Skip to main content

Singapura

6 perkara utama penyewa di SG perlu tahu

Anggaran Waktu Membaca:
6 perkara utama penyewa di SG perlu tahu

Flat HDB di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

SINGAPURA: Dengan kenaikan harga sewa rumah hingga mencecah paras rekod, ada sebilangan penyewa yang tidak banyak pilihan dan mungkin mencari nasihat untuk memaksimumkan peluang mereka mendapat tawaran yang berbaloi.

Mediacorp baru-baru ini bercakap dengan para ekspatriat dan penyewa tempatan dan mereka berkata harga sewa rumah sudah naik hampir 70 peratus dan pemilik rumah tidak lagi terbuka untuk berunding seperti dahulu. Penyewa lazimnya harus menawarkan harga yang lebih mahal untuk mendapatkan tempat.

Minggu ini, ejen hartanah dan penganalisis memberi nasihat tentang cara-cara berdepan proses menyewa rumah dalam pasaran sewa yang sedang hangat ini.

1. CARI LEBIH AWAL

Encik Lucas Chiew, seorang pakar di JNA Real Estate, iaitu sebuah pasukan di PropNex, berkata para penyewa harus memberi masa yang cukup - kira-kira dua hingga tiga bulan untuk mencari tempat tinggal.

Ini supaya penyewa tidak akan rasa terdesak sewaktu berunding dan membezakan anda daripada penyewa lain yang juga mencari rumah dengan segera kerana merekalah yang selalunya sanggup membayar lebih.

2. BERIKAN TAWARAN TERPERINCI

Ejen Propnext Shafik Yusope berkata untuk mengelak daripada hanya memberi pemilik rumah nombor anda atau menyuarakan minat, anda harus menjelaskan dengan lebih terperinci tentang minat dan tawaran anda.

Tawaran yang memberi gambaran terperinci tentang penyewa akan mendapat lebih perhatian, kata beliau. Sebagai contoh, beritahu jika anda merupakan penyewa tunggal, berpasangan atau dengan keluarga. Selain daripada itu, tuliskan juga jantina dan pekerjaan anda. Ini termasuk maklumat seperti anda sanggup menggajikan seorang pembantu rumah untuk memastikan rumah bersih, kerana ini akan menarik perhatian para pemilik, kata Encik Shafik.

3. JADI PENYEWA YANG BAIK

Jika anda ingin melanjutkan tempoh sewa, jadi seorang penyewa yang baik supaya dapat merundingkan kenaikan harga sewa pada kadar yang kecil.

Encik Nicholas Mak, ketua penyelidikan dan perundingan di ERA Realty berkata sikap munasabah mengatasi segalanya. Jika anda mempunyai hubungan baik dengan pemilik rumah, ia akan memberikan manfaat kepada anda semasa berunding tentang sewa.

Pemilik rumah menghargai penyewa yang tidak menyerakkan tempat mereka, membuat bising atau merosakkan harta benda mereka. Ada juga pemilik rumah yang meminta rujukan daripada penyewa, walaupun tidak banyak kes tersebut berlaku.

4. PERTIMBANGKAN TEMPAT TINGGAL YANG LEBIH KECIL
Jika anda mempunyai banyak barangan yang tidak diperlukan setiap hari, seperti beg pakaian yang besar atau pakaian musim sejuk, anda boleh simpan di tempat simpanan supaya anda dapat menyewa rumah yang lebih kecil.

Namun, anda harus memastikan sama ada ia langkah berhemat bagi diri anda untuk membayar menyewa rumah dan unit penyimpanan barang, kata Encik Mak.

Encik Chiew juga menyatakan bahawa para penyewa sepatutnya memikirkan semula keperluan tertentu mereka - sama ada mereka perlu tinggal berdekatan dengan stesen MRT atau memerlukan pasar raya berdekatan rumah.

"Sewa bagi rumah yang berdekatan dengan kemudahan sebegitu akan ada permintaan dan harga yang sangat tinggi. Jika anda boleh korbankan keperluan anda, anda akan dapat mencari rumah yang lebih 'ulu' (di kawasan terpencil) yang lebih sesuai dengan peruntukan kewangan anda."

Sebagai contoh jika anda memperuntukkan S$3,000 setiap bulan untuk rumah dua bilik, Encik Shafik menyarankan mencari rumah di kawasan tengah bandar:

Daerah 16: Bedok, Upper East Coast, Eastwood, Kew Drive
Daerah 17: Loyang, Changi
Daerah 18: Tampines, Pasir Ris
Daerah 19: Serangoon Garden, Hougang, Punggol

Daerah timur laut seperti Punggol dan Sengkang merupakan lokasi yang baik untuk mendapatkan rumah sewa dengan harga berpatutan, kata Encik Chiew.

5. PERTIMBANGKAN HDB DARIPADA PRIVET

Jika anda menyewa rumah privet seperti unit kondominium, pertimbangkan untuk berpindah ke flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang biasanya lebih murah.

Encik Mak berkata bahawa penyewa boleh mengorbankan kemudahan kondominium jika mereka ingin membayar sewa bulanan yang lebih rendah. Mungkin ada yang melihatnya sebagai menurunkan taraf tetapi terpulang kepada individu, tambah beliau.

6. TERIMA BAHAWA ANDA MUNGKIN TERPAKSA TAWAR HARGA LEBIH TINGGI

Jika anda tidak melakukan demikian, penyewa lain akan melakukannya dan anda akan kehilangan peluang anda sama sekali, kata ejen dan penganalisis.

Encik Shafik dan Encik Mak bersetuju bahawa dengan permintaan yang tinggi dan bekalan yang terhad, ia menjadi pasaran tuan tanah.

Satu cara untuk bersedia menghadapi perkara itu adalah dengan mencari unit yang sesuai dengan peruntukan kewangan anda, jadi anda tidak perlu menawarkan lebih banyak, kata Encik Chiew.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita