7 belia dilantik jadi Sahabat Sastera 2024, buat persiapan jadi tuan rumah MASTERA 2025
SINGAPURA: Seramai tujuh belia dilantik oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) sebagai Sahabat Sastera.
Mereka antara lain akan mainkan peranan untuk membantu dalam penganjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2025 di Singapura.
Para Sahabat Sastera dahulu dan yang terbaharu diraikan dalam acara Majlis Pelantikan Sahabat Sastera 2024 di Wisma Geylang Serai siang tadi (9 Jun).
Menerusi inisiatif ini, Sahabat Sastera diharap dapat juga menghayati dan mengulas karya-karya Sastera di Singapura.
Ini demi memperkasa keupayaan mereka untuk gerakkan aktiviti sastera di sini.
Mereka akan dibimbing untuk mengelolakan perbincangan kritis berkaitan sastera dan Bahasa Melayu di Singapura.
Ini antaranya dengan menyumbang esei dan komentar serta menyertai program-program seperti forum dan ceramah.
NUR HANISAH INGIN GIAT AKTIF DALAM AKTIVITI DUNIA MELAYU
Antara yang dilantik kali ini termasuk mahasiswi dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Nur Hanisah Mohamad Ibrahim, 20 tahun.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana ini sesuatu yang besar bagi saya dan ini juga peluang besar untuk saya mengenali para sasterawan tanah air kita," kongsi Hanisah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Pastinya saya masih muda lagi tetapi saya harapkan saya boleh bergiat dengan lebih aktif dalam aktiviti-aktiviti dunia Melayu dan juga kerana pelantikan ini sepanjang hayat. Saya berharap bahawa dengan pengalaman saya, saya dapat berkongsi penulisan saya bukan sahaja untuk diri saya sendiri membaca malah untuk orang lain di luar sana juga yang dapat membacanya," tambah beliau.
GOLONGAN BELIA MAINKAN PERANAN PENTING DALAM SASTERA MELAYU
Dalam pada itu, mahasiswi tahun kedua itu turut akur tentang peranan penting golongan belia sepertinya dalam memartabatkan Sastera Melayu di Singapura.
"Penulis sastera Melayu (di sini) agak kecil dan seringkali kita dengar yang mereka ingin mencari pelapis untuk memartabatkan lagi dan meneruskan usaha sastera Melayu di Singapura dan saya rasa golongan belia memainkan peranan yang paling penting kerana mereka yang akan hadapi perubahan zaman, mereka akan menangani isu-isu masyarakat semua, dengan itu mereka dapat menghayati dan ingat kepada dunia sastera Melayu dan gunakan sebagai wadah untuk mendengarkan isu-isu. Itu akan menjadi sesuatu cara yang baik untuk kita terus maju," ujar Hanisah, yang menuntut dalam jurusan Seni Bina Landskap di NUS.
Pengerusi MBMS Fahmi Aliman turut menekankan tentang kepentingan peranan Sahabat Sastera untuk memastikan khazanah sastera di sini terus berkembang.
"Alhamdulillah dengan inisiatif ini, kita akan dapat menarik lebih banyak belia bukan sahaja untuk berkarya tetapi untuk mengulas, menghayati sastera untuk terus mengembangkan landskap sastera di Singapura ini. Banyak wacana yang kita boleh buat dan yang penting ialah untuk menarik minat jadi ramai anak-anak muda dapat rasa bahawa ini adalah satu wadah yang lebih baik untuk mereka menceburi dan memahami bahasa Melayu di Singapura ini," kongsi Encik Fahmi kepada BERITA Mediacorp.
"Ramai yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai bahasa dan sasterawan di Singapura ini. Jadi ini adalah satu wadah bagi belia-belia Sahabat Sastera untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat kita semua," tambahnya.
22 BELIA SUDAH DILANTIK SEJAK INISIATIF DIMULAKAN PADA 2021
Sejak inisiatif ini dimulakan pada 2021, seramai 22 belia sudah dilantik sebagai Sahabat Sastera.
Antaranya ialah Muhammad Iylia Kamsani yang dilantik sebagai Sahabat Sastera pada 2021.
Bagi dirinya, peluang itu sudah bantu membuka pintu untuk mendalami ilmu sastera di Singapura dan di luar negara.
Beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian di NUS dalam program Sarjana Pengajian Melayu antaranya, sudah mewakili Majlis Bahasa dan Singapura dalam peringkat rantau untuk forum-forum dan seminar-seminar bagi MASTERA.
"Pelantikan Sahabat Sastera membantu saya membuka jalinan kepada para Sasterawan mapan dan para pengamat, pengkaji dan penggiat sastera di Singapura dan rantau. Sebagai contoh, saya menyampaikan satu kertas kerja di Kuala Lumpur untuk MASTERA dan saya juga menghadiri acara-acara sastera tempatan yang dianjurkan pihak Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Yayasan Warisan Melayu (MHF) dan sebagainya," kongsi Iylia.
Dengan platform yang diberikan, beliau berharap dapat terus menyumbang kepada dunia kesusasteraan Melayu di Singapura.
"Saya bukan seorang penulis tetapi saya mempelajari sastera, jadi di mana dan bagaimana saya boleh menyumbang kepada dunia kesusasteraan adalah dengan mengkaji dan mengenali warisan khazanah sastera daripada sasterawan kita di Singapura yang mungkin kita terlepas pandang dan saya boleh mengkaji untuk menyemarakkan lagi buah fikiran mereka dan gagasan mereka untuk masyarakat," ujar Iylia.
INGIN TINGKATKAN MUTU, PENYERTAAN LEBIH BESAR UNTUK SAHABAT SASTERA
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Persuratan MBMS, Dr Azhar Ibrahim turut berkongsi rancangan untuk kembangkan lagi inisiatif berkenaan.
"Kalau Sahabat Sastera ini sebenarnya agak baru bergerak. Jadi adik-adik kita yang tampil ini sebenarnya mempunyai kemampuan untuk membuat penelitian untuk berbagi dalam bentuk seminar atau forum. Jadi ke hadapan, ialah untuk mempertingkatkan dari segi mutu dan juga dari segi penyertaan yang lebih besar. Di peringkat nasional, saya rasa sudah agak selesa tetapi di peringkat rantau, itu yang harus kita memberikan pendedahan yang lebih," kongsi Dr Azhar.
Beliau turut berkongsi antara yang boleh dijangkakan untuk MASTERA kali ini, termasuk peranan para Sahabat Sastera yang baru dilantik itu.
"Antara perancangan kita adalah untuk mengajak, dan mempelawa adik-adik kita yang boleh melakukan penelitian untuk mengkaji tokoh sastera tanah air kita yakni dari barisan penyandang Anugerah Tun Seri Lanang. Jadi, tokoh-tokoh ini wajar diberikan perhatian, dibuat kajian dan itu sebenarnya merupakan dokumentasi yang sangat penting," jelas Dr Azhar.
"Jadi di antara mereka yang boleh melakukan kajian yang akan kita tampilkan, melantunkannya atau membicarakannya di forum-forum sama ada di dalam negeri ataupun di luar negara. Jadi kita mengangkat sasterawan Singapura kita ke depan, memperkenalkan mereka di peringkat nasional dan di peringkat daerah rantau," tambah beliau.
Pada tahun 2025, Singapura akan menjadi tuan rumah bagi MASTERA dan pada tahun 2026 pula, ia akan menganjurkan Anugerah Persuratan.
Senarai penuh 7 Sahabat Sastera 2024:
- Haniman Boniran, Universiti Sains Kemasyarakat Singapura (SUSS)
- Miranti Silasudjana
- Mohammed Riefqan Iman, Maktab Rendah Yishun Innova
- Muazah Adawiyah Roslan, Universiti Sains Kemasyarakat Singapura (SUSS)
- Muhammad Hariz Emran, Universiti Nasional Singapura (NUS)
- Muhammad Syafiq Azman
- Nur Hanisah Mohamed Ibrahim, Universiti Nasional Singapura (NUS)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.