Skip to main content

Singapura

60% bekas penghisap Kpod guna ubat preskripsi lepaskan ketagihan susuli tindakan tegas SG terhadap vape

Wade (bukan nama sebenar) berusia 17 tahun apabila beliau diperkenalkan kepada Kpod, atau pod vape yang mengandungi etomidate.
Anggaran Waktu Membaca:
60% bekas penghisap Kpod guna ubat preskripsi lepaskan ketagihan susuli tindakan tegas SG terhadap vape

Pelbagai ubat dijual di Geylang, termasuk ubat bagi merawat mati pucuk.

SINGAPURA: Wade (bukan nama sebenar) berusia 17 tahun apabila beliau diperkenalkan kepada Kpod, atau pod vape yang mengandungi etomidate.

Pada ketika itu, beliau menanggung hutang hampir S$20,000 kerana berjudi dan mahu mencari jalan keluar.

Daripada sekadar ingin mencuba sesuatu yang baharu, ia menjadi satu ketagihan yang mengeruhkan hubungannya bersama keluarga, menyebabkannya diusir daripada rumah dan akhirnya beliau dimasukkan ke pusat pengurusan ketagihan.

Wade memberitahu Mediacorp bahawa titik terendah dalam hidupnya adalah apabila beliau menyalahgunakan hampir lima hingga enam Kpod setiap hari pada permulaan tahun lalu.

"Saya ada dua ketagihan - saya berjudi untuk membeli dadah, dan saya juga berjudi secara sampingan. Hidup saya tidak terurus dan saya tidak berasa salah sama sekali," katanya.

Wade merupakan salah seorang daripada bekas pengguna Kpod yang henti menghisap Kpod apabila denda lebih berat bagi kesalahan menghisap vape dikuatkuasakan di Singapura pada September lalu.

Namun kebanyakan daripada mereka tidak henti menyalahgunakan bahan terlarang sama sekali, kata pakar ketagihan.

Sebaliknya, mereka beralih kepada ubat preskripsi seperti benzodiazepine - lebih dikenali sebagai Xanax, Valium atau Ativan - dan, dalam sesetengah kes, bahan-bahan terlarang yang lebih kuat.

Menurut sebuah pusat pengurusan ketagihan, enam daripada 10 bekas penyalah guna Kpod berbuat demikian.

LEBIH RAMAI LAGI DIRAWAT

Wade berkata penggunaan dadahnya semakin meningkat menyusuli kematian ibunya pada tahun lalu.

Walaupun beliau cuba hentikan ketagihannya demi ibunya, Wade kembali semula kepada tabiat buruknya itu selepas ditawarkan Kpod selepas upacara persemadian ibunya.

Sedang ketagihannya bertambah buruk, beliau diusir oleh keluarganya, menyebabkan beliau tiada tempat tinggal.

Keadaan bertambah buruk lagi apabila beliau ditangkap dengan Kpod ketika menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Beliau kemudian dirujuk ke sebuah pusat rawatan ketagihan - sesuatu yang menyelamatkan beliau.

"Tidak kira apakah situasi anda, ketagihan anda bukan seolah-olah ia tidak dapat diselamatkan. Ia boleh diselamatkan. Anda juga sedar bahawa anda tidak keseorangan," katanya.

Pusat-pusat ketagihan memberitahu Mediacorp bahawa kisah Wade bukan sesuatu yang jarang berlaku.

Beberapa pusat melaporkan kenaikan dalam jumlah individu yang menjalani rawatan bagi ketagihan kepada bahan selain daripada etomidate.

Ini termasuk dadah Kelas A seperti heroin, serta ubat preskripsi seperi benzodiazepine yang biasanya digunakan bagi tangani rasa cemas dan kesukaran untuk tidur.

Benzodiazepine - iaitu kelas ubat kemurungan yang boleh menyebabkan ketagihan - sepatutnya ditetapkan untuk pengambilan tempoh singkat atau memberi kelegaan sementara antara tempoh dua dengan empat minggu.

WE CARE Community Services menyatakan mulai suku kedua hingga ketiga 2025, ia menyaksikan kenaikan tujuh peratus dalam jumlah individu yang menjalani rawatan untuk masalah ketagihan kepada dadah lain selain daripada etomidate.

Jumlah individu sedemikian yang memohon rawatan juga meningkat mendadak sebanyak kira-kira 43 peratus pada suku ketiga 2025, berbanding dengan tempoh sama pada 2024.

Mulai Ogos tahun lalu hingga kini, pusat rawatan ketagihan itu menerima 56 pertanyaan berkaitan etomidate, sebahagian besar daripada ibu bapa yang prihatin.

Promises Healthcare, sementara itu, menyaksikan kemerosotan ketara dalam jumlah kes etomidate menyusuli larangan itu.

"Lebih 80 peratus individu yang menggunakan etomidate sudah pun berhenti, sebahagiannya disebabkan oleh perubahan dalam perundangan, dan saya boleh katakan kira-kira 60 peratus daripada jumlah beralih kepada pengambilan bahan lain," kata Encik Tom Maniatis, seorang ahli terapi ketagihan kanan di Promises Healthcare.

Beliau menambah ramai pengguna menganggap ubat preskripsi mempunyai tidak mempunyai kesan undang-undang yang berat berbanding dadah yang dikawal selia di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

BAGAIMANA PENJUALAN KPOD BERUBAH

Etomidate disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah pada 1 September 2025, justeru membawa kepada tindakan penguatkuasaan lebih ketat terhadap penjual dan pengguna.

Empat bulan selepas itu, Wade berkata rangkaian pengedaran dadah terpaksa beroperasi dengan lebih sulit lagi.

Sebelum ini, orang upahan (runner) akan menghantar Kpod secara langsung ke pintu rumah pelanggan.

Kini, para penjual Kpod terpaksa menggunakan kumpulan sembang Telegram yang ditutup dan dibuka semula selepas ia disekat.

TEMPAT POPULAR DI GEYLANG

Bekas penagih dadah memberitahu Mediacorp bahawa Geylang merupakan satu tempat di mana ubat preskripsi boleh dibeli secara haram.

Semasa lawatan ke kawasan itu, wartawan Mediacorp melihat beberapa penjual jalanan disyaki menjual pil dan cecair secara terang-terangan di jalanan.

Sesetengah penjual mendakwa produk-produk itu adalah ubat merangsang nafsu syahwat, manakala ada yang menyatakan mereka menjual bahan-bahan yang boleh membuat seseorang itu berasa khayal.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita