6,952 flat BTO dilancar pada Jun, termasuk 2 projek Prime di Bishan, Bukit Merah
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (17 Jun) melancarkan 6,952 flat dalam sesi jualan Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Jun 2026, dengan dua projek Prime di Bishan dan Bukit Merah.
Projek-projek Prime - Lakeview Cascadia di Bishan dan Berlayar Rise di Bukit Merah - akan mempunyai kadar subsidi yang dikembalikan masing-masing sebanyak 10 dan 14 peratus.
Ia merupakan antara tujuh projek yang ditawarkan, termasuk tiga projek Standard di Sembawang dan Woodlands serta dua projek Plus di Ang Mo Kio.
Projek Lakeview, iaitu yang pertama daripada dua projek BTO yang dirancang untuk kawasan itu, akan menawarkan 1,211 unit.
Ia pertama kali dalam tempoh lebih 40 tahun di mana flat perumahan awam baharu akan dibina di kawasan itu.
Bagi memberikan lebih banyak sokongan kepada keluarga lebih besar, HDB juga meningkatkan Skim Keutamaan Anak Ketiga (TCPS) dan ia akan bermula mulai sesi jualan BTO pada Jun.
Kuota peruntukan TCPS akan dinaikkan daripada sehingga 5 peratus kepada sehingga 10 peratus bagi flat-flat yang ditawarkan dalam sesi jualan BTO dan SBF.
Ia juga akan diperluaskan untuk meliputi keluarga yang bakal menimang anak ketiga.
Terdapat pelbagai jenis flat daripada flat Fleksi dua bilik hingga 3Gen yang ditawarkan bagi memenuhi pelbagai keperluan perumahan dan kemampuan rakyat Singapura, menurut HDB.
Ia menambah bahawa mereka yang mahu mendapatkan rumah sendiri dengan lebih cepat boleh menimbangkan untuk memilih projek-projek dengan masa menunggu lebih singkat.
Terdapat 2,035 flat sedemikian di Sembawang Portico dan Sembawang Brook dengan masa menunggu kurang tiga tahun, serta 485 flat di Kebun Baru Ridge dengan masa menunggu selama tiga tahun satu bulan.
Bagi memenuhi keperluan perumahan golongan bujang yang memohon untuk kali pertama dan warga emas, sekitar 2,300 daripada flat yang ditawarkan - atau hampir sepertiga unit adalah flat Fleksi dua bilik.
Flat-flat itu ditawarkan dalam enam daripada tujuh projek dan ia juga sebahagian daripada 20,000 flat Fleksi dua bilik yang akan dilancarkan dari 2026 hingga 2028.
Permohonan bagi sesi jualan BTO Jun 2026 dibuka sehingga 24 Jun dan boleh dibuat menerusi online melalui portal flat HDB.
Pemohon yang ingin mengambil bahagian dalam sesi jualan BTO Jun 2026 harus mempunyai surat Kelayakan Flat HDB (HFE) apabila mereka menghantar permohonan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.