60 asatizah muda mulakan pengajian PCICS di tengah-tengah pandemik COVID-19
Program Sijil Pos Siswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari bakal "memupuk lebih ramai asatizah yang berkaliber tinggi", kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Selasa (19 Mei).

Asatizah perlu terus tingkatkan kemahiran dan kepakaran untuk kekal relevan. (Gambar hiasan: MUIS)
SINGAPURA: Program Sijil Pos Siswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari bakal "memupuk lebih ramai asatizah yang berkaliber tinggi", kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Selasa (19 Mei).
Menulis di Facebook, Encik Masagos memuji aspirasi para asatizah yang beliau temui dan semangat juang yang mereka paparkan.
"Saya senang hati mendengar aspirasi asatizah kita yang ingin memupuk kepakaran yang sesuai agar mereka dapat menjadi pemimpin yang berkesan. Saya kagum dengan semangat juang yang mereka paparkan. InsyaAllah inilah asatizah yang bertauliah untuk memimpin masyarakat Islam Singapura dalam konteks masyarakat majmuk kita," kata Encik Masagos.
Beliau berkata demikian setelah mengadakan satu sesi dialog secara online pada Isnin, bersama 60 peserta daripada kohort pertama program PCICS.
Dalam satu kenyataan media, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerangkan minggu ini adalah minggu kedua program tersebut, yang dijadual berlangsung secara online selama setahun.
Semasa sesi tersebut, kepentingan "pemimpin agama yang peka dengan norma sosial Singapura yang berubah-ubah" ditekankan. Kemahiran mereka amat penting dalam menerapkan nilai agama dengan sewajarnya, agar ia relevan kepada masyarakat Islam di Singapura, tambah MUIS.
"Misalnya, untuk menghapuskan pandemik COVID-19, banyak penyesuaian yang perlu kita lakukan dari segi norma-norma keagamaan ataupun sosial. Mujur, kita mempunyai golongan asatizah yang cekap," tulis Encik Masagos.
"Melalui gandingan dengan karyawan jagaan kesihatan dalam kumpulan kerja COVID-19 Melayu/Islam, mereka telah menyarankan pelbagai penyesuaian yang bernas dari hukum syarak dan juga dari sudut kesihatan bagi amalan-amalan keagamaan kita. Dengan adanya program PCICS, kita boleh memupuk lebih ramai asatizah yang berkaliber tinggi seperti yang sedia ada."
Encik Masagos menambah: "Saya yakin, dengan sokongan semua, kita dapat membangkitkan lagi sektor keagamaan Islam di Singapura.
"Bagi para asatizah muda kita, saya harap mereka dapat meraih manfaat dari program PCICS dan menjadi pemimpin yang dihormati dan disayangi ramai."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.