600 keluarga di Kreta Ayer-Kim Seng dapat pilih sendiri habuan Hari Raya
Tidak seperti kebanyakan pengagihan habuan di mana para penerima bantuan menerima sahaja apa yang disediakan, di 'JoyPlus Market' para penerima bantuan dapat memilih barangan keperluan mereka sendiri.
SINGAPURA: Tidak seperti kebanyakan pengagihan habuan di mana para penerima bantuan menerima sahaja apa yang disediakan, di 'JoyPlus Market' para penerima bantuan dapat memilih barangan keperluan mereka sendiri.
Inisiatif yang dimulakan sejak 2022 itu diadakan menjelang setiap musim perayaan dan dibuka kepada semua, tidak kira kaum.
Dalam masa dua tahun, jumlah keluarga yang dibantu meningkat tiga kali ganda kepada 600.
Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, satu lagi edisi 'JoyPlus Market' dianjurkan di Kelab Masyarakat Kreta Ayer pada Sabtu (30 Mac).
Selain barangan makanan, bekalan rumah dan barangan kebersihan diri, terdapat juga keperluan Hari Raya seperti kuih dan biskut raya.
Menteri Perhubungan dan Penerangan yang juga merupakan penasihat kumpulan akar umbi GRC Jalan Besar, Josephine Teo sempat meluangkan masa dan turun padang untuk bersama-sama para relawan dan penduduk.
Beliau memuji usaha tersebut kerana menitikberatkan aspek kemampanan.
"'JoyPlus Market' merupakan pendekatan yang segar dan lebih mampan terhadap pemberian. Daripada pemberi memutuskan apa yang perlu diterima oleh penerima, kami memperkasakan para penerima untuk memilih apakah yang paling memenuhi keperluan mereka. Ini membolehkan kami memberikan bantuan praktikal kepada keluarga berpendapatan rendah di Kreta Ayer-Kim Seng, sambil mengurangkan pembaziran akibat barangan yang tidak diperlukan. Kemurahan hati penderma kami juga lebih dihargai," kata Cik Teo.
Inisiatif itu adalah usahasama Jawatankuasa Perundingan Rakyat Tabung Pembangunan & Kebajikan Masyarakat Kreta-Ayer-Kim Seng (CCC CDWF) serta rakan-rakan masyarakat termasuk Chia Care Fund, Chinatown Point dan SGCares Volunteer Centre @ Kreta Ayer.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.