Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

7 banduan capai keputusan memuaskan bagi Peperiksaan GCE 'A'

Dalam kalangan lebih 12,000 pelajar yang menduduki Peperiksaan GCE 'A' 2019, ternyata ada tujuh banduan yang sama-sama menduduki peperiksaan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
7 banduan capai keputusan memuaskan bagi Peperiksaan GCE 'A'

(Gambar hiasan: Amrin Amin/Facebook)

SINGAPURA: Dalam kalangan lebih 12,000 pelajar yang menduduki Peperiksaan GCE 'A' 2019, ternyata ada tujuh banduan yang sama-sama menduduki peperiksaan itu.

Berkat azam dan bimbingan para guru Sekolah Penjara Tanah Merah, mereka bahkan berhasil mendapat keputusan yang memuaskan.

Lebih membanggakan lagi, salah seorang daripada mereka malah meraih empat gred 'A', satu 'B' dan satu 'C'. Enam layak masuk politeknik, mengambil kursus-kursus sarjana muda di institusi swasta atau program universiti tempatan sepenuh masa!

Berita baik ini disampaikan sendiri oleh Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin.

"Syabas kepada tujuh (pelajar) ini yang mengatasi cabaran, mengharungi onak duri kehidupan, cuba sedaya upaya dan terus berjuang! Jangan pernah menyerah!" tulis Encik Amrin menerusi catatan Facebooknya.

"Keputusan baik harus diraikan. Tetapi jika anda mencapai sesuatu walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya rasa mereka memang wajar dipuji."

Kohort 2019 yang menduduki Peperiksaan Peringkat 'A' umumnya mencatat rekod baru, iaitu mencapai kadar kelulusan terbaik sejak kurikulum maktab rendah disemak semula pada 2006.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), 93.4 peratus pelajar yang menduduki peperiksaan itu lulus sekurang-kurangnya tiga subjek H2 dan lulus Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan.

Jumlah pelajar yang meraih pencapaian itu naik sedikit berbanding kohort 2018 yang mencapai kadar kelulusan 93.3 peratus.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan