7,000 permohonan diterima bagi Geran Pemulihan COVID-19 (CRG)
Sebanyak 7,000 permohonan diterima bagi bagi Geran Pemulihan COVID-19 (CRG) sejak permohonan dibuka pada Isnin (18 Jan).
SINGAPURA: Sebanyak 7,000 permohonan diterima bagi bagi Geran Pemulihan COVID-19 (CRG) sejak permohonan dibuka pada Isnin (18 Jan).
Di bawah geran baru itu penerimanya boleh menerima sokongan kewangan antara S$500 sehingga S$700 sebulan selama tiga bulan demi membantu mereka mengharungi kesan COVID-19.
Berbanding dengan Geran Sokongan COVID-19 (CSG) dan Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu Bekerja Sendiri (SIRS), CRG disasarkan kepada golongan isi keluarga yang berpendapatan lebih rendah.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Masagos Zulkifli berkata meskipun ada petanda ekonomi Singapura beransur pulih tidak semua pekerjaan dapat diselamatkan.
Maka itu, langkah-langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan permohonan dapat diproses dengan cepat bagi membantu mereka yang masih terjejas secara kewangan oleh COVID-19.
Jelasnya, skim bantuan seperti Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang disediakan kepada syarikat juga bukan sesuatu yang tetap.
"Kita lihat dalam beberapa sektor ada pertumbuhan kelak jadi kita tidak akan lagi perlu memberi insentif kepada perusahaan untuk memberikan atau menampung pekerja-pekerja mereka," katanya dalam wawancara bersama media hari ini (21 Jan).
Walau bagaimanapun tambah Encik Masagos, akan ada pekerja yang kerana tidak ada JSS, perusahaan-perusahaan tersebut akan mula membuang pekerja mereka.
CRG membantu pekerja bergaji rendah hingga pertengahan serta mereka yang bekerja sendiri, serta disasarkan bagi pemohon dengan pendapatan isi rumah lebih rendah dan mereka yang mengalami kehilangan pendapatan lebih besar.
Kriterianya juga lebih ketat.
Misalnya, pemohon harus mempunyai pekerjaan sebelum terjejas oleh pandemik itu.
Pemohon juga harus menunjukkan usaha mencari kerja atau latihan menerusi wadah seperti SGUnited.
"Yang membuat saya khuatir adalah mereka yang mengambil peluang-peluang yang disebut sementara seperti menjadi pemandu Grab, pekerja penghantaran dan sebagainya menjadi pekerjaan yang tetap."
Golongan itu dikhuatiri tidak akan memanfaatkan peluang-peluang latihan yang disediakan.
Ini kerana latihan-latihan yang disediakan itu mungkin tidak ditawarkan pada masa depan atau mereka mungkin perlu membayar sendiri yuran yang tinggi untuk mengikuti kursus-kursus yang diinginkan.
"Kami harap melalui CRG dan juga mereka mengambil peluang mengikuti kursus-kursus yang juga memberikan mereka elaun. Ini jika digabungkan adalah sesuatu yang boleh menampung mereka buat sementara waktu ini."
Encik Masagos berkata langkah sewajarnya akan diambil untuk menyaring semua permohonan CRG.
Sebelum ini sekitar 1,000 pemohon diminta memulangkan bayaran yang diterima di bawah skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS) kerana memberi pernyataan yang salah.
"Kami telah mempelajari daripada apa yang berlaku. Jadi sekarang melalui CRG kita memastikan bahawa semua dokumen yang diperlukan, maklumat data itu telah diiktiraf agensi agensi yang berkaitan supaya ia tidak menjadi masalah selepas itu."
"Harapan kami dalam satu dua minggu kalau semua ini tuntas kami akan memberi geran CRG itu secepatnya," ujar beliau.
Permohonan bagi geran CRG dibuka hingga 31 Disember ini dan boleh dibuat menerusi laman go.gov.sg/CRG.
Bagi mereka yang tidak boleh memohon secara online pula, boleh ke Pejabat Khidmat Sosial terdekat untuk mendapatkan bantuan.
Mereka yang memerlukan bantuan untuk menyiapkan borang permohonan boleh menghubungi hotline ComCare di 1800-222-0000 atau e-mel Ask_SSO [at] msf.gov.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.