Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

60% keluarga di S'pura kerap kitar semula, dedah NEA

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekalipun tiga daripada setiap lima keluarga (60%) melaporkan bahawa mereka mengitar semula dengan kerap dan ramai daripada mereka juga tahu barang apa yang boleh diletakkan dalam tong-tong kitar semula, keluarga-keluarga tersebut kurang maklum  tentang barang-barang yang tidak boleh dikitar semula. 

Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (14 Jan). 

Dalam tinjauan terbaru mengenai kegiatan kitar semula keluarga yang dijalankan tahun lalu, NEA turut menyaksikan hasil positif yang lain, sedang negara menetapkan sasaran untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 70 peratus menjelang 2030 di bawah Pelan Induk Tanpa Sisa dan Pelan Singapura Menghijau 2030. 

Lapan daripada setiap 10 keluarga sedia maklum bahawa barang-barang yang dikumpul daripada tong-tong kitar semula berwarna biru dan pelongsor kitar semula diasingkan di sebuah kemudahan pengasingan - satu peningkatan daripada 57 peratus yang dicatatkan pada 2018. 

Kebanyakan keluarga juga tahu bahawa barang-barang asas di rumah yang boleh dikitar semula, seperti botol syampu rambut atau bahan cuci, karton air minuman, botol kaca dan karton plastik telur, boleh dibuang di tong-tong kitar semula berwarna biru. 

Sungguhpun demikian, keluarga-keluarga tersebut kurang berpengetahuan tentang barang-barang yang tidak sepatutnya diletakkan untuk dikitar semula. Misalnya, hampir separuh daripada keluarga yang ditinjau bertanggapan seolah-olah mainan lembut dan bahan Styrofoam boleh dikitar semula. 

Tinjauan tersebut turut mendapati 72 peratus keluarga tidak menyedari bahawa mereka tidak perlu mengasingkan barang-barang yang boleh dikitar semula sebelum meletakkannya di dalam tong-tong kitar semula ataupun pelongsor kitar semula. 

NEA menarik perhatian seandainya Singapura tidak mengurangkan pembuangan sampah, Kawasan Pelupusan Sampah Semakau akan sarat dengan sampah sarap menjelang 2035 setelah mengambil kira kadar pembuangan sampah semasa.

Buat masa ini, kesemua blok HDB dilengkapi dengan satu tong kitar semula bagi setiap blok atau pelongsor kitar semula, manakala hartanah berhalaman disediakan dengan tong kitar semula setiap satu. 

Di kondominium dan apartmen privet pula, setiap blok kediaman diberikan satu tong kitar semula. Tong-tong ini, serta trak-trak khas untuk mengumpul barang-barang untuk dikitar semula, semuanya berwarna biru untuk membezakannya daripada tong-tong sampah biasa dan lori-lori yang mengumpul sampah. 

MASKOT BARU KITAR SEMULA 

Kempen kitar semula tahun ini akan memperkenalkan maskot kitar semula yang baru bernama Bloobin - satu tong kitar semula yang "kecewa dengan pencemaran selama bertahun-tahun  dan bertekad untuk meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap cara-cara mengitar semula dengan betul". 

Pelekat-pelekat Bloobin di pelongsor-pelongsor sampah biasa dan kitar semula di tapak-tapak perumahan awam berfungsi sebagai "peringatan terakhir" untuk menggalak keluarga-keluarga di sini supaya memeriksa barang-barang mereka sebelum membuangnya sebagai sampah biasa ataupun barang-barang untuk dikitar semula, menurut NEA. 

Untuk memupuk tabiat kitar semula yang betul, sumber-sumber pendidikan interaktif seperti buku aktiviti elektronik (e-buku aktiviti) untuk kanak-kanak prasekolah dan e-permainan untuk murid-murid lebih tua akan disediakan. 

Cabaran antara institusi-institusi pengajian tinggi - Ready, Set, Recycle - akan dilancarkan untuk menggembleng anak-anak muda supaya mengitar semula dan membangunkan program-program pendampingan yang lebih mendalam dan bermakna. 

KOLABORASI NEA

NEA turut mendedahkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan masyarakat, badan-badan bukan pemerintah dan juga rakan-rakan korporat dan industri untuk menggalak orang ramai supaya lebih mengitar semula dan melakukannya dengan cara yang betul, di samping meneroka dan melaksanakan kaedah-kaedah baru bagi memudahkan lagi proses kitar semula di kawasan-kawasan kejiranan dan rumah-rumah. 

Lebih banyak butiran akan diumumkan kelak, dedah agensi tersebut. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan