Skip to main content

Singapura

600 penerima bantuan Darul Arqam dapat S$200 langsung ke akaun bank mereka

Seramai 600 penerima bantuan Darul Arqam hari ini (24 Apr) menerima sumbangan zakat berjumlah $120,000. Lebih 20 peratus penerimanya adalah golongan muallaf.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Apr 2021 09:05PM Dikemas Kini : 24 Apr 2021 09:46PM

SINGAPURA: Seramai 600 penerima bantuan Darul Arqam hari ini (24 Apr) menerima sumbangan zakat berjumlah $120,000. Lebih 20 peratus penerimanya adalah golongan muallaf.

Disebabkan pandemik COVID-19, kutipan zakat yang berjaya dikumpulkan Darul Arqam itu lebih rendah, berbanding $195,000 tahun lalu.

Lantaran itu jugalah bantuan wang untuk golongan fakir miskin atau memerlukan yang dihulurkan Darul Arqam sempena Ramadan tahun ini, berkurangan hampir 40 peratus.

Namun demikian, hari ini setiap daripada 600 penerima bantuannya itu mendapat sebanyak $200 yang disalurkan langsung ke akaun bank mereka dan boleh dikeluarkan hari ini juga.

Related article image

Presiden Darul Arqam, Encik Muhammad Imran Kuna Abdullah berkongsi: "Pengagihan zakat adalah acara tahunan bagi Darul Arqam dan kami tidak patut berhenti hanya kerana keadaan pandemik. Meskipun jumlahnya dikurangkan, kami masih merasakan ia akan dapat menyokong bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada habuan daripada kami."

LANCAR PORTAL DERMA BARU PELBAGAI KAEDAH BAYARAN

Darul Arqam hari ini juga melancarkan kempen #giveMCAS dengan membuka portal derma baru bagi membolehkan orang ramai menyumbang dengan lebih mudah kepada persatuan tersebut.

Sumbangan yang boleh dihulurkan kepada portal #giveMCAS melalui pelbagai kaedah bayaran itu akan disalurkan kepada program-program dakwah, biasiswa pendidikan dan kegiatan kebajikan di Darul Arqam.

"Ini adalah satu cara kami mendampingi masyarakat untuk memberitahu mereka sumbangan anda bukan sekadar wang ringgit, tetapi ia juga melambangkan semangat kekitaan.

"Jadi setiap dolar yang anda sumbangkan, anda sebahagian daripada apa yang kami lakukan, dan itu penting dan ia membolehkan kami mendampingi lebih ramai individu yang kurang bernasib baik," ujar Encik Imran.

TURUT JALANKAN PROJEK IFTAR2U

Dana yang dikumpul melalui portal baru #giveMCAS antara lain turut disalurkan kepada program Iftar2u sempena Ramadan ini.

Menerusi program tersebut, 4,000 hidangan berbuka puasa akan diagihkan kepada 1,000 keluarga memerlukan setiap hari Sabtu.

Related article image

Ia dihantar oleh 200 penghantar makanan sukarela ke seluruh Singapura sepanjang bulan ini, dengan sokongan rakan-rakan projek, iaitu Masjid Assyafaah, Hezom International, Leng Kee Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan India (IAEC) dan Masjid Omar Kg Melaka.

Para penerima bantuan itu merangkumi 600 penerima bantuan Darul Arqam, 60 pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura dan 340 penerima bantuan rakan-rakan projek tersebut.

Inisiatif tersebut dijalankan sebagai menggantikan sesi berbuka puasa beramai-ramai secara mingguan, yang pernah diadakan pada tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19.

Bagi Ramadan ini, juadah yang diagihkan terdiri daripada Nasi Ayam Penyet, Nasi Briyani, Nasi Minyak dan Nasi Ayam bagi keluarga-keluarga tersebut sepanjang Ramadan ini.

Untuk menyokong projek Iftar2u itu, MCAS turut mendapat tajaan $15,000 daripada Maybank Singapore dan $4,000 daripada Mustafa Center. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita