Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 diberkas berhubung kes tukar alamat secara tidak sah melalui khidmat online ICA

Anggaran Waktu Membaca:
7 diberkas berhubung kes tukar alamat secara tidak sah melalui khidmat online ICA

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 14 Jan 2025 11:34PM Dikemas Kini : 15 Jan 2025 12:16AM
SINGAPURA: Tujuh orang diberkas berhubung siri percubaan tidak sah untuk menukar alamat kediaman berdaftar melalui khidmat online Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA), menurut polis pada Selasa (14 Jan).

Penangkapan itu dilakukan selepas ICA mendedahkan pada 11 Januari bahawa penipu telah menggunakan akaun Singpass yang dicuri atau dikompromi untuk menukar alamat mangsa secara tidak sah.

Lebih 60 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Perisikan Polis terlibat dalam operasi di seluruh negara antara 11 hingga 13 Januari untuk menjalankan penangkapan tersebut.

Tujuh suspek - enam lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 19 hingga 32 tahun - dipercayai bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya 30 kes percubaan perubahan alamat secara tidak sah.

Enam daripada mereka disiasat kerana melanggar Akta Penyalahgunaan Komputer 1993, sekali gus menghadapi tuduhan mendedahkan kod akses secara tidak sah.

Seorang lagi suspek berdepan tuduhan di bawah akta yang sama kerana mendedahkan kata laluan atau kod akses Singpass secara tidak sah.

Sebilangan suspek juga sedang disiasat oleh ICA kerana disyaki melanggar Peraturan 20(a) Peraturan Pendaftaran Kebangsaan.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

SEPARA PERKHIDMATAN PULIH

Dalam kenyataan media berasingan, ICA menyatakan ia telah menyambung semula perkhidmatan menukar alamat kediaman secara elektronik (eCOA) untuk modul "Myself", dengan langkah keselamatan tambahan dilaksanakan.

Modul "Myself and my family members" dan "Others" masih digantung khidmat.

Mereka yang mengakses modul "Myself" kini perlu melakukan pengesahan muka semasa log masuk menggunakan akaun Singpass mereka.

Setakat Isnin, siasatan mendedahkan 87 percubaan telah dibuat untuk menukar alamat kediaman, dengan 69 perubahan berjaya dilaksanakan, dedah ICA.

Daripada 69 perubahan tersebut, penipu telah menguasai 17 akaun Singpass.

Selepas perkhidmatan elektronik digantung, ICA cuba menghubungi 87 individu yang terjejas untuk memaklumkan mereka tentang percubaan untuk mengubah alamat berdaftar mereka, sementara lawatan rumah dilakukan bagi mereka yang tidak dapat dihubungi melalui telefon.

"Untuk semua 87 kes ini, tanpa mengira sama ada percubaan untuk menukar alamat mereka berjaya atau tidak, ICA memudahkan penggantian kad pengenalan mereka dan memulihkan alamat kediaman yang didaftarkan dalam pangkalan data kami kepada yang sah," jelas ICA.

"Akaun Singpass yang dikaitkan dengan kesemua 87 kes ini telah ditetapkan semula atau digantung."

ICA menjelaskan ia juga bekerjasama dengan GovTech untuk membantu 17 pengguna akaun Singpass yang terjejas.

"Dalam hal ini, pihak polis dan GovTech telah menghubungi agensi pemerintah yang berkaitan dan perkhidmatan sektor swasta (contohnya, bank dan syarikat telekomunikasi) yang mungkin telah diakses oleh penipu menggunakan akaun Singpass yang terjejas, untuk memastikan tindakan pembetulan atau pencegahan yang sesuai diambil," menurut penguasa itu.

Siasatan ICA bermula pada September tahun lalu selepas menerima laporan daripada orang ramai yang mendapati alamat kediaman mereka diubah secara tidak sah.

Pada Disember lalu, siasatan ICA menunjukkan bahawa penipu telah menggunakan akaun Singpass yang dicuri atau dikompromi untuk menukar alamat kediaman mangsa melalui pilihan "Others" - yang membolehkan perubahan alamat oleh pihak ketiga.

Siasatan untuk mengenal pasti penipu lain masih dijalankan, menurut polis.


 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan