Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 siswa sambilan SUSS penerima pertama Anugerah Pengajian LBKM

Enam mahasiswa sambilan di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) menjadi kumpulan pertama untuk menerima Anugerah Pengajian LBKM yang bernilai S$1,000 setiap satu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Enam mahasiswa sambilan di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) menjadi kumpulan pertama untuk menerima Anugerah Pengajian LBKM yang bernilai S$1,000 setiap satu.

Ia diagihkan daripada dana endowmen berjumlah S$200,000 yang didermakan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud dan ditokok oleh pemerintah.

Salah seorang penerima anugerah tersebut adalah Nur Farisha Mohd Subari yang sudah 10 tahun bekerja dalam bidang pentadbiran.

Namun, wanita berusia 33 tahun ini berazam menceburi kerjaya yang lebih bermakna dan kini menetapkan matlamat mahu menjadi seorang pekerja sosial.

Lantaran itu jugalah, Cik Farisha mendaftar dan kini menjadi pelajar sambilan jurusan ijazah kerja sosial di SUSS.

Keputusan untuk beralih kerjaya menjadi seorang pekerja kebajikan sebenarnya dipacu oleh pengalaman hidupnya sendiri.

"Seketika dahulu, keluarga saya menerima bantuan daripada seorang pekerja sosial. Jadi saya berinspirasi daripada situ dan saya mengatakan yang saya satu hari akan menjadi seorang pekerja sosial. Saya hendak membantu orang lain juga.

"Anugerah ini akan meringankan beban saya untuk membayar duit sekolah dan wang yang saya simpan itu boleh membantu keluarga," ujar beliau.

Kerjasama bagi SUSS mengendalikan Anugerah Pengajian LBKM itu dimeterai antara Presiden LBKM Suhaimi Salleh dengan Presiden SUSS Prof Cheong Tee Kiat dalam satu majlis ringkas seminggu lalu (6 Apri).

LBKM menderma S$100,000 untuk dana endowmen ini dan Kementerian Pendidikan (MOE) menokok lagi S$100,000 - menjadikan jumlahnya S$200,000.

Antara lain, penerimanya hendaklah mendapat purata mata gred atau CGPA minimum 3.0 dan pendapatan per kapita tidak lebih S$2,250.

Anugerah itu bertujuan menggalak pembelajaran sepanjang hayat.

Kini ditengah-tengah COVID-19, LBKM berhasrat untuk juga memperkenalkan inisiatif-inisiatif lain.

"Kami akan memperkenalkan pelbagai program yang mungkin dapat membantu mereka, lebih-lebih lagi pelajar yang mungkin terganggu pelajaran mereka atas sebab salah seorang daripada anggota keluarga mereka diberhentikan kerja atau tidak mempunyai pendapatan yang tetap semasa krisis ini," kata Encik Suhaimi.

Tahun lalu ia sudahpun memperkenalkan Dana Tokokan Sekolah yang termasuk memberi tokokan kad tambang pengangkutan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan