Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 perkara anda perlu tahu tentang aturan perjalanan bebas kuarantin S'pura-Batam dan Bintan

Anggaran Waktu Membaca:
6 perkara anda perlu tahu tentang aturan perjalanan bebas kuarantin S'pura-Batam dan Bintan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Jan 2022 11:16PM Dikemas Kini : 26 Jan 2022 11:18PM

SINGAPURA: Hotel dan perniagaan di Bintan dan Batam menyaksikan minat yang meningkat daripada  pelawat di Singapura sejak Indonesia mengumumkan pada Isnin (24 Jan)  pelaksanaan aturan perjalanan bebas kuarantin antara Singapura dengan kedua-dua pulau pelancongan itu.

Di bawah aturan sedia, pelawat hanya boleh pergi ke Nongsa di Batam dan Lagoi di Bintan. Sebelum pandemik, kedua-dua tempat itu popular dalam kalangan pengunjung dari Singapura yang ingin bersantai pada hujung minggu.

Jika anda merancang untuk melakukan lawatan ke kedua-dua tempat itu, berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda tahu:

TEMPAT DI BINTAN DAN BATAM YANG BOLEH ANDA KUNJUNGI

Buat masa ini, pelawat dari Singapura hanya dibenarkan pergi ke Nongsa di Batam dan Lagoi di Bintan, dan anda tidak dibenarkan  meninggalkan kedua-dua tempat itu untuk ke tempat lain.

Di bawah aturan perjalanan khas itu, pelawat harus masuk Batam menerusi Terminal Feri Antarabangsa Nongsapura untuk ke Nongsa. Begitu juga bagi yang ingin ke Bintan. Mereka hanya boleh masuk menerusi Terminal Feri Bandar Bentan Telani untuk ke Lagoi.

APAKAH SYARAT-SYARAT KEMASUKAN?

Pelawat dari Singapura yang ingin pergi Batam dan Bintan harus sudah lengkap divaksin dan diuji negatif COVID-19 menerusi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum mereka berlepas dan sekali lagi sebaik tiba di Batam atau Bintan.

Mereka juga perlu menunjukkan kad atau sijil fizikal dan digital yang menunjukkan bahawa mereka sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya 14 hari sebelum berlepas, menurut Kementerian Pelancongan Indonesia.

Kad atau sijil itu harus tertera dalam Bahasa Inggeris, "selain daripada Bahasa Kebangsaan atau Bahasa daripada tempat asal mereka berlepas", menurut kementerian pelancongan Indonesia.

Kad atau sijil vaksinasi itu harus juga disahkan di laman rasmi Kementerian Kesihatan Indonesia atau di e-HAC International Indonesia, iaitu kad perjalanan kesihatan negara itu.

Kecuali warga Singapura, mereka yang memasuki Bintan dan Batam harus mempunyai visa pelancong atau permit kemasukan lain "mengikut peraturan yang ditetapkan".

Mereka juga mesti menunjukkan pengesahan tempahan dan bayaran pakej pelancongan aturan perjalanan khas di Lagoi Bintan Resort atau kawasan Nongsa Sensation, menurut kementerian pelancongan itu lagi.

Pelawat juga perlu mempunyai insurans kesihatan dengan perlindungan bernilai sekurang-kurangnya S$30,000, yang termasuk "pembiayaan pengendalian COVID-19 dan pemindahan perubatan ke sebuah hospital dirujukkan".

SETIBANYA DI BINTAN DAN BATAM

Pelawat harus menggunakan aplikasi penjejakan COVID-19 Indonesia - PeduliLindungi dan Bluepass - apabila melakukan kegiatan di tempat yang mereka kunjungi.

Mereka juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan  serta mengambil ujian PCR setibanya di Batam dan Bintan.

Pelawat hanya dibenarkan untuk meneruskan  perjalanan mereka jika keputusan ujian PCR yang diambil pada ketibaan adalah negatif.

BAGAIMANA JIKA UJIAN PCR ANDA  POSITIF COVID-19 SETIBANYA DI SANA?

Bagi pelawat yang diuji positif COVID-19 menerusi ujian PCR setibanya di sana, mereka perlu mendapatkan rawatan.

Mereka yang diuji positif  namun tidak mengalami simptom atau menunjukkan gejala ringan akan diasingkan atau dirawat dalam sebuah "tempat penginapan yang diasingkan"  berasingan daripada kawasan aturan perjalanan, menurut kementerian pelancongan Indonesia.

Mereka yang mengalami gejala sederhana atau teruk harus menjalani kuarantin atau rawatan di sebuah hospital, atau dipindahkan ke "ke sebuah hospital rujukan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh hospital  berkaitan," menurut kementerian itu lagi.

Kos itu "akan dibiayai sendiri sepenuhnya" oleh pelawat asing berkenaan. Kos bagi warga Indonesia akan ditampung pemerintah mereka.

Jika anda diuji positif semasa berada di Bintan dan Batam, anda juga tertakluk di bawah  peraturan yang sama.

APAKAH PERATURAN COVID-19 YANG HARUS DIPATUHI SEMASA BERADA DI SANA?

Semua pelawat antarabangsa di Bintan dan Batam hanya dibenarkan bergaul dengan pelancong lain atau kumpulan-kumpulan lain dalam kawasan di bawah aturan perjalanan yang sama.

Mereka juga hanya dibenarkan  melakukan aktiviti dalam "zon yang dikhususkan" mengikut itinerari yang ditetapkan.

Pelawat perlu melaporkan kepada kakitangan kesihatan dalam kawasan tersebut jika mereka mengalami sebarang gejala COVID-19, di mana mereka perlu mengambil ujian PCR.

Mereka juga harus mematuhi peraturan kuarantin dan penjejakan kontak Indonesia jika  kes positif COVID-19 dikesan di kawasan berkenaan.

Protokol kesihatan yang lain termasuk memakai pelitup perubatan atau pelitup tiga lapisan, menukar pelitup setiap empat jam, basuh tangan secara kerap, mengekalkan jarak selamat 1.5 meter dari individu lain, elakkan tempat-tempat yang sesak, serta menggunakan aplikasi penjejakan PeduliLindungi.

BAGAIMANA UNTUK PULANG KE S'PURA?

Aturan perjalanan khas Bintan dan Batam buat masa hanya bagi pelawat dari Singapura untuk pergi ke dua pulau peranginan itu, namun Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata pada Selasa bahawa pihak berkuasa akan berunding bagaimana untuk menjadikan aturan itu "dua hala".

Ini bermakna mereka yang memutuskan untuk pergi ke Bintan atau Batam dari Singapura perlu mematuhi langkah-langkah sempadan COVID-19 sedia ada sekembalinya  dari lawatan itu.

Buat masa ini, terdapat hanya satu pilihan laluan (udara) perjalanan penumpang sudah divaksin (VTL) bagi mereka yang ingin memasuki Singapura dari Indonesia. Individu lengkap divaksin dibenar masuk ke Singapura dari Jakarta menerusi Lapangan Terbang Changi sejak 29 November.

Menurut laman SafeTravel Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), tiada Laluan SafeTravel berkaitan bagi mereka yang ingin memasuki Singapura dari Indonesia.

Memandangkan Indonesia disenaraikan dalam Kategori II, semua pelawat dari Indonesia yang tidak menaiki penerbangan VTL perlu mengambil ujian COVID-19 dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Singapura.

Di bawah garis panduan sedia ada, mereka juga perlu menjalani notis jangan keluar rumah selama tujuh hari di tempat kediaman mereka atau di sebuah tempat penginapan yang diusahakan sendiri, dan mengambil ujian PCR pada akhir tempoh SHN tersebut.

Sumber : CNA/HA/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa