Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

60 pasukan regu bersaing dalam Kejohanan Terbuka Sepak Takraw sempena SG60

Buat julung-julung kalinya, sebuah kejohanan terbuka sepak takraw dianjurkan bagi menggilap bakat-bakat muda serta pelapis sukan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, sebuah kejohanan terbuka sepak takraw dianjurkan bagi menggilap bakat-bakat muda serta pelapis sukan tersebut.

Ia dianjurkan bersama Konfederasi Sepak Takraw Singapura (CSS) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dengan sokongan jalur budaya Geylang Serai.

Kejohanan yang berlangsung pada hujung minggu ini (18 dan 19 Jan) itu bertujuan untuk menyediakan platform bagi pasukan-pasukan bersaing di samping mempamerkan kemahiran dan mempromosikan sukan sepak takraw di Singapura.

"Dengan menghimpunkan pasukan dari berbagai latar belakang, kami dapat mengenal pasti bakat-bakat baharu, mengukuhkan semangat masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang sukan ini. Kejohanan ini juga membantu kami mencari pemain-pemain berpotensi untuk mewakili Singapura dalam pertandingan serantau dan antarabangsa," kata Presiden CSS, Md Salim Ebrahim Marican.
(Wisma Geylang Serai/Facebook)
Bersempena sambutan SG60 juga, kejohanan itu menampilkan sebanyak 60 pasukan regu dalam beberapa kategori.

Ini termasuk kategori pasukan belia lelaki di bawah 15 dan 21 tahun, kuadran terbuka lelaki serta penyertaan dari empat buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Marsiling, Sekolah Menengah ⁠Changkat Changi, Sekolah Menengah ⁠Bartley dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Encik Salim yang juga mantan jurulatih pasukan negara berkata berharap usaha tersebut dapat memupuk semangat persaudaraan dan keharmonian sosial dalam masyarakat.

"Penyertaan sebanyak 60 buah pasukan dalam kejohanan memaparkan semangat perpaduan dan kesukanan yang kukuh dalam kalangan masyarakat kita. Sepak takraw adalah sukan yang memerlukan kerjasama, komunikasi dan saling menghormati.

"Dengan bersama-sama bertanding dan menyokong satu sama lain, pasukan-pasukan ini menunjukkan nilai-nilai perpaduan, persahabatan dan permainan adil yang menjadi asas penting dalam sukan ini," ujarnya.
 
(Wisma Geylang Serai/Facebook)
Sambutan pada hari pertama kejohanan tersebut (18 Jan) juga sangat memberangsangkan dengan seramai 470 peserta sudahpun mengambil bahagian.

Tetamu terhormat, Datuk Bandar Daerah Tenggara, Mohd Fahmi Aliman yang melancarkan kejohanan itu di Anjung@Wisma Geylang Serai (WGS) pagi tadi (18 Jan) teruja melihat sambutan dan sokongan khususnya daripada kalangan belia.

Beliau juga mengalu-alukan lebih ramai golongan muda untuk datang menggunakan kemudahan-kemudahan sukan yang disediakan di WGS yang disesuaikan untuk semua keperluan.

"Saya dapat melihat beberapa atlet yang hebat dan merancang untuk memenangi beberapa piala dalam semangat permainan juga. Jadi saya sangat gembira melihat belia kita hadir untuk bermain hari ini dan saya sangat gembira melihat lebih ramai orang datang untuk menikmati sukan ini. Saya ingin menjemput lebih ramai orang datang dan menggunakan kemudahan di Wisma Geylang Serai," kata Encik Fahmi.

Orang ramai masih boleh turut serta dalam acara ini yang akan diteruskan dari jam 9 pagi hingga 6 petang esok (19 Jan).
(Wisma Geylang Serai/Facebook)
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan