Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 rakyat S'pura masih di Ukraine, lagi 3 sudah dibawa keluar

Tiga lagi rakyat Singapura dibawa keluar dari Ukraine dan enam masih berada di negara itu, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pada Khamis (3 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Mar 2022 04:16PM Dikemas Kini : 03 Mar 2022 09:48PM

SINGAPURA: Tiga lagi rakyat Singapura dibawa keluar dari Ukraine dan enam masih berada di negara itu, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pada Khamis (3 Mac).

Sebelum ini, beliau berkata sekurang-kurangnya sembilan rakyat Singapura berada di beberapa bandar di Ukraine.

Ketika memberikan kemas kini di parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian beliau, Dr Balakrishnan berkata ASEAN tidak lama lagi akan mengeluarkan satu kenyataan menggesa "gencatan senjata segera" di Ukraine.

"Kami cuba untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan ke Ukraine. Semestinya, kami terus memantau pemindahan warga Singapura di Ukraine," tambah beliau.

BACA: Perhimpunan Agung PBB desak Rusia berundur dari Ukraine

"Perkembangan yang berlaku di Ukraine adalah satu peringatan tegas tentang kegoyahan negara-negara kecil apabila bersemuka dengan lawan yang lebih besar dan lebih berkuasa," kata menteri itu di Parlimen.

"Kita mesti mengambil pendirian terhadap tindakan yang dengan jelas mencabuli kedaulatan, kebebasan politik dan integriti wilayah negara lain - semua negara. Kerana akhirnya, ini juga adalah tentang kita, sebagai sebuah negara bandar yang kecil.

"Apabila keadaan mencapai titik penting dan keputusan perlu dibuat, negara-negara lebih kecil seperti Singapura mesti bersedia untuk mempertahankan diri kita dan tidak terperangkap dalam permainan geopolitik kuasa-kuasa besar. Kita tidak menyokong mana-mana pihak tetapi kita mengambil pendirian utnuk menegakkan prinsip-prinsip yang dipegang."

BANTUAN TATKALA PANDEMIK

Dr Balakrishnan juga menyentuh tentang bagaimana Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyokong rakyat Singapura dan negara-negara lain tatkala COVID-19. Beliau menarik perhatian MFA sudah membantu membawa pulang lebih 4,600 rakyat Singapura dari luar negara sejak pandemik melanda pada 2020.

Beliau juga memuji dedikasi kakitangan MFA sewaktu pandemik.

"Lebih 300 pegawai MFA telahpun berkhidmat kepada Singapura serta misi luar negara kami semasa tempoh ini dan saya amat berbangga bahawa tiada seorang pegawai pun yang meminta untuk meninggalkan jawatan kerana risiko pandemik," ujarnya.

Lebih 40 pegawai MFA yang berada di luar negara serta lebih 150 warga asing yang bertugas dalam misi luar negara dijangkiti COVID-19 "meskipun dengan usaha terbaik kami dan langkah kesihatan berjaga-jaga yang diambil", kata Dr Balakrishnan.

COVID-19 tidak akan menjadi pandemik yang terakhir atau paling buruk dihadapi dunia, kata beliau.

Menteri itu menambah Singapura akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa, termasuk melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk mengukuhkan seni bina kesihatan sejagat dan meningkatkan kesediaan serta daya bingkas terhadap pandemik.

Secara global, Singapura menyumbang kepada Komitmen Pasaran Maju COVAX dan Dana Respons ASEAN COVID-19, kata beliau.

HUBUNGAN DENGAN M'SIA

Singapura mengekalkan hubungan "amat rapat" dengan Malaysia, kata Dr Balakrishnan.

"Saya boleh katakan ia bahkan mungkin lebih diperkukuhkan oleh pengalaman COVID-19 yang kami kongsi bersama," tambahnya.

Beliau menarik perhatian pendampingan dua hala diteruskan baik secara rasmi mahupun tidak rasmi sepanjang pandemik.

Singapura dan Malaysia juga bekerjasama rapat untuk memulihkan ketersambungan, dengan pelancaran laluan perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL) bagi kedua-dua perjalanan darat dan udar pada November tahun lalu.

Ini sudah membantu memulihkan beberapa aliran pelancong dan pelawat perniagaan seperti sebelum pandemik serta menyatukan semula keluarga di kedua-dua bahagian Koswe, kata Dr Balakrishanan.

PUPUK HUBUNGAN LEBIH KUKUH DENGAN AS, CHINA

Mengenai hubungan Singapura dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, Dr Balakrishanan berkata :Ia adalah dalam kepentingan Singapura untuk terus memupuk hubungan lebih kukuh bersama kedua-dua AS dan China, untuk menjadi rakan kongsi yang konsisten dan berwibawa pada jangka panjang."

Singapura akan terus melibatkan kedua-dua kuasa itu melalui diplomasi "berteraskan prinsip-prinsip asas" seperti pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, penyelesaian pertikaian dengan cara aman, menghormati kedaulatan dan kesucian sempadan serta menegakkan sistem berbilang hala berasaskan peraturan, katanya.

Dr Balakrishnan menarik perhatian Singapura tidak pernah elak daripada membela dirinya dan membantah dalam isu-isu sekiranya perlu.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan