682 notis penguatkuasaan dikeluarkan bagi kesalahan beri makan kepada burung merpati
Sejumlah 682 notis penguatkuasaan dikeluarkan bagi kesalahan memberi makanan kepada burung merpati sepanjang tiga tahun lalu.
(Gambar: Low Zoey)
SINGAPURA: Sejumlah 682 notis penguatkuasaan dikeluarkan bagi kesalahan memberi makanan kepada burung merpati sepanjang tiga tahun lalu. Demikian menurut Setiausaha Parlimen bagi Pembangunan Negara Sun Xueling pada Rabu (8 Mei) sebagai respons kepada soalan parlimen daripada Anggota Parlimen Lim Biow Chuan.
Encik Lim bertanya tentang jumlah saman yang dikeluarkan kepada para pesalah yang memberi makanan kepada burung merpati dan sama ada terdapat langkah-langkah pencegahan yang boleh diperkenalkan oleh pihak kementerian.
Cik Sun berkata, buat masa sekarang, Lembaga Taman Negara (NParks) menggunakan langkah-langkah seperti memasang kamera dan menjalankan pengawasan di tempat-tempat orang selalu memberi makan kepada burung merpati.
Selain itu, kata Cik Sun, NParks juga bekerjasama dengan Majlis Bandaran untuk meletakkan notis yang meminta maklumat tentang kegiatan memberi makanan bagi menjalankan operasi penguatkuasaan secara lebih tertumpu.
Namun, beliau menekankan, satu lagi strategi lebih penting adalah pendidikan awam.
"NParks, NEA (Agensi Sekitaran Kebangsaan) dan Majlis Perbandaran bekerjasama untuk mendidik penduduk tentang isu-isu kesihatan sekitaran serta kebersihan yang timbul akibat memberi makanan kepada burung merpati. Ini dilakukan melalui surat makluman, poster dan acara mendekati masyarakat. Para pemimpin masyarakat dan akar umbi juga membantu untuk menyebarkan mesej tersebut," kata Cik Sun.
"Agensi-agensi juga sedang bekerjasama dengan Pejabat Khidmat Perbandaran untuk menghasilkan bahan dan pesanan pendidikan awam yang tertumpu."
Cik Sun menambah, NEA juga bekerjasama dengan pusat makanan dan kedai kopi di estet-estet HDB untuk memastikan pengurusan sisa makanan yang baik dan penguatkuasaan peraturan terhadap perbuatan membuang sampah.
Perbuatan memberi makanan kepada burung merpati di tempat awam adalah satu kesalahan dan membawa hukuman denda sehingga S$500 di bawah Peraturan Haiwan dan Burung (Merpati).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.