60 'abang-abang' PMD ronda kawasan Bedok, agih habuan Hari Raya buat yang susah
Sejak kebelakangan ini, memang banyak berita negatif disebarkan tentang para penunggang Alat Mobiliti Peribadi (PMD) seperti kemalangan atau kebakaran membabitkan PMD.
SINGAPURA: Sejak kebelakangan ini, memang banyak berita negatif disebarkan tentang para penunggang Alat Mobiliti Peribadi (PMD) seperti kemalangan atau kebakaran membabitkan PMD.
Namun, ini ada suati berita yang sangat positif tentang PMD.
Sekumpulan 60 penunggang PMD beramai-ramai turun padang menjadi sukarelawan untuk menghantar habuan persiapan Hari Raya kepada 130 keluarga kurang berkemampuan hari ini (2 Jun).
Dikenali sebagai The Brotherhood Scooterz, penyertaan mereka mengagihkan habuan Hari Raya Jamiyah adalah sebagai menyahut undangan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman.
Ini kerana tenaga dan kenderaan mereka diperlukan untuk mendekati dan mengagihkan beg-beg berisi ayam, daging serta barang dapur lain yang disumbangkan oleh Jamiyah kepada keluarga-keluarga memerlukan di kawasan Bedok, Kampong Chai Chee dan Siglap.
UBAH TANGGAPAN ORANG RAMAI TENTANG PENUNGGANG PMD

"Saya rasa ini adalah satu acara unik kerana sebelum ini kita tidak pernah melihat bagaimana penunggang PMD ini dapat menyumbang kepada masyarakat.
"Mereka memberitahu saya keluhan mereka sendiri, keluhan mereka bahawa ramai anggota masyarakat, kurang memahami keadaan mereka dan apa yang mereka lakukan," kata Dr Maliki yang menjadi pencetus kolaborasi bersama The Brotherhood Scooterz.
Ditubuhkan dua tahun lalu, The Brotherhood Scooterz yang kini merangkumi anggota yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 62 tahun, sebenarnya mewakili beberapa kumpulan penunggang PMD dari serata Singapura dan ramai daripada mereka bekerja sebagai penghantar makanan.
Kumpulan itu antara lain juga menyediakan peluang kedua bagi para anggotanya yang terdiri daripada bekas pesalah.
DICERCA KERANA 'MENGGANGU'
Niat murni yang dilakukan diharap, sedikit sebanyak dapat menepis tanggapan negatif orang ramai.
Menurut pengasasnya, Encik Shahful Kamalrulzaman Ahamad, kumpulannya kerap melakukan kerja-kerja kebajikan - bukan sahaja di bulan Ramadan.
"Kita cuma ingin membantu orang-orang yang dalam kesusahan, tak kira dalam segi wang, atau dalam segi apa pun.
"Alhamdulillah, saya dapat sokongan daripada kawan-kawan penunggang PMD dan inilah masanya untuk saya memberi balik kepada masyarakat apa yang mereka selalu fikir buruk tentang penunggang PMD," jelas Encik Shahful yang mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menganggotai kumpulannya - termasuk mereka yang tiada kenderaan PMD.
Dianjurkan secara bersama oleh Jamiyah dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu GRC East Coast dan Kawasan Undi Perseorangan Fengshan, acara ini menutup tirai agihan habuan Hari Raya buat tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.