Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 remaja berbakat luar biasa kejar impian dalam muzik, matematik, sukan

Anggaran Waktu Membaca:
6 remaja berbakat luar biasa kejar impian dalam muzik, matematik, sukan

(Dari kiri atas): Goh Zi Yeh, Risleena Irwan, Nathanael Koh, Chloe Chua, Kai Menejima-Lee dan Dhruv Manoj.

Diterbitkan : 03 Dec 2022 02:21PM Dikemas Kini : 03 Dec 2022 02:27PM

SINGAPURA: Dia didiagnosis dengan kelewatan perkembangan pada usia setahun. Namun hari ini, dia merupakan seorang remaja 12 tahun yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang matematik dan muzik.

Nathanael Koh juga seorang 'YouTuber' atau pempengaruh YouTube. Dia berkongsi konsep matematik, huraian-huraian penuh bagi persoalan mata pelajaran tersebut serta pengubahan muzik di saluran miliknya. Dia juga seorang penggubah lagu di Orkestra Philharmonic@sg Kanak-Kanak.

Peranan Nathanael dalam orkestra itu adalah "apabila mereka meminta saya bekerja, saya mengubah lagu untuk mereka", kata remaja itu dalam program On The Red Dot, yang memaparkan enam "remaja luar biasa" atau 'super-teens' Singapura yang cemerlang dalam bidang-bidang seperti sukan dan muzik.

Bukan hanya bakatnya dalam matematik dan muzik yang menarik perhatian para penonton, tetapi juga sikap berterus terang yang ditonjolkannya.

"Kadangkala keupayaan akademik saya membuatkan saya berasa serba tidak kena," kata Nathaneal. "Saya tiada peluang yang mencukupi untuk berada dalam sekitaran sosial, maka kalau ada sesiapa yang mahu membantu saya memperbaiki kemahiran sosial saya, saya gembira untuk menerimanya."

Sekalipun demikian, kekurangan kemahiran sosial yang disebutkan remaja, yang bersekolah di rumah itu, tidak kelihatan dalam program tersebut.

Sebelum keputusan peperiksaan peringkat GCE A bagi subjek Matematik Lanjutan - yang diduduki sebagai calon privet - dikeluarkan, Nathanael mengakui: "Saya belajar dengan bersungguh-sungguh untuk peperiksaan ini, (dan) saya harap untuk sekurang-kurangnya meraih B."

Apabila Nathanael mendapat tahu dia meraih A, dia bersorak dan kemudian berkata dia sepatutnya boleh meraih markah lebih baik.

Sungguhpun demikian, dia "sangat gembira" dan menzahirkan ucapan: "Terima kasih, ayah!"

Para penonton saluran YouTube CNA Insider menawarkan tip dan kata-kata perangsang. Sebahagiannya berkata Nathanael kelihatan "mudah bersosial" dan menzahirkan keyakinan bahawa dia akan dapat membuat kawan dan menjalin hubungan bermakna dengan orang lain pada masa akan datang.

CNA Insider menghubungi Natahanael selepas program tersebut disiarkan dan mencungkil lebih banyak tentang pandangan dan reaksinya tentang komen-komen yang diberikan itu.

Nathanael bersetuju, misalnya, dengan komen Laura Lim Wee Heang, yang berkata "Apa yang penting bukan berapa ramai tetapi jenis kawan."

Mengulas tentang persahabatan, Nathanael merujuk kepada hipotesis Riemann, yang disifatkan sebagai salah satu masalah yang sehingga kini tidak dapat dihuraikan dalam matematik.

"Setakat ini, ia masalah yang sangat sukar dihuraikan. Sebaik sahaja anda ada cara yang betul, yang mungkin (boleh diketahui dalam) tempoh beberapa dekad akan datan, ia boleh dihuraikan - ia boleh dibuktikan atau tidak," katanya.

"Ia seperti persahabatan kerana anda melaburkan masa untuk rakan-rakan, kemudian anda mulai memahami manusia dengan lebih baik."

Rakan-rakan Nathanael adalah "dari pelbagai latar belakang". Seorang rakan baik di New Zealand adalah seorang guru piano yang sudah bersara berusia 96 tahun, katanya.

Rakan-rakan lain yang berada di Britain, Columbia dan Kanada sedang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda juga dalam bidang muzik.

Keluarga Nathanael menetap di New Zealand dari 2015 hingga 2020, berpindah ke sana semasa dia berusia lima tahun memandang bapanya, Chris Koh, membaca dapatan kajian yang menyatakan iklim sejuk dan sederhana baik untuk perkembangan anak beliau.

Tahu berikutnya, Koh mendapati kelewatan perkembangan anak lelaki beliau seperti semakin bertambah baik, dan Nathanael juga "jauh lebih maju berbanding rakan-rakan sebayanya" dari segi akademik.

Berikut perkongsian remaja-remaja luar biasa lain mengenai persahabatan, keseronokan, pengorbanan dan impian.

RAKAN-RAKAN, MASYARAKAT PENTING

Salah seorang daripadanya ialah Goh Zi Han, 13 tahun, pemain catur unggul Singapura bagi usianya dan calon master bagi Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), yang merupakan ranking catur di bawah master, international master dan grandmaster.

"Saya mahu terus menjadi lebih baik dalam permainan catur," katanya. "Tetapi...ia juga begitu penting untuk saya menjalin hubungan erat dengan rakan-rakan saya dan juga menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi catur."

Apabila baru-baru ini, Zi Han terpaksa memilih antara dua perlawanan catur yang berlangsung dalam tempoh yang sama - iaitu pertandingan antara sekolah di Singapura dan pertandingan bertaraf FIDE di Malaysia - dia memilih pertandingan antara sekolah.

"Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk...bermain sepasukan dengan rakan-rakan (Institusi) Raffles," kata Zi Han, pelajar tahun satu di sekolah tersebut.

a
Zi Han dan rakan sekolahnya dalam kejohanan catur.

Bapanya, Goh Wee Lip, berasa ia adalah "keputusan yang baik" dan berkata: "Ini peluang yang amat baik untuk dia bermain dengan rakan-rakannya dan menjadi seorang remaja dan berseronok. Ia penting."

Zi Han juga belajar bahawa catur "bukan hanya tentang kemenangan dan mempertingkat ratingnya". Untuk meraih wang bagi membantu pelarian Ukraine yang terjejas oleh pencerobohan Rusia, dia dan ibunya melancarkan kempen online untuk orang ramai menderma dan sebagai gantinya, dia menunjuk ajar cara bermain catur.

Kempen itu mendapat sambutan memberangsangkan dan berjaya memungut S$13,000.

Seorang lagi remaja luar biasa, Dhruv Manoj, berasa seronok bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk mengajar teknik menguatkan ingatan kepada murid sekolah rendah di sebuah pusat jagaan pelajar.

Dhruv, 16 tahun, mencatat rekod dunia semasa berusia 11 tahun dengan menghafal 96 nama dan wajah dalam masa 15 minit. Dia mewakili Singapura dan merangkul emas dalam Kejohanan Memori Sedunia.

Semasa perbincangan pasukan sebelum sesi dengan murid-murid sekolah rendah, beliau berkata: "Keprihatinan kami adalah..penyertaan mereka, kerana topik yang kami perkenalkan ini sesuatu yang baru."

Pada akhirnya, sesi itu "menyeronokkan", kata beliau. "Saya rasa (murid-murid) seronok dengan aktivitinya juga. Mereka menggarap idea-idea dengan begitu cepat."

a
Dhruv (kanan) dan rakan sekolahnya menjalankan bengkel ingatan buat murid sekolah rendah.

TANDA PENGORBANAN

Remaja-remaja tersebut juga tahu tentang kerja keras. Contohnya, Irsalina Irwan, 15 tahun, anggota paling muda pasukan bola sepak wanita negara, yang setiap hari bergelut untuk mengimbangi persekolahan dengan sukan pilihannya.

Dia memulakan hari pada pukul 5.00 pagi dan berlatih lima kali seminggu, tiga kali dengan pasukan negara dan dua kali dengan kelab, yang lazimnya antara pukul 7.00 malam dengan pukul 9.00 malam.

"Ada hari yang saya ada begitu banyak kerja sekolah dan latihan, (dan) saya rasa begitu terbeban," katanya.

Selain mahu meraih keputusan baik bagi peperiksaan peringkat N, Irsalina juga bimbang tentang kecederaan yang dialami empat bulan selepas menyertai pasukan negara dan dia terpaksa menjalani pemulihan.

"Dalam senario paling teruk, para pemain yang tidak pulih tepat pada masanya daripada kecederaan mereka tidak dapat menyertai mana-mana perlawanan, jadi itu sesuatu yang mengecewakan," kata Ratna Suffian, penolong jurulatih pasukan wanita negara.

Irsalina bukan satu-satunya yang menjadi lambang pengorbanan.

a
Irsalina (tiga dari kiri) dalam sesi latihan.

Pemain biola Chloe Chua - pada usia 15 tahun, artis paling muda dalam Symphony Orchestra - mempunyai bekas melecet pada bahagian lehernya kerana "terlalu lama berlatih".

Kehidupannya berubah selepas memenangi divisyen junior pertandingan antarabangsa Yehudin Menuhin pada 2018 bagi pemain biola muda. Pertandingan itu dianggap sebagai pertandingan unggul dunia bagi pemain biola di bawah usia 22 tahun.

Dia berlatih lima hingga enam jam setiap hari, dan gurunya, Yin Ke, dari Sekolah Bakat Muda Nanyang Academy of Fine Arts, berkata: "Chloe berbakat dalam muzik. Tetapi kerja keras yang perlu dilakukan lebih penting."

a
Chloe pada pertandingan antarabangsa Yehudi Menuhin 2018 untuk pemain biola muda.

Menyentuh tentang tanda melecet pada lehernya, Chloe berkata "ia sakit sedikit" tetapi tidak begitu mengendahkannya.

"Ia memberi peringatan bahawa saya perlu berlatih," kata Chloe sambil tersenyum. "Jika tidak berlatih, tanda ini akan hilang."

Zi Han juga mengambil pendirian sama tentang catur.

"Dalam mana-mana permainan sekalipun, jika anda mahu menjadi hebat, bakat bukan satu-satunya yang anda perlukan. Anda juga perlu memberikan masa (dan) bekerja keras," kata beliau.

MENCARI INSPIRASI

Bagi Kai Minejima-Lee, 13 tahun, impiannya bermula pada usia tiga atau empat tahun.

Ketika itu bapanya diundang ke iFly Singapore bagi pesta ulang tahun. Kai yang mengikuti bapanya teringin untuk "terbang" tetapi usia minimum bagi iFly adalah tujuh tahun.

Maka, dia menunggu "bertahun-tahun" sebelum ibu bapanya membuat kejutan dengan membawanya ke lokasi terjun udara itu.

"Sejak itu, saya sangat menggemarinya sehingga tidak mahu berhenti," kata Kai.

a

Kelajuan udara bagi lokasi terjun udara di tempat tertutup boleh menecah 270 kilometer sejam, kata Kai.

Dia memenangi tiga pingat emas dalam pertandingan Piala Dunia Terjun Udara FAI.

Di Kejohanan Terjun Udara Tempat Tertutup Australia pada September, dia meraih pingat emas dan tiga perak.

"Sejujurnya, saya tidak melihat pengakhiran bagi kegiatan ini. Saya mahu melakukannya selagi saya mampu."

Apa yang mendorong Irsalina pula, adalah impian untuk mendapatkan biasiswa dan menjadi bola sepak sebagai kerjaya.

"Ada yang mungkin berkata bola sepak bukan pilihan kerjaya yang baik, tetapi saya tidak bersetuju," katanya.

Irsalina sudah melihat sendiri rakan-rakan sepasukannya mencapai cita-cita sedemikian dan itu memberikannya inspirasi.

Sumber : CNA/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan