Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 daripada setiap 1,000 pelajar ditangkap merokok, hisap vape sepanjang 3 tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah pelajar yang ditangkap atas kesalahan merokok dan menggunakan pengewap elektronik atau vape "kekal rendah" pada purata iaitu sekitar tujuh orang daripada setiap 1,000 pelajar sepanjang tiga tahun lalu, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Sabtu (1 Okt). 

Perangkaan itu merangkumi para pelajar dari sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi-institusi prauniversiti, jawab kementerian tersebut sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp. 

"Kementerian Pendidikan mengambil pendirian tegas terhadap penggunaan vape," tambahnya. 

"Kami bekerja rapat dengan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk mengingatkan para pelajar bahawa menghisap vape adalah haram bagi mana-mana peringkat usia dan juga bagi menyemak garis panduan serta usaha menghentikan perbuatan merokok bagi pesalah pelajar." 

Umur sah untuk merokok di Singapura adalah 21 tahun. 

Meskipun penggunaan, pembelian dan pemilikan vape dilarang di Singapura mulai Februari 2018, produk seumpama itu masih dijual online dan diseludup masuk ke dalam negara. 

Pada awal tahun ini, HSA menyatakan terdapat kenaikan ketara dalam jumlah kes menghisap vape. Remaja dan bahkan murid-murid sekolah rendah sudah mula mengambil tabiat itu, kata seorang penasihat kesihatan pelajar kepada Mediacorp pada Jun. 

Apabila seorang pelajar didapati melakukan kesalahan merokok atau menghisap vape, produk-produk itu akan disita, menurut MOE. 

Sekolah-sekolah kemudian mengenakan "tindakan tatatertib yang wajar" seperti penahanan, digantung sekolah ataupun disebat bagi pelajar lelaki, bergantung kepada betapa serius kesalahan mereka. 

Mereka juga akan dilaporkan kepada HSA, yang akan mengenakan denda dan mengambil tindakan terhadap pesalah yang ingkar, menurut MOE dalam kenyataanya. 

Pesalah pelajar juga akan dirujukkan kepada Penasihat Kesihatan Pelajar serta program-program yang bertujuan untuk menggalak mereka supaya berhenti merokok. Menurut MOE, ia juga bekerjasama dengan ibu bapa pelajar untuk menghulurkan sokongan kepada mereka. 

"Jika perlu, sekolah-sekolah mungkin juga mengadakan program-program pencegahan jangka lebih panjang dengan para pelajar yang memerlukan lebih banyak sokongan," tambah MOH. 

Dalam kelas Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) di semua peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan prauniversiti, para pelajar mempelajari bagaimana untuk "mengesan kelakuan yang bersifat terburu-buru dan ketagihan" yang boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan mental serta fizikal mereka. 

Mereka juga mempelajari tentang strategi-strategi untuk mengawal diri dan menangani pengaruh negatif daripada rakan-rakan, menurut MOE dalam kenyataannya. 

Selain kurikulum sekolah, sekolah-sekolah juga bekerjasama dengan HPB untuk mendidik para pelajar mengenai risiko kesihatan akibat menghisap vape, tambah kementerian itu.

"MOE juga bekerjasama rapat dengan HPB untuk mendidik ibu bapa mengenai risiko kesihatan yang terkait dengan perbuatan pelajar menggunakan produk tembakau terlarang seperti vape."

Singapura menyaksikan kenaikan pada jumlah individu yang ditangkap menggunakan dan memiliki vape. Dalam satu kemas kini pada 27 September, HSA menyatakan 3,912 individu ditangkap atas kesalahan-kesalahan berkenaan antara Januari hingga Ogos tahun ini. 

Pada 2021, 4,697 individu ditangkap atas kesalahan yang sama, iaitu lebih tiga kali ganda berbanding 1,266 individu pada tahun sebelumnya. 

Seramai 428 individu ditangkap menjual vape antara 2018 hingga Ogos 2022. 99 daripada mereka didakwa dalam tempoh yang sama itu. 

Pesalah yang didapati menjual, memiliki untuk menjual, mengimport atau mengedar vape boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama. 

Pesalah berulang boleh dikenakan hukuman denda sehingga S$20,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan