Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

6 pelajar Australia ditahan mencuri di Orchard Road

Anggaran Waktu Membaca:
6 pelajar Australia ditahan mencuri di Orchard Road

Mandarin Gallery. (Gambar fail: Calvin Oh)

SINGAPURA: Sekumpulan pelajar perempuan warga Australia, yang berada di Singapura bagi sebuah perlawanan bola jaring serantau, ditahan pada Ahad (13 Nov) selepas dipercayai mencuri di kedai-kedai di Mandarin Gallery di Orchard Road.

Dalam responsnya kepada Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai satu kes mencuri di 333A Orchard Road pada pukul 4.04 petang, 13 November lalu. Enam remaja dalam lingkungan usia antara 14 hingga 16 tahun, ditahan berhubung kes tersebut.

Siasatan masih sedang dijalankan, tambah polis.

Para pelajar Tahun 10 dari Bacchus Marsh Grammar di wilayah Victoria, Australia, didakwa mencuri pakaian dalam wanita dari kedai Victoria’s Secret di Orchard Road. Mereka juga dipercayai mencuri kasut dari sebuah kedai Crocs, lapor media Australia pada Selasa (15 Nov).

Menurut Daily Mail Australia, rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan remaja-remaja perempuan itu menyorokkan pakaian dalam wanita yang mahal dari Victoria’s Secret sebelum meninggalkan kedai tersebut tanpa membayarnya.

Menurut sumber Herald Sun, remaja-remaja itu ditahan dalam lokap selama lebih 10 jam sebelum dibenarkan pulang ke hotel mereka sekitar pukul 3.30 pagi.

Pengetua sekolah tersebut, Andrew Neal, mengesahkan dalam satu kenyataan pada Selasa bahawa "sekumpulan pelajar didapati terbabit dalam satu insiden di Orchard Road". Beliau menambah bahawa mereka adalah sebahagian daripada 18 pelajar yang sedang berada di Singapura untuk mengambil bahagian dalam sebuah perlawanan bola jaring serantau.

"Polis bertindak tegas, adil dan menjalankan tugasnya dengan menyeluruh, malah sekolah ini amat menghargai keprofesionalannya," jelas pengetua tersebut.

Beliau berharap agar siasatan polis dapat dimuktamadkan menjelang hujung minggu ini.

Pengetua itu menambah bahawa pelajar-pelajar berkenaan kini berada di bawah jagaan langsung para anggota kakitangan sekolah dan beliau menantikan kepulangan mereka bersama para pelajar lain.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan