Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

66 masjid di sini sudah siap untuk solat Jumaat pertama esok

66 masjid di sini sudah bersedia menerima kunjungan para jemaah bagi solat Jumaat pertama esok (26 Jun) setelah lebih tiga bulan masjid ditutup ekoran COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 66 masjid di sini sudah bersedia menerima kunjungan para jemaah bagi solat Jumaat pertama esok (26 Jun) setelah lebih tiga bulan masjid ditutup ekoran COVID-19.

Selain persiapan logistik, kakitangan masjid juga menjalani taklimat bagi membantu memudahkan proses menunaikan solat esok.

Di Masjid Darussalam misalnya, pihak masjid di Clementi itu mahu memastikan semuanya berjalan licin dan jemaah tidak keliru.

Pelbagai persiapan dilakukan termasuk menyediakan jalan keluar masuk berasingan.

Stesen pendaftaran juga disediakan bagi memudahkan pengesanan kontak selain petak-petak solat yang dimantapkan lagi.

Mentelah lagi, sekitar 100 jemaah dijangka akan hadir esok. Tempahan tempat bagi menunaikan solat Jumaat esok di masjid itu sudah penuh bagi kedua-dua sesi, sebagaimana di semua masjid lain.

"Mereka rindu dengan masjid dan hendak bersolat di masjid dan sebagainya. Jadi cabaran bagi kami adalah bagaimana untuk memahami keadaan mereka. Pada masa yang sama kita harus memastikan segala peraturan yang ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19 dipatuhi, kata "Pengurus Masjid Darussalam Ustaz Harunarrashid Zainudin.

"Satu lagi cabaran adalah dari sudut sumber manusia, maknanya dari sudut tenaga kerja kerana kita dapati kita memerlukan tenaga manusia yang lebih banyak untuk memastikan perjalanan ini dengan baik," ujarnya lagi.

Ustaz Harun menambah bahawa pihak masjid juga akan menjalankan beberapa langkah keselamatan tambahan.

Ini termasuk kerja-kerja pembersihan yang dilakukan antara kedua-dua sesi solat dan menyediakan ruang khas untuk para jemaah sesi kedua menunggu sebelum kumpulan jemaah sesi pertama meninggalkan kawasan masjid.

Kakitangan dan relawan masjid juga menghadiri sesi taklimat supaya mereka dapat bersedia memberikan bantuan menyeluruh kepada jemaah.

"Kami akan menghadapi pelbagai cabaran kerana jemaah kita yang pelbagai dan sebagainya. Jadi apa yang kita lakukan adalah senantiasa menasihatkan mereka apabila mereka sampai di masjid,"kata Ustaz Harun lagi.

"Apa saya harapkan adalah daripada masyarakat Singapura supaya mereka memahami keadaan kita sekarang ini. Bukan perkara ini yang kita inginkan tetapi perkara ini yang kita kena lakukan demi menjaga institusi masjid dan kesihatan masyarakat."

Jemaah yang sudah membuat pendaftaran ke masjid esok diingatkan supaya mematuhi langkah jaga jarak selamat serta membawa kad pengenalan untuk mendaftar masuk. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan