6 remaja dikenakan probesen kerana kayuh basikal secara berbahaya di Orchard Road
Enam remaja yang merakam diri mereka sedang mengayuh basikal sambil menyelit antara kenderaan dan melakukan aksi berbahaya di Orchard Road, dikenakan probesen selama sembilan bulan setiap seorang pada Khamis (9 Jan).
Dua daripada pengayuh basikal itu tidak boleh didedahkan namanya di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana mereka berusia 17 tahun semasa melakukan kesalahan itu pada Mei 2024.
Lagi empat pengayuh basikal yang terlibat ialah: Ahmad Noordinie Mohamed Noorshah, 19 tahun; Muhammad Irfan Muhamad Noor, 19 tahun; Muhaidy Marhady, 20 tahun; dan Muhammad Aliyul Qadry Mohamad Razak, 20 tahun.
Kumpulan itu sebelum ini mengaku bersalah kerana melanggar peraturan berbasikal.
Pada 10 Mei 2024, mereka bertemu di stesen MRT Bukit Panjang dan mengayuh basikal di Bukit Timah Road, Stevens Road, Orchard Road dan Lau Pa Sat ke Jurong, di mana mereka bersurai kira-kira pukul 4.00 pagi.
Ketika mereka sedang mengayuh basikal di Orchard Road, salah seorang daripada anggota kumpulan tersebut yang berusia 17 tahun memuat naik rakaman video mereka sekumpulan sedang berbasikal lalu menghantarnya kepada Aliyul, yang memuat naik video itu ke TikTok.
Video itu merakam Noordinie sedang melakukan aksi 'two wheelies' manakala Aliyul mengayuh basikal lalu melepaskan hendal basikal dan beberapa lagi anggota kumpulan itu berbasikal di lorong kedua dan ketiga di jalan raya.
Aliyul dan seorang lagi pengayuh basikal berusia 17 tahun juga pada satu ketika menyelit antara dua kenderaan yang tidak bergerak, dengan aksi mereka itu dirakam oleh remaja berkenaan.
Video itu turut merakam kumpulan itu berhenti di luar kotak kuning di sebuah lampu trafik.
Polis menerima panggilan aduan mengenai sekumpulan belia yang mengayuh basikal secara berbahaya di Orchard Road kira-kira pukul 11.00 malam itu.
Kesemuanya mengaku bersalah kerana gagal memastikan mereka hanya mengayuh basikal di lorong paling kiri di jalan raya, selain daripada beberapa kesalahan lain berkaitan perbuatan berbasikal secara berbahaya.
Aliyul dikenakan jumlah tuduhan paling banyak iaitu sebanyak empat tuduhan.
Remaja berusia 17 tahun yang merakam aksi mereka dikenakan tiga tuduhan dan lagi empat individu dikenakan dua tuduhan setiap seorang.
Pada Khamis (9 Jan), pihak pendakwa tidak menolak perintah probesen seperti disarankan oleh pegawai probesen.
Kesemua remaja itu dikenakan probesen selama sembilan bulan, tidak dibenarkan keluar rumah antara pukul 10.00 malam hingga 6.00 pagi dan perlu melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama antara 40 dengan 60 jam.
Selain itu, Irfan diarahkan berada di bawah pemantauan elektronik selama tempoh empat bulan atau sehingga beliau memasuki Perkhidmatan Negara (NS), bergantung kepada yang mana satu lebih awal.
Mahkamah diberitahu bahawa dia sukar mematuhi perintah berkurung yang dikenakan semasa tempoh perbicaraan ketika dinilai bagi kesesuaian menjalani probesen.
Anggota keluarga mereka membayar ikat jamin S$5,000 untuk memastikan tingkah laku baik semasa tempoh probesen.
Hakim turut mengingatkan mereka supaya memastikan para remaja itu dipertanggungjawabkan atas kesalahan mereka dan memberi mereka sokongan ketika sedang menjalani probesen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.