Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 finalis bakal berentap rebut gelaran juara Senandung Rock Jiwa Retak WGS

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Debaran semakin terasa menjelang malam kemuncak Pertandingan Senandung Rock Jiwa Retak pada Sabtu (17 Mei).

Berlangsung di pentas Persada Budaya Wisma Geylang Serai (WGS), seramai tujuh finalis bakal berentap untuk merebut gelaran juara pertandingan yang diadakan buat julung-julung kalinya itu.

Hanya mereka yang menduduki empat tangga teratas dan menerima gelaran 'Persembahan Paling Mencengkam' masing-masing berpeluang membawa pulang hadiah menarik, termasuk baucar Mutiara Seafood bernilai S$450, S$350, S$200, dan S$100.

Tujuh finalis yang bakal menggegarkan pentas WGS adalah Saiful Kasmuri, Fadhli Wahab, Puti Indah, Mohd Mazli, Izzan Adlan, Muhammad Yusry dan Taufiq Tarigan.

Para finalis dipilih daripada 18 penghantaran yang diterima pihak penganjur.

s


Dengan kesemua peserta dikatakan sudah biasa menyertai peraduan sedemikian, persaingan pada malam kemucak ini dijangka sengit.

Selain juri, mereka turut akan diadili oleh para penonton.

Undian para penonton bagi peserta kegemaran mereka membentuk 30 peratus daripada markah untuk menentukan kedudukan pertama, kedua, ketiga dan sagu hati. Baki 70 peratus pula berdasarkan markah yang diberikan oleh juri.

Lagi seorang juri pula ditugaskan untuk memilih persembahan dalam kalangan para peserta yang layak dinobat sebagai ‘Persembahan Paling Mencengkam’.

Persembahan para finalis pada Sabtu malam itu akan diiringi oleh kugiran yang terdiri daripada pemuzik tersohor seperti Addy Cradle. Mansoor Mohamed pula adalah pengarah muzik bagi pertandingan tersebut.

Terdapat juga persembahan daripada artis-artis undangan, yang terdiri daripada Shakhila Hamid daripada kugiran Yezz, yang merupakan salah seorang vokalis rok wanita yang mantap dalam dunia Rok Melayu.

PLATFORM CUNGKIL BAKAT KHUSUSNYA DARIPADA GENRE ROK

Disokong oleh WGS, pertandingan Senandung Rock Jiwa Retak, diadakan buat julung-julung kalinya untuk menyediakan wadah dinamik bagi para penyanyi genre rok menampilkan bakat mereka, di samping meraih pendedahan serta berhubung dengan para penonton.

Pertandingan itu malah, bertujuan untuk meraikan kreativiti dalam genre muzik rok dan memperkasakan artis-artis baharu untuk merealisasikan aspirasi muzik mereka.

Encik Rudy Djoharnaen, pengarah kreatif pertandingan itu, menyokong pertandingan tersebut kerana ia bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah merangsang kerencaman dan sentuhan daya kreatif dalam kalangan penggemar muzik rok.

"Matlamat kami adalah untuk mencungkil bakat-bakat terpendam dan memberi mereka sokongan yang mereka perlukan untuk berkembang dalam perjalanan muzik mereka," kata Encik Rudy.

Ditanya mengenai harapannya sepanjang pertandingan itu, Izzan Adlan, salah seorang finalis berkata: "Kemenangan sentiasa menjadi sasaran saya, tetapi pada masa yang sama saya berharap dapat menimba pengalaman dan pengetahuan dengan menyertai pertandingan ini.

"Saya ingin belajar tentang kelemahan saya dan mengusahakannya supaya saya dapat memperbaiki diri saya sebagai seorang penyanyi dan sebagai manusia juga. Tidak kira apa sahaja keputusannya, saya percaya bahawa akan ada sesuatu untuk saya belajar yang bermanfaat untuk masa terdekat."

Pertandingan Senandung Rock Jiwa Retak bakal berlangsung di pentas Persada Budaya WGS pada Sabtu dari 8.00 malam hingga 9.30 malam.

Ia akan diserikan dengan kehadiran Penasihat Utama WGS, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

50 hadirin pertama berpeluang untuk mendapatkan premium eksklusif WGS.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan