Skip to main content

Singapura

60% graduan baharu SG sukar cari kerja: Tinjauan pendapat

Anggaran Waktu Membaca:
 60% graduan baharu SG sukar cari kerja: Tinjauan pendapat

Dalam tinjauan pendapat Mediacorp, 60 peratus graduan baharu berkata mereka mendapati bahawa mencari pekerjaan kini "agak sukar" atau "sangat sukar". (Gambar fail: Today)

Diterbitkan : 13 Aug 2025 11:04PM Dikemas Kini : 13 Aug 2025 11:05PM
SINGAPURA: Dalam tinjauan pendapat Mediacorp yang dijalankan bulan ini ke atas 105 graduan daripada kohort 2024 dan 2025 universiti tempatan, 28 responden (atau 26.7 peratus) belum mendapatkan pekerjaan sepenuh masa.

Dalam kalangan mereka, satu perempat berkata mereka tidak yakin akan mendapat pekerjaan dalam enam bulan akan datang.

Daripada semua responden - termasuk mereka yang sudah bekerja - 60 peratus berkata mereka mendapati pencarian kerja "agak sukar" atau "sangat sukar".

Ia juga selaras dengan data rasmi daripada Tinjauan Pengambilan Pekerja Graduan Universiti Autonomi Bersama terkini yang dikeluarkan pada Februari.

Ia mendapati bahawa 87.1 peratus graduan baharu yang ditinjau diambil bekerja dalam tempoh enam bulan selepas menyelesaikan peperiksaan akhir mereka - menurun daripada 89.6 peratus pada 2023.

Peratusan yang mendapat pekerjaan sepenuh masa juga menurun, daripada 84.1 peratus kepada 79.5 peratus.

Dalam tinjauan Mediacorp, majoriti responden - 67.6 peratus - menyifatkan "persaingan sengit daripada pemohon lain" sebagai cabaran utama yang dihadapi semasa mereka mencari pekerjaan.

Yang lain pula menyebut proses pengambilan yang membebankan dan ketidakpastian tentang jangkaan majikan sebagai faktor sukar mencari pekerjaan.

MEMAHAMI JANGKAAN MAJIKAN

Lebih separuh daripada mereka yang ditinjau (56.2 peratus) berkata bahawa memahami jangkaan majikan akan meningkatkan keyakinan mereka dalam permohonan kerja.

Responden lain pula berkata mereka akan meraih manfaat daripada latihan amali atau perantisan berbayar (paid internships or traineeships) - 55.2 peratus - dan lebih banyak peluang temu duga (54.3 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan syarikat pengambilan pekerja Reeracoen, Encik Kenji Naito, berkata majikan boleh membantu merapatkan jurang dengan berkongsi skop kerja yang lebih jelas dan menghargai potensi dan kesesuaian budaya, dan bukan hanya kelayakan.

Beliau menambah bahawa di tengah-tengah perubahan global dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meningkat, kemahiran insaniah seperti empati dan kebolehsuaian (adaptability) semakin bernilai.

Graduan juga boleh mengambil kursus jangka pendek, menjadi sukarelawan untuk peranan kepimpinan atau mendapatkan bimbingan untuk mengukuhkan profil mereka.

Derrick Teo, seorang karyawan kanan Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP) yang bertauliah, berkata peralatan AI sedang membentuk semula fungsi pekerjaan dan graduan perlu belajar cara menggunakan alat tersebut dengan berkesan.

Encik Teo, yang juga merupakan CEO penyedia huraian HR Elitez Group, juga berkongsi bahawa persaingan pekerjaan kini melangkaui sempadan.

BERSIKAP PROAKTIF

Pemerintah sebelum ini menyatakan bahawa ia sedang berusaha untuk meningkatkan hasil pengambilan pekerja bagi graduan baharu.

Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Gan Siow Huang berkata pada 9 Julai bahawa pihak berkuasa sedang "memantau rapi" keadaan pengambilan pekerja.

Institut Pengajian Tinggi juga bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC untuk menganjurkan pameran kerjaya, bengkel dan sesi bimbingan.

Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura, yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, juga sedang meneroka cara-cara untuk menyokong graduan baharu.

Pasukan bertindak tersebut ditubuhkan pada April untuk menangani kesan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng berkata pada 10 Julai bahawa kerja kosong peringkat permulaan kekal stabil.

"Kepada graduan 2025 kami, masih awal dalam pencarian pekerjaan anda. Kami menggalakkan semua supaya bersikap terbuka terhadap peluang-peluang berbeza dalam pencarian pekerjaan mereka," katanya.

Pakar kerjaya menggalak graduan untuk bersikap proaktif dengan membina rangkaian di acara-acara industri dan memanfaatkan kenalan profesional mereka.

Dalam tinjauan pendapat Mediacorp, 40 peratus responden berkata kekurangan kenalan industri atau peluang membina rangkaian adalah satu cabaran.

Pengarah negara Randstad Singapore, David Blasco, berkata bahawa perbualan yang tidak membawa kepada tawaran pekerjaan juga boleh memberikan pandangan tentang trend industri dan ciri-ciri yang diperlukan.

Beliau menambah bahawa graduan boleh memanfaatkan platform seperti LinkedIn dan acara-acara industri untuk bertanya kepada karyawan mengenai trend industri, kemahiran yang diperlukan dan ciri-ciri peribadi yang dihargai oleh majikan dalam pengambilan pekerja muda.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita