Skip to main content

Singapura

60% belia SG ingin takrifan kejayaan lebih luas dalam kalangan masyarakat

Belia di Singapura berharap masyarakat akan menerima takrifan kejayaan yang lebih luas serta menggalak anak muda supaya mengambil risiko dan belajar daripada kegagalan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Sep 2025 07:14PM Dikemas Kini : 17 Sep 2025 11:37PM
SINGAPURA: Belia di Singapura berharap masyarakat akan menerima takrifan kejayaan yang lebih luas serta menggalak anak muda supaya mengambil risiko dan belajar daripada kegagalan.

Demikian merupakan antara hasil dapatan daripada Pelan Belia SG yang mengumpulkan lebih 200,000 respons daripada golongan muda antara November lalu hingga Julai 2025.

Pemikiran tersebut mendorong lebih 50,000 anak muda dan pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan mereka mengenai sebilangan topik yang penting kepada mereka, seperti pendidikan, kerjaya dan tindakan sivik atau hubungan masyarakat.

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo berkata, pemerintah akan menyokong golongan belia melalui peralihan dan pilihan-pilihan dalam kehidupan.

Beliau berkata demikian kepada 1,000 belia yang menghadiri Forum Belia SG. Anda mencabar kami untuk memikirkan semula makna kejayaan.

"Anda memilih jalan yang jarang dilalui. Anda mengejar aspirasi anda, anda meluangkan masa untuk belajar, dan anda aktif menimba kemahiran dan ilmu baharu.

"Kami pula akan menyokong anda untuk merintis laluan baharu ini, supaya anda boleh memilih jalan yang jarang dilaluidan membuat keputusan yang berani," kata Encik Neo.

Berdasarkan Tinjauan Pelan Belia SG, lebih dua pertiga belia ingin kerjaya yang memuaskan dan bermakna, selain meraih mata pencarian.

60 peratus yang ditinjau berkata, mereka berharap masyarakat boleh menerima takrif kejayaan yang lebih luas.

Pada masa yang sama, lebih separuh turut ingin meninggalkan kesan yang positif dalam masyarakat, serta menjadi sukarelawan aktif.

Malah hampir separuh mahu lebih banyak wadah untuk belia menyumbang.

Hubungan yang kukuh juga menjadi antara tumpuan utama.

Lebih enam daripada setiap 10 belia yang ditinjau juga mahu Singapura menjadi sebuah masyarakat yang kohesif dan inklusif, mendakapi kepelbagaian dan bersifat baik hati.

Sehubungan dengan itu, pemerintah menyatakan bahawa ia akan terus mendampingi anak muda untuk menyediakan wadah, rangkaian dan sumber yang diperlukan dalam pelbagai fasa kehidupan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita