Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 penduduk Hong Kah North diberi anugerah bantu pulihkan mangsa serangan jantung

Seramai enam penduduk diberi pujian di Kelab Masyarakat Hong Kah North semalam (23 Feb) kerana menyelamatkan seorang lelaki yang diserang sakit jantung November lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
6 penduduk Hong Kah North diberi anugerah bantu pulihkan mangsa serangan jantung

Para pegawai SCDF bersama (dari kiri) Encik Raymond Chew Ho Kiat, Encik Wong Kuek Phong, Dr Amy Khor,Encik Denny Ng Kheng Yong, Encik Asnadi Robani dan Encik Billy Kuang Lee. Encik Tee Hee Lon tidak dapat hadir. (Gambar: Christy Yip)

Diterbitkan : 24 Feb 2018 11:35AM Dikemas Kini : 24 Feb 2018 11:41AM

SINGAPURA: Seramai enam penduduk diberi pujian di Kelab Masyarakat Hong Kah North semalam (23 Feb) kerana menyelamatkan seorang lelaki yang diserang sakit jantung November lalu.

Kejadian tersebut berlaku sekitar 9.45 malam pada 21 November 2017. Ketika itu, Encik Denny Ng Kheng Yong, 42 dan Encik Raymond Chew Ho Kiat, 52 sedang berbual-bual di pejabat awam kelab masyarakat tersebut apabila mereka dimaklumkan tentang seorang lelaki yang pengsan di tingkat empat bangunan berkenaan selepas bermain tenis meja.

Kedua-dua mereka yang merupakan anggota jawatankuasa pengurusan kelab masyarakat itu, bergegas ke tempat kejadian dan mendapati bahawa mangsa tersebut sudahpun berhenti bernafas. Mereka melakukan bantuan pernafasan CPR dengan segera.

“Saya rasa gementar kerana ia kali pertama saya menangani kes sebenar. Saya hanya mahu menyelamatkan nyawa lelaki itu,” kata Encik Ng yang juga pengerusi Jawatankuasa Kecemasan dan Penglibatan Masyarakat Hong Kah North (C2E).

Ia juga merupakan kali pertama bagi Encik Chew yang dilatih dalam bantuan kecemasan ketika di sekolah dulu.

“Saya tidak memikirkan apa-apa. Saya hanya mahu (mangsa) selamat,” katanya.
Mereka kemudian dibantu oleh Encik Asnadi Robani, 50, Encik Billy Lim Kuang Lee, 32 dan Encik Tee Hee Lon, 26.

Seorang lagi lelaki, Wong Kuek Phong yang berusia 67 tahun bergegas untuk mengambil mesin bantuan pernafasan AED dari tingkat pertama apabila mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda kembali sedar.

Selepas diberi bantuan AED sebanyak tiga kali, barulah mangsa sedar semula.

Beliau kemudian dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong.

Atas usaha mereka, Encik Ng, Encik Chew, Encik Asnadi, Encik Lim dan Encik Tee menerima Anugerah Penyelamat Masyarakat SCDF sementara Encik Wong pula diberi Anugerah Responden Pertama Masyarakat.

Dr Amy Khor, Anggota Parlimen bagi Hong Kah North menyampaikan anugerah-anugerah tersebut di Divisyen ke-4 SCDF semalam.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan