Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 diberkas jual minyak gas marin secara haram dekat Pulau Jurong

Tujuh lelaki berusia antara 20 dengan 48 tahun diberkas pada Selasa (21 Mei) kerana melakukan urus niaga minyak gas marin secara haram di perairan Benoi Basin dekat Pulau Jurong, menurut pihak polis.

Anggaran Waktu Membaca:
7 diberkas jual minyak gas marin secara haram dekat Pulau Jurong

Bot tunda yang terlibat dalam urus niaga haram minyak gas marin (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 22 May 2019 11:27AM Dikemas Kini : 22 May 2019 11:32AM

SINGAPURA: Tujuh lelaki berusia antara 20 dengan 48 tahun diberkas pada Selasa (21 Mei) kerana melakukan urus niaga minyak gas marin secara haram di perairan Benoi Basin dekat Pulau Jurong, menurut pihak polis.

Menurut siasatan awal, tiga daripada suspek itu, yang merupakan anak-anak kapal sebuah penyedia khidmat marin, dipercayai menggelapkan tiga tan metrik minyak gas marin tanpa pengetahuan syarikat itu.


Minyak tersebut kemudian dijual kepada lagi empat suspek, yang merupakan anak-anak kapal bot tunda yang berdaftar di negara asing.

Para suspek diberkas oleh polis pengawal pantai dalam satu operasi yang dijalankan bersama Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA).

Bot tunda tersebut juga ditahan bagi tujuan siasatan, menurut pihak polis.

Tiga suspek dari kapal penyedia khidmat marin itu akan didakwa pada Rabu atas jenayah pecah amanah sebagai kakitangan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan didenda.

Empat lagi suspek akan menghadapi dakwaan kerana menerima barang dicuri secara tidak jujur. Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara hingga lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

"Polis Pengawal Pantai (PCG) dan MPA memandang serius urus niaga minyak gas marin secara haram di perairan Singapura," menurut kenyataan polis.

"PCG akan terus melaksanakan langkah-langkah penguatkuasaan dan pemeriksaan keselamatan untuk mengelakkan, mencegah dan mengesan kegiatan haram seperti itu di perairan Singapura."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan