68 pelajar menengah program MLEP teroka cara kreatif pertingkat kemampuan penterjemahan
Seramai 124 pelajar sekolah menengah dan maktab rendah berpeluang mengikuti bengkel penterjemahan yang diadakan secara online.
SINGAPURA: Seramai 124 pelajar sekolah menengah dan maktab rendah berpeluang mengikuti bengkel penterjemahan yang diadakan secara online.
Sesi pertama bagi 68 pelajar Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) diadakan pada 4 November, manakala bagi peringkat maktab rendah, pada 2 Disember 2020.
Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Kementerian Pendidikan (MOE) bersama Inisiatif 'Masyarakat Yang Peka Terhadap Penterjemahan' (CiT).
PENTERJEMAHAN BANTU PEMAHAMAN TEKS DI INTERNET
Sepanjang bengkel online itu, para pelajar menengah dua dan tiga dari Sekolah Menengah Anderson, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Sekolah Menengah Tanjong Katong dibimbing oleh pakar-pakar industri tentang selok belok penterjemahan menerusi ceramah dan aktiviti berkumpulan.
Antaranya cabaran membawakan lagu popular 'You Are The Reason' nyanyian Calum Scott dengan liriknya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

"Kebanyakan maklumat yang terdapat di internet itu dalam bahasa Inggeris. Jadi dengan sekurang-kurangnya kemahiran asas dalam penterjemahan, pelajar-pelajar ini dapat dibantu memahami teks yang dibaca, mereka dapat memilih fakta-fakta, dan begitu juga mereka dapat mencerakin bahan-bahan yang disediakan itu untuk memilih dan menyesuaikan bahan itu dengan tugasan yang diberikan," kata Cik Pairah Satariman, Pakar Peneraju, Bahasa Melayu, Cawangan Bahasa Ibunda, Bahagian Perancangan & Pembangunan Kurikulum 1, MOE.

Sesi bersama Duta Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) dan pemenang sulung Hadiah Terjemahan Mastera 2019, Cik Nur-El-Hudaa Jaffar pula mendedahkan para pelajar kepada pengalaman sebagai penulis dan penterjemah.
Penerima Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan itu berkata: "Dalam suasana Singapura ini, kegiatan terjemahan memang ada ruangnya dan perlu digalakkan sebab aktiviti terjemahan bukan sahaja memperkayakan bahan-bahan bacaan tetapi memperkayakan penguasaan kita dalam sesuatu bahasa."
MEMUPUK BELIA MENJADI PAKAR RUJUKAN BAHASA
Para pelajar yang menghadiri sesi itu jelas menghargai kepentingan penterjemahan dan manfaatnya.

"Saya berpeluang mempelajari tentang sejarah penterjemahan dan peri pentingnya penterjemahan dalam konteks Singapura yang berbilang bangsa dan bahasa," kongsi Akasyah Mohd Shahrin, pelajar Menengah 3 dari Sekolah Menengah Anderson.
Pandangan yang sama turut dikongsi pelajar Menengah 3, Sekolah Menengah Tanjong Katong, Mira Ayumi Mohamad Shareef.
"Saya dapat mengetahui pentingnya mengetahui kemahiran dalam dwibahasa dan penterjemahan, dan menimbulkan penghargaan terhadap bahasa."
Keghairahan yang ditonjolkan para pelajar ini pastinya menyuntik harapan bahawa obor perjuangan untuk melestarikan bahasa Melayu terus menyala untuk masa depan.
"Kami mahu membina mereka menjadi duta bahasa dan juga pakar rujuk dalam bidang bahasa, budaya dan sastera di Singapura pada masa depan," jelas Cik Pairah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.