Skip to main content

Singapura

60% rakyat yakin Lawrence Wong pemimpin 4G terbaik terajui S'pura harungi era pasca pandemik

Sekitar 60 peratus rakyat Singapura yakin bahawa Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong adalah "pemimpin 4G terbaik" untuk mengemudi Singapura melalui era pasca pandemik, menurut satu kajian yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS). 

Anggaran Waktu Membaca:
60% rakyat yakin Lawrence Wong pemimpin 4G terbaik terajui S'pura harungi era pasca pandemik

(Gambar: Lawrence Wong/Facebook)

Diterbitkan : 14 Jul 2022 09:03PM

SINGAPURA: Sekitar 60 peratus rakyat Singapura yakin bahawa Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong adalah "pemimpin 4G terbaik" untuk mengemudi Singapura melalui era pasca pandemik, menurut satu kajian yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS). 

Ini termasuk kepercayaan kepada cara beliau menangani jurang dalam kalangan masyarakat, berurusan dengan negara-negara lain dan membantu negara melalui pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Demikian antara dapatan yang dikeluarkan pada Khamis (14 Jul) daripada kajian IPS berhubung kesejahteraan rakyat Singapura sepanjang tempoh dua tahun lalu apabila pandemik COVID-19  melanda. Ia berdasarkan respons daripada lebih 2,000 individu yang ditinjau secara online. 

Memandangkan penularan COVID-19 merupakan satu ujian terhadap tadbir urus pemerintah dan "terutamanya penting bagi Singapura pada saat ini lebih-lebih lagi fasa peralihan pucuk kepimpinan kita", para penyelidik menilai jika responden yakin dengan kepimpinan Pemerintah untuk membawa Singapura maju ke hadapan mengharungi pandemik. 

Menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong bahawa Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong akan menerajui pasukan pemimpin generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP), responden ditanya sama ada mereka yakin Pemerintah mempunyai pemimpin 4G yang terbaik. 

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dipilih sebagai ketua pasukan pemimpin 4G PAP pada 14 April lalu. Sekitar dua bulan kemudian, beliau dinaikkan pangkat kepada Timbalan Perdana Menteri. 

Menurut kertas kajian IPS, responden yang lebih berpendidikan, "yang secara tradisionalnya lebih meragui dasar-dasar pemerintah", berkemungkin besar percaya bahawa Pemerintah mempunyai pemimpin 4G terbaik.

Sekitar 59 peratus daripada mereka yang memegang sekurang-kurangnya ijazah universiti berkepercayaan lebih tinggi bahawa Pemerintah Singapura mempunyai pemimpin 4G terbaik berbanding 49 peratus responden yang tidak berijazah. 

Meskipun "sebahagian besar" responden secara amnya menyatakan "tahap sihat" kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan 4G, lebih banyak perlu dilakukan untuk menangani keprihatinan rakyat Singapura tentang bidang-bidang  tertentu dalam kehidupan mereka. Khususnya, keprihatinan terhadap mata pencarian mereka seperti usul kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tambah kertas itu lagi. 

Kajian itu mendapati responden yang lebih berpuas hati dengan cara Pemerintah menguruskan pandemik, mereka yang kurang bimbang tentang kenaikan kos sara hidup serta mereka yang lebih bersedia menerima untuk hidup dalam endemik lebih berkemungkinan yakin bahawa Pemerintah mempunyai pemimpin 4G terbaik. 

LANGKAH KE HADAPAN

Meskipun rakyat Singapura secara amnya mempamerkan daya bingkas dalam menghadapi COVID-19 dan sudah menyesuaikan diri dengan sebaik mungkin untuk hidup bersama COVID-19, kertas itu menarik perhatian bahawa "kesan berbahaya pandemik terhadap kesejahteraan psikologi individu terutamanya dalam jangka panjang tidak boleh diabaikan". 

Kertas itu mendapati bahawa apa yang mungkin membantu Pemerintah mencapai "matlamat akhir" untuk Singapura hidup bersama COVID-19  adalah untuk menggalak individu "menetapkan arah tuju yang ingin dikecapi".

Ini secara berkesannya meningkatkan kesediaan terhadap kehidupan endemik dalam kalangan mereka yang lebih teragak-agak dengan COVID-19, tambah kertas tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita