Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

600 orang dibenarkan masuk ke GSHRSE dalam satu-satu masa, 80% gerai sudah dibuka sehari sebelum Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam satu-satu masa, hanya 600 orang dibenarkan untuk masuk ke ruangan Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai (GSHRSE) yang dibahagikan kepada dua zon di kawasan Wisma Geylang Serai (WGS).

Buat masa ini, ia memperkenalkan sistem beratur menggunakan kad bagi mengawal jumlah pengunjung yang datang ke GSHRSE.

Para pengunjung akan diberikan kad sebelum mereka dapat masuk ke zon-zon acara, dan sebelum mereka keluar pula, kad itu perlu dikembalikan kepada pegawai yang bertugas.

Bagi menantikan giliran mereka, para pengunjung boleh berteduh di bawah sebuah khemah yang didirikan.

PERLU PAKAI PELITUP DI ZON ZON ACARA

Sepanjang berada dalam GSHRSE, para pengunjung juga perlu memakai pelitup kecuali apabila mereka makan dan minum.

Meski berskala kecil kali ini, bazar kendalian Orange Travel Pte. Ltd ini diharapkan dapat memeriahkan lagi suasana musim perayaan itu dengan 40 gerai makanan Halal serta gerai runcit dan gaya hidup.

Daripada jumlah ini, lapan merupakan gerai makanan Halal manakala 32 pula merupakan gerai runcit dan gaya hidup.

Gerai-gerai ini dibahagikan kepada dua zon - zon satu di kawasan dalam WGS di dewan acara Persada Budaya dan zon dua pula di luar bangunan WGS.

Makanan dan barangan sinonim dengan musim perayaan itu dijual di sini termasuk baju raya Melayu, songkok, capal, serta makanan popular seperti dendeng, vadai dan juga burger Ramly.

HANYA DUA MINGGU UNTUK PENIAGA BUAT PERSIAPAN

Berbeza dengan bazar Ramadan sebelum pandemik COVID-19 yang membolehkan para pegerai membuat persiapan dalam tempoh satu hingga dua bulan, masa yang diberikan kepada peniaga kini hanyalah dua minggu sahaja.

Meskipun begitu, rata-rata peniaga yang BERITAmediacorp temui hari ini (2 April) tetap teruja untuk menyambut kedatangan para pelanggan.

Ini lebih-lebih lagi merupakan kali pertama mereka berniaga di bazar WGS pada bulan Ramadan.

Antaranya termasuk Sherkzy.co yang menjual baju-baju raya dan Muslimah.

"Masa untuk persediaan itu agak suntuk jadi dalam dua minggu kita perlu berhubung dengan pembekal kami untuk memastikan jumlah stok mencukupi jadi jika pelanggan ingin beli, kita boleh jual kepada semua," kongsi Encik Irfan Afifi, pemilik bersama Sherkzy.co.

Namun begitu, persediaan masih tetap dapat dilakukan menjelang hari pertama Ramadan esok (3 April) dengan mengambil lebih ramai pekerja untuk membantu mereka.

Mereka percaya pengalaman berbelanja secara fizikal tidak boleh diganti sepenuhnya dengan pembelian secara online bagi semua produk.

"Kami menjual baju raya dan baju Muslimah jadi orang ramai tidak perlu membeli-belah di wadah online," ujar Encik Afifi.

"Mereka boleh datang ke kedai kami sendiri untuk mencuba pakaian-pakaian sebelum mereka membeli, dan merasa sendiri kain dan bahan yang kami gunakan yang sebelum ini mereka tidak boleh rasakan," kata Encik Afifi.

Para peniaga juga memperkenalkan beberapa unsur baru di gerai mereka seperti menggunakan teknologi moden.

Seperti Sherkzy.co, T Bob's Corner yang menjual daging kambing, lembu dan stik, turut menggunakan kaedah pembayaran tanpa sentuhan.

"Selalunya, orang akan menggunakan pembayaran tanpa sentuhan jadi T Bob's Corner juga akan menggunakan pembayaran tanpa sentuhan," kongsi seorang pekerjanya, Tiara Emily.

Ini juga merupakan kali pertama bagi T Bob's Corner berniaga di bazar WGS pada bulan Ramadan ini.

SISTEM TEKNOLOGI DAN DIGITAL CANGGIH DITERAPKAN

Bagi meningkatkan lagi pengalaman orang ramai di bazar Geylang Serai kali ini, sistem teknologi dan digital canggih akn turut diterapkan bermula minggu depan, dalam melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat (SMM).

Antaranya termasuk satu platform maya 360 darjah yang menggunakan teknologi Keupayaan Realiti Maya untuk membolehkan pelanggan melihat secara online produk yang ditawarkan terlebih dahulu sebelum memutuskan zon mana yang hendak dituju.

Ada juga sistem pemantau kadar pengunjung masa nyata yang bakal disediakan untuk membantu pengunjung elak kesesakan dengan memaklumkan kepada mereka jumlah orang yang berada di lokasi GSHRSE itu.

Kod QR dan E-Menu juga akan disediakan di mana pelanggan boleh gunakan untuk membuat tempahan makanan.

Selain itu, ruang mengambil makanan juga akan disediakan di satu sudut untuk elak kesesakan di sesebuah gerai itu.

LUASKAN PILIHAN MASYARAKAT

Di samping pengalaman berbelanja secara fizikal di GSHRSE, WGS juga mengadakan bazar secara online sepanjang Ramadan ini.

Menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim, kedua-dua kaedah ini dapat meluaskan lagi pilihan masyarakat.

"Dengan pengalaman dua tahun yang lalu, tahun ini, ia mengukuhkan lagi bagaimana kita boleh memberikan ruang bagi mereka melihat apakah benda-benda yang mereka mahu beli dan mereka masih boleh membeli secara online," kongsi Dr Faishal yang yang juga penasihat WGS.

"Walau bagaimanapun dengan adanya fizikal dan online, ia meluaskan lagi pilihan masyarakat kita dan warga kita untuk menikmati juadah dan benda-benda yang mereka mahu beli. Pilihan itu luas dan pengalaman juga berbeza jadi saya yakin dengan adanya bazar di sini dan wadah-wadah lebih luas, Hari Raya tahun ini insya-Allah akan lebih istimewa buat masyarakat kita dan masyarakat Singapura," tambah beliau.

Buat masa ini, sekitar 80 peratus gerai-gerai sudah dibuka sehari sebelum bermulanya Ramadan menurut WGS. GSHRSE akan berlangsung sepanjang Ramadan, iaitu sehingga 2 Mei.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan