60 individu diiktiraf dengan Anugerah Pesakit & Penjaga Berinspirasi Singapore Health, jumlah tertinggi sejak diperkenalkan
Namun, pada usia semuda 20 tahun, dunianya seakan berubah dengan sekelip mata.
Cik Nuurashikin kerap termengah-mengah apabila bersenam.
Malangnya, selepas mendapatkan rawatan, beliau mendapat tahu bahawa ada lubang dalam jantungnya.
Namun, dugaan hidupnya tidak terhenti di situ.
13 tahun kemudian, pada 2019, ketika Cik Nuurashikin menyimpan harapan untuk membina keluarga.
Sekali lagi, beliau diuji dengan khabar yang meruntun jiwa.
Selepas melalui tiga keguguran, Cik Nuurashikin yang kini berusia 40 tahun, disahkan menghidap Group 1 Pulmonary Arterial Hypertension.
Ia sejenis tekanan darah tinggi pada saluran darah paru-paru yang merupakan kesan jangka panjang daripada masalah jantung kongenital yang dihadapinya sejak kecil.
Diagnosis tersebut bukan sahaja menjejaskan kesihatannya, malah turut meranapkan impiannya untuk bergelar seorang ibu.
"Saya tentunya rasa macam dunia saya runtuh. Rasa betul betul sedih tetapi saya bangkit balik dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan," luah Cik Nuurashikin kepada wartawan Syazwani Sanep.
Atas cadangan doktor, beliau mengambil ubat Veletri secara intravena — satu rawatan yang ketika itu belum pernah dilakukan di Singapura, meskipun ia pernah menunjukkan kejayaan di Amerika Syarikat.
Beliau akhirnya selamat melahirkan seorang anak lelaki pada 2021.
Pengalaman hidup yang penuh ranjau itu malah membulatkan lagi tekad Cik Nuurashikin untuk mengejar impiannya menjadi seorang jururawat, demi membantu pesakit lain yang sedang bertarung dengan kesakitan seperti dirinya.
Kini, beliau sedang memburu Diploma dalam bidang kejururawatan di Politeknik Ngee Ann, sambil mengimbangi tugas sebagai jururawat terdaftar di Hospital Besar Changi.
Selain itu, Cik Nuurashikin juga giat menyertai kumpulan sokongan pesakit Pulmonary Hypertension Singapore, di mana para pesakit saling berkongsi pengalaman dan memberi semangat dengan satu sama lain melalui pelbagai kegiatan bersama.
SEMANGAT JITU NUURASHIKIN AHMAD DISANJUNG DALAM IPCA TAHUN INI; ANTARA 60 DIIKTIRAF
Atas ketabahan dalam mengharungi kehidupan penuh onak dan duri itu, Cik Nuurashikin merupakan antara 60 individu yang diiktiraf di Majlis Anugerah Pesakit dan Penjaga Berinspirasi Singapore Health (IPCA) pada Selasa (12 Mei).
Kesemua penerima anugerah itu terdiri daripada 26 pesakit, 25 penjaga, enam sukarelawan serta tiga kumpulan sokongan pesakit daripada 19 institusi penjagaan kesihatan berbeza.
Edisi ke-16 anugerah tersebut mencatat jumlah penerima tertinggi sejak ia diperkenalkan pada 2010.
IPCA mengiktiraf individu yang menunjukkan ketabahan luar biasa dalam menghadapi cabaran kesihatan, selain menyanjung kumpulan sokongan pesakit yang menjadi sumber semangat pesakit serta penjaga mereka.
KETABAHAN NUR AINI HASAN JAGA ARWAH SUAMI, USTAZ AHMAD JELANI KIYAII JOHARI TURUT DIIKTIRAF
Seorang lagi penerima IPCA tahun ini ialah Cik Nur Aini Hasan, yang disanjung atas ketabahannya menjaga arwah suaminya, Ustaz Ahmad Jelani Kiyaii Kojari, yang merupakan mantan imam Masjid Sultan.
Kesihatan arwah suaminya mula merosot pada Oktober 2014 selepas diserang strok yang teruk, selain turut menghidap penyakit 'gout' kronik dan tekanan darah tinggi.
"Bila keadaan dia tidak stabil sedangkan saya sedang memandu dan ada penumpang, saya perlu fokus di jalan raya. Selepas menurunkan penumpang, perkara pertama yang saya lakukan ialah menghubunginya. Kalau keadaannya sangat tenat, saya akan terus hubungi ambulans dan bergegas ke hospital. Itu antara cabaran paling besar setiap kali saya sedang memandu pada waktu siang," luah Cik Aini.
Meski mengakui bukanlah mudah untuk terus tabah dalam keadaan sedemikian, Cik Aini berkata satu-satu anak perempuannya, Nur Thoyyibah Ahmad Jelani, menjadi sumber kekuatan utamanya.
Pengorbanannya tanpa mengenal erti penat jelas menjadi inspirasi kepada para penjaga lain yang sedang berkorban demi insan tersayang.
Ditanya apakah nasihat yang ingin diberikan kepada mereka yang berada dalam situasi serupa, Cik Aini berkata: "Ramai yang sedang menjaga suami atau insan tersayang yang terlantar sakit. Anggaplah apa yang kita lihat hari ini, belum tentu masih ada esok. Jadi lakukan yang terbaik untuk hari ini dan jangan tunggu hari esok."
Majlis IPCA pada Selasa itu dihadiri kira-kira 300 orang, termasuk para penerima anugerah, pemimpin sektor penjagaan kesihatan serta karyawan daripada institusi penjagaan kesihatan awam, hospital masyarakat dan agensi dalam sektor jagaan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.