Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

60 belia MTS sertai program Kelab Muda MENDAKI teroka kerjaya dalam ekonomi baru dek COVID-19

Seramai 60 pelajar sekolah menengah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) meluangkan pagi Sabtu (22 Ogos) mereka untuk berinteraksi dengan lebih 25 karyawan muda di Sekolah Menengah Canberra.

Anggaran Waktu Membaca:
60 belia MTS sertai program Kelab Muda MENDAKI teroka kerjaya dalam ekonomi baru dek COVID-19

60 belia MTS mengikuti sidang video bersama 25 karyawan muda. (Gambar: Kelab Muda MENDAKI)

SINGAPURA: Seramai 60 pelajar sekolah menengah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) meluangkan pagi Sabtu (22 Ogos) mereka untuk berinteraksi dengan lebih 25 karyawan muda di Sekolah Menengah Canberra.

Sesi tersebut dijalankan menerusi persidangan video dan para peserta dapat mempelajari dengan lebih mendalam mengenai peluang-peluang kerjaya yang boleh diterokai dalam ekonomi baru yang tercetus dek pandemik COVID-19.

Acara itu merupakan sebahagian daripada bengkel kerjaya CEGW anjuran Kelab Muda MENDAKI (YMC) yang diadakan pada 15 Ogos.

Melalui bengkel tersebut, pasukan CEGW berharap dapat menyampaikan naratif yang memberi inspirasi kepada belia MTS tersebut tentang perjalanan kerjaya golongan karyawan muda berkenaan.

Pasukan CEGW percaya masanya kini lebih genting lagi untuk menawarkan program sedemikian rupa bagi golongan belia, dengan unjuran ekonomi tidak menentu yang dijangka berlarutan bagi satu tempoh masa berpanjangan.

Ketua CEGW Azfar Anwar berkongsi bahawa para peserta jelas mempunyai minat dan sifat ingin tahu tentang peluang kerjaya mereka.

(Gambar: Kelab Muda MENDAKI)

"Semasa sesi tersebut, pelajar MTS ini bertanya soalan seperti 'Adakah pekerjaan saya kalis pandemik?' dan 'Haruskah saya tetap mengejar minat saya jika ia tidak menjana hasil?'

"Kami amat berbesar hati dapat memberi mereka harapan dan penjelasan dengan contoh-contoh keadaan sebenar semasa tempoh tidak menentu ini."

25 KARYAWAN MUDA DARI PELBAGAI LATAR BELAKANG

Karyawan muda yang mengambil bahagian dalam sesi tersebut datang daripada pelbagai latar belakang - dari bidang jagaan kesihatan, teknologi hingga kepada sektor permainan dan media.

Teknisyen pemprosesan kimia Encik Shah Rizal berkongsi: "Saya harap mereka dapat mempelajari sesuatu daripada kesukaran yang saya alami semasa zaman remaja nakal dahulu kepada keadaan saya sekarang ini.

"Saya percaya penting bagi pelajar ini untuk tahu tentang peluang pekerjaan di luar sana, terutama sekali di tengah-tengah COVID-19 sekarang. Setiap daripada mereka ada harapan untuk mendapat kerja, apa pun latar belakang akademik mereka."

Usahawan fesyen dan pegawai pemasaran di Unilever Cik Hafizah Ghazali menambah: "Guru dan ibu bapa boleh membimbing mereka tentang pelbagai pilihan kerjaya, tetapi berhubungan langsung dengan karyawan dalam bengkel interaktif sebegini menjadikannya lebih realistik bagi pelajar!"

Peluang berinteraksi dengan karyawan dalam sesi seumpama itu juga jelas sesuatu pengalaman yang menggalakkan bagi pelajar Menengah 4 Muhammad Izz Danial Adam.

"Bengkel tersebut tentu sekali baik. Saya kini lebih yakin dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Ia juga mengajar saya supaya tidak mudah berputus asa," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Lawrence Wong melahirkan komitmen Kementerian Pendidikan (MOE) untuk "memastikan pendidikan terus menjadi penyetara sosial berkesan" di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan pengalaman pembelajaran pelajar tidak terjejas.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan