Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

60,000 slot solat tarawih disediakan setiap malam; tempahan mula dibuka 10 pagi, 31 Mac

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Mar 2022 07:09PM Dikemas Kini : 29 Mar 2022 01:09AM

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Isnin (28 Mac) menyatakan, kebanyakan daripada kegiatan Ramadan yang digantung sejak dua tahun lalu akan disambung semula, tetapi dengan cara terkawal.

Antara lain, lebih banyak slot untuk solat tarawih akan disediakan kali ini, iaitu 60,000 slot setiap malam di masjid-masjid di sini.

Ini bersamaan dengan 1.8 juta slot bagi sebulan Ramadan, jauh lebih tinggi berbanding lebih 250,000 slot tarawih pada Ramadan tahun lalu.

Menurut MUIS, tempahan bagaimanapun masih perlu dilakukan dan jemaah boleh mula menempah slot mereka pada 10.00 pagi, Khamis (31 Mac) melalui sistem online.

Bagi membantu menguruskan kapasiti di masjid dan sebagai tindak balas kepada permintaan jemaah yang mahukan pengalaman selamat dan teratur, jemaah akan perlu menempah slot solat Isyak dan tarawih melalui sistem online.

Solat tarawih akan bermula selepas solat jemaah Isyak pada pukul 8.45 malam dengan ruang bagi jemaah wanita disediakan di semua masjid.

Jemaah juga boleh membuat beberapa tempahan sepanjang Ramadan.

MUIS juga menyatakan sebilangan masjid akan menyediakan ruang khusus untuk mereka yang tidak dapat berbuka di rumah disebabkan bekerja.

Dalam kenyataanya MUIS amat menggalakkan orang ramai berbuka dan solat Maghrib di rumah bersama keluarga.

Tambah MUIS, Qiyamullail juga akan diadakan di beberapa masjid tertentu pada 10 malam terakhir Ramadan.

Jemaah tidak perlu membuat tempahan untuk sesi-sesi Qiyamullail namun ia perlu selesai pada jam 4.30 pagi. Bermalam di masjid tidak akan dibenarkan dan sahur tidak disediakan, menurut MUIS.

Kegiatan keagamaan lain yang akan juga dianjurkan masjid-masjid tempatan ialah Tadarus, Khatamul Quran dan syarahan agama.

Walaupun lebih banyak kegiatan dibuka, MUIS menekankan bahawa semua solat sepanjang Ramadan dan Solat Aidilfitri akan tetap dijalankan dalam pekarangan masjid.

Solat berjemaah di kolong-kolong blok dan di tanah lapang masih tidak dibenarkan tambah MUIS.

"Tahun ini masyarakat Muslim di Singapura dijangka menyambut Ramadan dari 3 April hingga 2 Mei," kata MUIS.

"Sedang masyarakat menuju ke arah tempoh endemik pasca COVID-19, MUIS masih menekankan pentingnya pendekatan berhati-hati sedang lebih banyak aktiviti keagamaan disambung semula dan perlunya masyarakat bekerjasama rapat."

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan