Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

600 botol kuih Raya dijual, $11,000 diraih demi sokong pelajar kurang bernasib baik

Sekitar 600 botol kuih Raya disumbangkan oleh orang ramai dan juga para DJ Warna dan Ria untuk tujuan amal.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 600 botol kuih Raya disumbangkan oleh orang ramai dan juga para DJ Warna dan Ria untuk tujuan amal.

Hasilnya, lebih $11,000 berjaya dikumpulkan menerusi Jualan Amal Warna Ria itu hari ini (1 Jun).

Wang itu akan didermakan kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) MENDAKI, demi menyokong para pelajar kurang bernasib baik.

SAMBUTAN HANGAT ORANG RAMAI

Meskipun acara belum bermula, sudah ramai yang sanggup beratur panjang di Atrium Pusat Singpost bagi acara Jualan Amal Warna Ria petang tadi.

Manakan tidak. Inilah peluang mereka untuk membeli kuih Raya sambil beramal.

"Alhamdulillah nampaknya sambutan kali ini begitu memberangsangkan. Sejak pukul 2.00 petang tadi ramai yang telah beratur untuk menunggu giliran memulakan acara ini. Jadi selama sejam mereka sudah beratur," kata Ketua Audiens Melayu dan Eaglevision Mediacorp, Sabariah Ramilan.

(Gambar-gambar: MENDAKI)

Menerusi sumbangan kuih-kuih itu, lebih $11,000 yang berjaya dikumpulkan dan kutipan itu diserahkan kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) MENDAKI.

ETF dimanfaatkan oleh sekitar 10,000 pelajar setiap tahun menerusi subsidi-subsidi, baucar dan bantuan kewangan lain.

Ini bermakna, para pembeli kuih-kuih Raya itu secara tidak langsung sudah menyokong pendidikan para pelajar dalam kalangan keluarga kurang bernasib baik.

CEO MENDAKI, Rahayu Buang, melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan acara itu termasuk para DJ Warna dan Ria yang sebelum ini turun padang membuat kuih Raya untuk jualan amal tersebut.

"ETF ini adalah bantuan kewangan yang kami berikan kepada para pelajar dari keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan. Jadi dengan sokongan masyarakat dan juga sokongan Mediacorp, kami dapat melancarkan dana ini untuk memberikan kepada para pelajar kita menyokong mereka untuk meneruskan pelajaran mereka," jelas Cik Rahayu.

(Gambar-gambar: MENDAKI)

Lebih manis lagi, antara sumbangan kuih Raya itu datangnya daripada para peserta Projek Positif, yang dahulunya merupakan keluarga-keluarga yang pernah mendapatkan bantuan MENDAKI.

"Apa yang telah saya pelajari atau manfaatkan dari Projek Positif tahun lalu, saya ingin menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi buat kuih dan beri kepada jualan amal ini," kata salah seorang peserta Projek Positif, Cik Noorleana Jumaat.

Seorang lagi peserta, Nur'aini Borhan, turut berpandangan sama.

"Saya nak buat amal ini sebab banyak bantuan yang saya dah pernah dapat daripada masyarakat. Jadi saya mahu menyumbang kembali. Apa yang saya pernah dapat, saya beri semula semampu yang mungkin," kata beliau.

Inisiatif kuih Raya amal Warna dan Ria ini sudah dijalankan sejak lebih 25 tahun lalu. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan