Skip to main content

Singapura

6,000 permohonan bagi pasport diterima setiap hari, ICA perlu lebih banyak masa untuk proses

Permohonan pasport akan mengambil lebih banyak masa untuk diproses disebabkan permintaan tinggi menyusuli pelonggaran sekatan sempadan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Mar 2022 12:12PM Dikemas Kini : 29 Mar 2022 09:19PM

SINGAPURA: Permohonan pasport akan mengambil lebih banyak masa untuk diproses disebabkan permintaan tinggi menyusuli pelonggaran sekatan sempadan.

Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini (29 Mac).

Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, ICA menyatakan jumlah permohonan bagi pasport sejak Mac 2022 adalah "pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini".

"Pada ketika ini, jumlah permohonan bagi pasport yang diterima setiap hari adalah tiga kali ganda purata harian kadar sebelum COVID-19," menurut seorang jurucakap ICA sambil berkata sekitar 6,000 permohonan diterima setiap hari, berbanding 2,000 permohonan sebelum pandemik.

"Ini disebabkan oleh permintaan tertunggak sebanyak sejuta pasport yang sudah tamat tempoh dan menghampiri tarikh luput dengan sekatan sempadan COVID-19 dilaksanakan.

"Kami mohon pemahaman rakyat Singapura bahawa lebih banyak waktu diperlukan untuk memproses kesemua permohonan pasport."

Rakyat Singapura yang mempunyai rancangan untuk ke luar negara dalam masa beberapa bulan akan datang dan perlu memperbaharui pasport mereka dinasihatkan supaya membuat permohonan awal.

Permohonan bagi pasport boleh dibuat online menerusi laman www.ica.gov.sg.

Sebaik sahaja mereka dimaklumkan bahawa pasport mereka sedia untuk diambil, rakyat Singapura boleh membuat janji temu untuk mengambilnya dari mana-mana 27 pejabat pos di seluruh Singapura tanpa perlu membayar yuran tambahan pengambilan.

"ICA juga ingin mengingatkan rakyat Singapura bahawa mereka tidak perlu memperbaharui pasport mereka jika mereka masih berada di Singapura dan tidak mempunyai rancangan untuk ke luar negara sepanjang enam bulan akan datang," menurut jurucakap ICA.

"Pasport Singapura bukan dokumen pengenalan wajib dan tiada hukuman dikenakan kerana tidak memperbaharui pasport yang sudah tamat tempoh."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita