berada di alamat itu.

2. Copthorne Orchid Hotel
Related article image
Gambar Hotel Copthorne Orchid pada November 2008. (Imej: Google Street View)
Copthorne Orchid Hotel sebelum ini terletak di Dunearn Road bersebelahan dengan Raffles Town Club, yang juga akan ditutup dalam masa terdekat ini.

Hotel itu dibuka pada 1970 sebagai Orchid Inn, dengan tujuan menampung warga asing yang bekerja di Singapura berbanding para pelancong, menurut satu laporan Straits Times yang diterbitkan pada Julai tahun itu.

Hotel tersebut dibeli oleh City Developments milik Hong Leong Group dari kumpulan Pontiac pada awal tahun 1970an, menurut laporan Business Times dari Mei 1999, dan terdapat gembar-gembur yang menyatakan hartanah itu akan dijadikan sebagai sebuah kondominium.

Ia dinamakan semula sebagai Novotel Orchid Inn pada 1982, sebelum ia kekal dengan nama Hotel Copthorne Orchid pada 1998, menurut laman Lembaga Warisan Negara (NHB) Roots.gov.sg.

Hotel itu ditutup pada Mac 2011 dan dirobohkan untuk memberi laluan kepada sebuah kondominium bernama Glyndebourne.

3. Novotel Singapore Clarke Quay
Related article image
Novotel Singapore Clarke Quay dilihat dalam latar belakang gambar Clarke Quay yang dimuat naik oleh hotel itu pada laman Facebooknya pada April 2017. (Gambar: Facebook/Novotel Singapore Clarke Quay)
Novotel Singapore Clarke Quay dibuka pada Oktober 1984 sebagai Hotel New Otani.

Ia adalah sebahagian daripada kompleks Liang Court di Sungai Singapura yang berciri-cirikan Jepun - hotel itu diuruskan oleh sebuah syarikat Jepun dan kompleks itu merangkumi sebuah pusat beli-belah yang menempatkan kedai serbaneka Daimaru dan kemudian pasar raya Meidi-Ya.

Hotel itu menjadi sebuah Novotel pada Disember 2004, menurut laman Roots.gov.sg.

Jenama New Otani bagaimanapun masih wujud.

New Otani Hotels kini mengendalikan 15 hotel - 14 di Jepun dan satu di China.

Dibangunkan oleh taikun Goh Cheng Liang dan keluarganya, kompleks itu akhirnya berada dalam tangan sebuah konsortium yang dipimpin oleh City Developments Limited dan CapitaLand dan termasuk Ascott Residence Trust pada 2019, menurut laporan Straits Times pada November tahun itu.

Namun kompleks itu dikosongkan pada 2020 dan dirobohkan pada 2021 untuk memberi laluan kepada pembangunan bercampur baharu bernama Canninghill Piers.

4. Lion City Hotel
Related article image
Gambar Lion City Hotel yang dipetik pada Jun 2011. (Imej: Google Street View)
Terletak di persimpangan antara Geylang Road dengan Tanjong Katong Road, Lion City Hotel dibangunkan oleh taikun Wee Thiam Siew.

Ia dibuka pada 1968 oleh Dr Goh Keng Swee semasa beliau menjawat peranan sebagai menteri kewangan Singapura, menurut Roots.gov.sg.

Setinggi 10 tingkat, hotel itu menempatkan 168 bilik dan sebuah restoran bernama Happy Restaurant dan kedai kopi yang menghidangkan makanan Peranakan dan beberapa makanan tempatan lain. Ia juga terkenal dengan hidangan bufetnya.

Di tingkat bawah hotel itu adalah sebuah arked membeli-belah, dan bersebelahan dengannya adalah Hollywood Theatre dan Hin Hollywood Canteen.

UOL memperolehi hotel itu dan pawagam lama itu pada Januari 2011, menurut PropertyGuru.

Pembangunan pelbagai guna Kinex didirikan di bekas tapak hotel itu.

5. New 7th Storey Hotel
Related article image
Gambar New 7th Storey Hotel yang dirakam pada Oktober 2008. (Imej: Google Street View)
Dibangunkan oleh individu sama yang mendirikan Lion City Hotel, Wee Thiam Siew, New 7th Storey Hotel terletak di Rochor Road dan ia sebenarnya mempunyai sembilan tingkat.

Hotel itu dibuka pada 1953 dan ia pada asalnya adalah sebuah hotel mewah yang popular dalam kalangan ahli perniagaan dan ahli politik.

Ia juga sering dikunjungi oleh askar-askar Britain, menurut Roots.gov.sg, yang melanggani pub di premis hotel itu dan menghadiri pesta di bangunan itu.

Ia kemudian dijadikan sebuah hotel tambang murah yang terkenal kerana mempunyai tangga putar (spiral staircase) dan lif yang dikendalikan secara manual.

Pada 2008, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan ia tidak mempunyai sebarang alternatif melainkan untuk merobohkan hotel itu bagi memperluaskan stesen MRT Bugis semasa pembinaan Laluan Downtown, dan hotel itu dirobohkan pada 2009.

6. Sea View Hotel
Related article image
Sea View Hotel seperti tertera dalam sebuah poskad dalam koleksi Muzium Negara Singapura yang bertarikh 1970an. (Gambar: Roots.gov.sg/Muzium Negara Singapura)
Kisah Sea View Hotel bermula seawal 1906, apabila ia dibuka oleh Encik de Souza.

Hotel itu yang terletak di Tanjong Katong dan dimiliki oleh ahli perniagaan Manasseh Meyer, juga pada satu ketika dikendalikan oleh adik beradik Sarkies dari Raffles Hotel.

Hotel itu ditutup pada 1964 dan sebuah Hotel Sea View baharu dibuka berhampiran di Amber Close pada 1969, menurut satu rencana di laman Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Hotel setinggi 18 tingkat itu juga satu lagi tempat yang terkenal dengan hidangan bufetnya.

Satu kawasan membeli-belah dibuka di hotel itu, menampilkan beberapa cawangan seperti IKEA, Yaohan dan Cold Storage.

Sea View Hotel yang kedua berhenti beroperasi pada November 2003 selepas ia dibeli oleh Wheelock Properties dan ia dirobohkan pada tahun seterusnya, menurut rencana NLB.

Ia kemudian digantikan dengan sebuah kondominium bernama Seaview.

7. Cockpit Hotel
Related article image
Cockpit Hotel seperti dipaparkan dalam poskad dalam koleksi Muzium Negara Singapura pada lingkungan tahun 1980an. (Gambar: Roots.gov.sg/Muzium Negara Singapura)
Cockpit Hotel - di Penang Road dan Oxley Rise - yang diingati orang ramai siap dibina pada 1972, namun kisahnya bermula lebih awal daripada itu.

Ia dibina di bekas tapak Hotel de L'Europe yang didirikan pada 1947 dan dikenali sebagai Cockpit Hotel kerana ia popular dalam kalangan anak kapal dan penumpang syarikat penerbangan Belanda KLM, menurut Roots.gov.sg. Ia pada awalnya, hanyalah panggilan, tetapi ia menjadi nama rasmi hotel itu pada 1960.

Hotel setinggi 13 tingkat dengan 230 bilik itu pada asalnya dimiliki oleh seorang ahli perniagaan Indonesia, Encik Hoo Liong Thing, dan ia bertukar tangan sebanyak dua kali sebelum ia dibeli oleh pemaju hartanah Wing Tai pada 1996.

Cockpit Hotel henti beroperasi pada Mac 1997 dan di bekas tapaknya kini menempatkan sebuah kondominium bernama Visioncrest Residence.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita