Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

60,000 pesakit luar yang terima subsidi dapatkan rawatan masalah mental setiap tahun

Para penyedia jagaan kesihatan awam merawat purata 60,000 pesakit luar yang menerima subsidi bagi gangguan mental setiap tahun, sepanjang tiga tahun lalu, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.

Anggaran Waktu Membaca:
60,000 pesakit luar yang terima subsidi dapatkan rawatan masalah mental setiap tahun

(Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 07 Jan 2020 10:39PM Dikemas Kini : 07 Jan 2020 10:41PM

SINGAPURA: Para penyedia jagaan kesihatan awam merawat purata 60,000 pesakit luar yang menerima subsidi bagi gangguan mental setiap tahun, sepanjang tiga tahun lalu, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.

Dalam jawapan bertulis kepada Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Walter Theseira, Encik Gan juga berkata, purata 6,900 pesakit yang menerima subsidi, dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah kesihatan mental setiap tahun, antara 2016 dengan 2018.

Secara purata, tempoh mereka dirawat di hospital adalah 21 hari, setiap kali mereka dimasukkan.

Lima masalah kesihatan mental yang sering dikendalikan di hospital awam adalah skizofrenia, kemurungan, keadaan resah, kecelaruan bipolar dan penyalahgunaan bahan yang memudaratkan kesihatan.

Di poliklinik, kemurungan, keadaan resah dan insomnia adalah masalah kesihatan mental yang paling biasa ditangani.

Skizofrenia dan kemurungan juga masalah lazim yang disaksikan kumpulan-kumpulan intervensi masyarakat yang dibiayai di bawah Kementerian Kesihatan, katanya.

Profesor Madya Theseira bertanya kepada Encik Gan tentang profil para pesakit yang menerima rawatan psikiatrik dan sokongan kesihatan mental di Institut Kesihatan Mental (IMH), poliklinik, klinik pakar pesakit luar di hospital-hospital berstruktur dan di bawah program-program dibiayai Pemerintah sepanjang tiga tahun lalu.

Beliau juga meminta data jumlah pesakit, tempoh dirawat di hospital atau tempoh pesakit menjalani rawatan, jenis masalah kesihatan mental, umur, pendapatan dan masa diambil antara gejala penyakit dikesan hingga pesakit menjalani rawatan.

Bagi keseluruhan sistem jagaan kesihatan awam, usia purata pesakit yang diberi subsidi bagi pelbagai masalah kesihatan mental, adalah antara 40 dengan 50 tahun, kata Encik Gan.

MOH tidak memantau data mengenai pendapatan pesakit mahupun tempoh antara simptom dikesan sehingga pesakit menjalani rawatan.

Namun, beliau merujuk kepada hasil Kajian Kesihatan Mental Singapura 2016, yang mana tempoh median dari kali pertama pesakit mengalami gejala masalah kesihatan mental hingga mereka mendapatkan pertolongan bagi kecelaruan kompulsif obsesif.

Masa median adalah empat tahun bagi kecelaruan bipolar dan penyalahgunaan alkohol, dua tahun bagi keadaan resah umum dan setahun bagi kecelaruan episod kemurungan utama.

"Stigma dan kurang pengetahuan tentang kesihatan mental mungkin antara faktor kelengahan ini," kata Encik Gan.

"Kami mempunyai pasukan-pasukan yang mendekati masyarakat untuk mendidik mereka tentang masalah-masalah kesihatan mental dan demensia, dan merujuk mereka yang mengalami masalah seperti itu kepada khidmat kesihatan dan/atau sosial yang sesuai," kata Encik Gan.

27 HARI UNTUK TEMU PSIKIATRI

Menjawab soalan NMP Anthea Ong tentang masa menunggu bagi temu janji pesakit luar di IMH, klinik-klinik pakar pesakit luar, poliklinik dan program-program dibiayai Pemerintah, Encik Gan berkata seorang pesakit bersubsidi baru perlu menunggu sekitar 27 hari (median) untuk berjumpa dengan pakar psikiatri dan 28 hari untuk bertemu ahli psikologi di hospital-hospital awam pada 2018.

Cik Ong juga meminta data bagi nisbah pakar dan pesakit serta langkah-langkah diambil untuk mengurangkan masa menunggu.

Mengenai perkara ini, Encik Gan berkata terdapat kira-kira 248 pakar psikiatri dan 473 ahli psikologi yang sedang menjalani latihan di Singapura. Ini bermakna, terdapat 4.4 pakar psikiatri dan 8.36 ahli psikologi bagi setiap 100,000 penduduk.

Encik Gan menambah, dalam sektor kesihatan awam, jumlah pakar psikiatri dan ahli psikologi masing-masing naik 8 peratus kepada 182 dan 7 peratus kepada 171, sepanjang tiga tahun lalu.

Sesiapa yang memerlukan bantuan kesihatan mental segera atau perlu berjumpa ahli psikiatri, kata beliau lagi, boleh menghubungi talian 24 jam IMH atau mendapatkan khidmat kecemasannya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan