Skip to main content

Singapura

6 wanita disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Wanita SG, termasuk ahli saintis terkemuka dunia

Anggaran Waktu Membaca:
6 wanita disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Wanita SG, termasuk ahli saintis terkemuka dunia

(Gambar: SCWO)

Diterbitkan : 22 Mar 2025 01:46PM Dikemas Kini : 22 Mar 2025 01:47PM
SINGAPURA: Enam wanita cemerlang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura pada Jumaat (21 Mac), menjadikan seramai 198 wanita diberi pengiktirafan itu sejak 2014.

Dimulakan sebagai inisiatif oleh Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) yang meraikan ulang tahun yang ke-45 tahun ini, Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura meraikan kemajuan dalam kesaksamaan janita dan mengiktiraf sumbangan para penerima kepada sejarah, masyarakat dan kemajuan Singapura.

Berikut adalah penerima anugerah tahun ini:
 
(Gambar: SCWO)
LIU BIN

Liu Bin, 51, adalah seorang saintis, jurutera dan pereka yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kini, beliau adalah seorang profesor 'centennial' dan timbalan presiden (Penyelidikan dan Teknologi) di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Kajiannya telah membantu mencipta alat penting untuk penyelidikan barah dan terapi berasaskan sel.

Sebagai seorang penyelidik berprofil tinggi, Cik Liu mempunyai lebih 550 penerbitan dan 33 paten, di mana 16 dilesenkan kepada syarikat-syarikat di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Asia.

Cik Liu berkata beliau ingin melihat lebih ramai wanita menceburi kerjaya dalam bidang sains, kejuruteraan dan nanoteknologi.
(Gambar: SCWO)
IVY NG

Ivy Ng, 67, adalah seorang klinisian dan mantan ketua kumpulan pegawai eksekutif SingHealth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

Ketika menjawat peranan tersebut, Cik Ng yang merupakan ibu kepada empat orang anak berasa prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh golongan ibu bekerja.

Ini setelah melihat rakan-rakan sekerja yang berbakat terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka kerana keluarga.

Ia sekali gus memberinya inspirasi untuk mengkaji bagaimana untuk mengatur pekerjaan supaya terdapat sokongan mencukupi bagi golongan wanita bekerja dan keseimbangan mencukupi antara pekerjaan dan kehidupan.

Apabila pekerja wanita lebih muda ingin berhenti kerja disebabkan oleh komitmen keluarga, Cik Ng menawarkan mereka pekerjaan separuh masa atau aturan perkongsian kerja.

Beliau juga memastikan semua kampus SingHealth mempunyai kemudahan penjagaan kanak-kanak.
(Gambar: SCWO)
JUNE RUSDON

Ketika beliau hampir melahirkan anak pertamanya, Cik June Rusdon yang bekerja sebagai seorang broker saham selama 10 tahun, menukar kerjaya untuk menceburi industri penjagaan kanak-kanak.

Ini kerana beliau mahu anaknya mendapat permulaan hidup yang terbaik.

Beliau mengembangkan perniagaannya dari sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di sebuah kolong blok di Bukit Batok kepada rangkaian serantau sebanyak 142 pusat dengan lebih 15,000 kanak-kanak berdaftar dan dua kolej latihan guru.

Cik June kemudian menjual Learning Vision Group kepada Knowledge Universe yang berpangkalan di Amerika pada 2007, dan kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk Asia Tenggara.

Pada 2014, syarikat Busy Bees yang berpangkalan di United Kingdom memperolehi perniagaan tersebut dan Cik June menjadi CEO operasi syarikat di Asia.

"Seperti mana-mana ahli perniagaan wanita, saya perlu mencari cara untuk mengimbangi semua peranan dalam hidup saya - sebagai seorang ibu, isteri, menantu, adik dan usahawan. Ada jangkaan bahawa wanita seharusnya dapat melakukan semuanya, tetapi hakikatnya adalah keseimbangan itu satu mitos," kata Cik June yang berusia 65 tahun kepada Mediacorp.

Cik June kehilangan kedua-dua ibu bapanya pada usia remaja dan kakak sulungnya menjadi penjaga keluarga.

"Zaman kanak-kanak saya penuh dengan keperitan dan kehilangan, tetapi ia juga mengajar saya erti berdaya tahan dan mempunyai kekuatan.

"Saya sedar kehidupan ini tidak akan mengecewakan kita jika kita tidak membiarkannya," katanya dalam kenyataan media SCWO.

"Walaupun ibu bapa saya sudah lagi tiada, mereka terus hidup melalui cara saya menjalani hidup dan kerja keras saya."
 
(Gambar: SCWO)
CONSTANCE SHEARES

Constance Sheares, 84 tahun yang merupakan seorang kurator seni perintis Muzium Negara Singapura, bantu menubuhkan Galeri Seni Muzium Negara pada 1976.

Pameran sulungnya pada 1976 yang bertajuk ART 76, menampilkan karya-karya artis tempatan sepert Ng Eng Teng, Goh Beng Kwan, Thomas Yeo, Teo Eng Seng dan Anthony Poon.

Cik Sheares adalah kurator pertama yang dijemput untuk membantu Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memilih karya seni bagi stesen MRT Laluan Timur Laut dalam program Seni dalam Ruang Transit.

Beliau mempunyai harapan tinggi bagi generasi kurator seterusnya.

Cik Sheares berkata dalam sidang media SCWO: "Galeri Nasional telah mencatatkan kemajuan baik. Kurator muda di sana berfikiran jauh. Mereka berkawan dengan semua artis. Itulah perkara penting, untuk terus membina masyarakat."
(Gambar: SCWO)
KAMALADEVI ARAVINDAN

Seorang penulis dan penulis drama yang pernah memenangi anugerah anugerah, Kamaladevi Aravindan, 75 tahun, telah menerbitkan lebih 160 cerpen dan esei, 18 drama pentas, 300 drama radio, dan lima buah buku.

Beliau juga mengendalikan bengkel penulisan kreatif yang dianjurkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Persatuan Penulis Tamil Singapura.

Beliau menulis dalam bahasa Tamil dan Malayalam, dan beberapa karyanya telah diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris dan diterbitkan di India, Kanada, dan Malaysia.

"Mengimbangi peranan sebagai ibu dan isteri tidak pernah mudah. Saya menghabiskan masa menjaga anak-anak dan hanya menulis skrip pada waktu malam. Walaupun menghadapi cabaran, cinta saya terhadap penulisan tidak pernah goyah," kata penulis berprofil tinggi itu kepada CNA Women.
(Gambar: SCWO)
VIVIEN GOH

Vivien Goh, 77, adalah guru muzik perintis. Beliau menubuhkan Orkestra Belia Kebangsaan Singapura pada 1980, yang kini dianggap sebagai salah satu orkestra belia terbaik di Asia.

Sepanjang 10 tahun beliau menerajui kumpulan orkestra itu, Goh bantu mengembangkan bakat-bakat muzik orkestra di Singapura.

Beliau memulakan sebuah program latihan yang menawarkan khidmat tuisyen muzik secara percuma kepada ahli pemuzik muda, yang menjadi asas bagi Orkestra Belia.

Ia kini mempunyai sekitar 180 pemuzik berusia antara 10 dengan 21 tahun dari lebih 60 buah sekolah di seluruh Singapura.

"Saya berasa gembira bahawa kerja saya diiktiraf dan saya berharap cerita saya akan memberi inspirasi kepada pemuzik muda untuk ke tahap yang lebih tinggi," kata Cik Goh kepada CNA Women.

Enam wanita cemerlang dalam senarai Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura tahun itu diberi pengiktirafan dalam satu majlis makan malam gala sempena ulang tahun SCWO yang ke-45 di Hotel Ritz Carlton Millenia Singapore.

Secara keseluruhan, lebih S$450,000 dikumpulkan untuk membiayai inisiatif berterusan dan menyokong wanita dan keluarga yang memerlukan.

CEO SCWO Koh Yan Ping berkata: "Kami percaya bahawa apabila wanita diberi kuasa, seluruh masyarakat berkembang maju. Walaupun telah ada kemajuan dalam mewujudkan masyarakat saksama jantina, kami sedar bahawa lebih banyak perlu dilakukan."

Tetamu kehormat dan penaung SCWO, Cik Jane Ittogi, berkata: "Kemajuan sebenar berlaku apabila setiap gadis dan wanita mempunyai peluang dan keyakinan untuk berkembang, untuk memimpin, dan untuk memperkasakan orang lain supaya kita mewujudkan pengupayaan yang meluas ke generasi seterusnya."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita